fbpx

Somalia: Dari Nairobi ke Garissa

Somalia: Dari Nairobi ke Garissa

Somalia: Dari Nairobi ke Garissa

NAIROBI, 12 Oktober 2013 – Musim Aidiladha 1434H telah berlalu dan sekali lagi HALUAN berbakti bagi pihak dermawan Malaysia yang ingin melaksanakan ibadah korban mereka demi menyantuni lebih setengah juta pelarian Somalia yang berlindung di kem-kem di timur laut Kenya. Pasukan relawan HALUAN yang terdiri daripada Irwan Affendi Md Naim, Ustaz Rijal Faiz Abd Malek dan Ahmad Ikhwan Subberi telah melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin.

Seperti kebiasaannya pada setiap misi untuk korban Aidiladha di Somalia, HALUAN akan berkunjung hormat ke kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya.

Seminggu sebelum kami bertolak ke Nairobi, Pesuruhjaya Tinggi TYT Ismail Salam telah menjemput delegasi HALUAN untuk bertemu beliau dan warga kerja di kediaman rasminya. Bersama kami adalah Syeikh Yakub Farah Hassan, Pengerusi Northern Kenya Empowerment Initiative (NKEI) yang merupakan rakan NGO tempatan yang sering berurusan dengan HALUAN untuk maslahat para pelarian Somalia seramai lebih 600,000 orang di padang pasir utara Kenya.

Seawal 7.30 pagi pasukan kami yang terdiri daripada bertiga bersama Syeikh Yakub telah bersiap sedia untuk ke kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di bandaraya Nairobi. Turut serta adalah Ir. Mohmad Asari Daud, Setiausaha Agung Majlis Profesional Air dan Teknologi Hijau (PROATEK) dan isterinya yang kebetulan berada di sana menghadiri seminar antarabangsa.

Kami menyelusuri jalan-jalan yang sesak dengan manusia dan kenderaan menuju destinasi. Jalan-jalan di daerah Isli tempat hotel kami menginap merupakan jalan raya yang boleh dikatakan separuh siap. Di sini tertumpunya majoriti rakyat miskin, ramai daripada mereka berketurunan Somalia, dengan pengangkutan awam dan kenderaan pacuan empat roda memandu deras sambil mengelak lopak-lopak di jalan yang entah bila akan dibaiki. Kawasannya kotor, bertakung air, seolah-olah tidak terbela. Bangunan besar seperti hotel penginapan kami serta gedung-gedung di sini sering dikawal oleh pasukan bersenjata yang memisahkan masyarakat awamnya daripada golongan elit dan pelancong yang datang. Isli adalah kawasan ghetto atau setinggan bagi suku kaum Somalia dan pendatang Afrika yang lain di tengah-tengah bandaraya Nairobi ini.

Namun, apabila mula memasuki kawasan Gigiri, jalan raya sudah beransur elok sebaik sahaja memasuki kawasan tengah bandar Nairobi. Begitu juga dengan persekitaran yang lebih bersih dan teratur. Bagaikan langit dengan bumi. Kawasan Gigiri sendiri merupakan sebuah kawasan elit di mana terletaknya kebanyakan bangunan kedutaan negara-negara asing.

Tepat 8.30 pagi, rombongan kami tiba di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dengan disambut oleh TYT Ismail Salam sendiri serta isterinya dan para pegawai beliau. Kemudian kami terus dijemput untuk ke ruang yang disediakan di belakang rumah untuk bersarapan bersama.

Layanan sungguh istimewa dan keramahan Pesuruhjaya Tinggi dan isteri membuatkan kami terasa seperti di Malaysia. Kami dihidangkan nasi ambeng dan juga pelbagai jenis kuih muih ala Malaysia hingga terasa terharu pula dengan sambutan yang diberikan. Sebelum memulakan santapan, TYT Ismail Salam meminta Ir Mohmad Asari membacakan doa. Kemudian kami menjamu selera sambil bertanyakan khabar dan berita setempat, tambahan pula di Nairobi masih panas dengan berita tentang serangan ke atas Westgate Mall, sebuah gedung membeli-belah terulung di bandaraya ini.

Suasana di Kenya tidaklah tenteram dengan tertingkatnya kes-kes rompakan, penculikan, pembunuhan dan serangan bersenjata yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini. Kedatangan kami untuk melunaskan niat rakyat Malaysia yang telah sudi mengamanahkan HALUAN untuk melaksanakan ibadah korban mereka tahun ini untuk ribuan para pelarian Somalia di utara Kenya ini sedikit membimbangkan pihak Pesuruhjaya Tinggi kerana keadaan awam yang kadangkala tidak terkawal dan tidak terjangka di sana. Kami dipesan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menjauhi kawasan-kawasan yang berisiko tinggi terutamanya selepas senja.

Selepas itu, TYT Ismail Salam menyaksikan akad perjanjian pembelian kambing korban yang dijalankan oleh pihak HALUAN dan Syeikh Yaakub. Selesai bersarapan, kami sempat bergambar beramai-ramai dengan para pegawai di situ disertai olehTYT Ismail Salam.

Menjelang 11.00 pagi, kami terus bertolak ke Garissa dengan dua kenderaan pacuan empat roda; satu darinya dinaiki oleh wakil NGO bernama UMUT dari Turki-German. Ketua rombongan kami adalah Syeikh Yakub sendiri, seorang ulama tempatan yang disegani di kawasan penempatan kem pelarian UNHCR di timur laut Kenya itu. Perjalanan dari Nairobi ke Garissa selalunya mengambil masa lebih kurang lima jam dengan melalui trek padang pasir yang berdebu, berolak dan berliku-liku.

Kami dapat merasai betapa kebesaran Allah SWT dengan keadaan cuaca yang berbeza. Cuaca di Nairobi sangatlah nyaman kerana ia berada di kawasan tanah tinggi di barat daya Kenya. Semakin jauh kami bergerak menghala ke kem pertama di Garissa, kami dapat merasai cuaca semakin berubah menjadi panas. Kami sedang mendekati kawasan gurun yang sebenarnya sudah hampir ke garisan sempadan Somalia. Kami berhenti di stesen minyak untuk mengisi minyak kenderaan dan juga membeli air dan sedikit makanan ringan buat bekalan.

Perjalanan yang bermula dengan lebuh raya tiga laluan itu sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan. Lama-kelamaan, jalanraya yang pada mulanya berturap bertukar kepada jalan batu kelikir kasar untuk beberapa kilometer, kemudian bertukar lagi kepada jalan trek berpasir pacuan empat roda. Sepanjang perjalanan kami tidak dapat melelapkan mata kerana lambungan kenderaan yang dipandu laju serta jalan yang beralun serta amat berdebu. Tambahan pula, pemandangan di luar yang menarik dan berbeza dengan Malaysia membuat kami teruja. Di sebelah kanan kami adalah gunung Kenya yang tersergam indah kejauhan dikelilingi oleh tanah lapang yang dipenuhi pokok renek dan rumput. Subhanallah, cantik sungguh! Syeikh Yaakub memberitahu terdapat lima batang sungai yang mengalir dari gunung Kenya, dan salah satu darinya adalah Sungai Tana, iaitu sungai yang terpanjang di Kenya.

Setiap kali melalui pekan kecil, kami dapati ramai orang yang berdiri di sepanjang jalan. Rupanya mereka adalah peniaga jalanan yang datang menyerbu untuk memujuk kami membeli barangan mereka seperti buah-buahan, susu unta, minuman bergas, sayur dan kayu sugi segar.

Pemandangan di sepanjang perjalanan mirip safari yang biasa dilihat dalam rancangan National Geographic. Mungkin kerana matahari tengah terik, binatang liar tidak kelihatan. Ada seketika pemandu kami membrek secara mengejut kerana seekor babun besar melintas jalan secara tiba tiba dengan sangat pantas.

Kami tiba di bandar Garissa sekitar 5 petang. Selesai meletak barang dan bersolat jama’ ta’khir, kami terus ke satu kawasan di hujung bandar Garissa untuk melihat kambing-kambing yang bakal dikorbankan. Kami memeriksa sendiri kambing-kambing tersebut untuk memastikan semuanya cukup besar untuk dikorbankan. Inilah amanat yang telah dipesan oleh dermawan Malaysia kepada kami. Setelah berpuas hati, kami pun pulang bersama Syeikh Yaakub ke penempatan yang telah disediakan untuk merehatkan badan.

Dua misi terdahulu oleh HALUAN telah membawa pasukan relawan kami lebih jauh ke utara iaitu ke pekan Hagadera, Dadaab dan Dagahaley, lebih kurang tiga jam perjalanan. Di situlah terletaknya kem-kem pelarian yang besar di bawah naungan UNHCR. Namun, keadaan keselamatan yang semakin tidak terkawal sekarang tidak mengizinkan kami untuk menerokai melebihi pekan Garissa yang didiami rata-ratanya oleh masyarakat berketurunan Somalia dan Kenya.

Dengan keadaan politik dan ekonomi yang semakin stabil di Somalia, pihak UNHCR, kerajaan Kenya serta kerajaan Somalia sedang merancang untuk mengajak pulang pelarian berbangsa Somali ke negara asal mereka, terutamanya untuk bekas penduduk Kismayo di sempadan Kenya itu. Namun, masih ramai warga asal Somalia enggan pulang kerana ketidakpastian kehidupan yang akan menanti mereka di negara sendiri. Pihak Kenya sendiri amat ingin “menghalau” pulang rakyat Somalia yang, bagi mereka, membawa seribu satu musibah awam kepada Kenya. Serangan ke atas Westgate Mall dan pertempuran di antara tentera Kenya dengan pejuang al-Shabab di Kismayo lebih menggetirkan suasana. Mereka dituduh menggunakan kem-kem pelarian sebagai tempat persembunyian mereka walaupun ini disangkal oleh ramai ketua-ketua kabilah di kem-kem berkenaan. Jenayah, kerosakan pada alam sekitar serta terjelmanya penyakit-penyakit seperti polio semakin menyukarkan kehidupan di kem-kem pelarian di sana.

Namun ada pihak-pihak di Kenya sendiri tidak bersetuju untuk menghambat pelarian berkenaan ke tanah asal mereka. Disebabkan urusan pelarian selama ini, kawasan tandus di timur Kenya yang dahulunya langsung tidak mendapat pembelaan mahupun perhatian kerajaan pusat kini mendapat imbuhan pelaburan dalam bentuk infrastruktur yang lebih sempurna seperti jalanraya, sekolah, hospital, kawalan polis, bekalan elektrik serta telekomunikasi. Di sekitar Dadaab sendiri, pondok-pondok ibarat bangsal kambing menjual kad prabayar untuk telefon. Manakala nun di hujung pekan koboi ini, terdapat tiang pemancar satelit yang besar yang membolehkan komunikasi internet berjalan lancar menggunakan teknologi 3G.

Ada penduduk asal Kenya berkata kedatangan pelarian Somalia telah membuka lembaran baru di kawasan tandus itu. Mereka yang asalnya berkehidupan nomad kini semakin pandai menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di situ dan menjana ekonomi sendiri. Masakan tidak; daerah Isli di Nairobi sendiri menyaksikan beberapa gedung besar dimiliki sepenuhnya oleh orang berbangsa Somalia. Pendeknya, golongan Somali ini lebih bijak berniaga berbanding rakyat Kenya sendiri.

Pelarian Somalia telah mula membanjiri Kenya sejak 1992 bila mana kerajaan Somalia menjadi lumpuh akibat peperangan saudara dan selepas itu kemarau yang berpanjangan. Ada pelarian yang sudah berkampung di Dadaab sehingga dua dekad lamanya dan beranak-pinak di sana. Namun ramai juga di kalangan mereka yang tiada kerakyatan kerana dilahirkan di kem-kem pelarian tersebut. Namun majoriti rakyat Somalia yang kini menjadi pelarian di bumi Kenya enggan berganjak kerana bimbang dengan keadaan untung nasib mereka di bumi sendiri.

Selagi itulah masalah umat pelarian Somalia ini menjadi beban bukan saja ke atas Kenya tetapi kepada setiap umat Islam seluruh dunia yang perlu membantu mereka dari segi apa sekalipun, terutamanya membentengi aqidah mereka yang sering terdedah kepada tawaran-tawaran lumayan misionari yang bergerak aktif di bawah perlindungan NGO-NGO naungan UNHCR. HALUAN sebagai NGO yang bertanggungjawab sentiasa peka dengan keadaan umat Somalia di sana dan ingin terus mengajak anda berbakti dengan menghulurkan bantuan derma untuk meringankan beban mereka.

Derma anda boleh disalurkan ke:-

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad


Laporan oleh Rijal Faiz Abdul Malek