fbpx

Somalia : Bukankah Kita Yang Lebih Layak Membantu?

Somalia : Bukankah Kita Yang Lebih Layak Membantu?

Somalia : Bukankah Kita Yang Lebih Layak Membantu?

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW. Sesungguhnya kesempatan tetamu yang dikasihi dan dimuliakan Sheikh Yakub Farah Hasan dan Saudara Ahmednadhir Omar yang bertandang jauh dari Garissa, sebuah tempat yang menjadi penempatan pelarian-pelarian di bumi gersang antara Kenya dan Somalia, sangat membangkitkan perasaan dan kesedaran.

Betapa mereka tidak putus-putus mengucap syukur AlhamduliLlah kerana dapat bersama dengan saudara-saudara seakidah yang berada di Malaysia, tidak jemu berterima kasih kerana disambut menjadi tetamu HALUAN dan saudara-saudara mereka di bumi Malaysia ini. Kata Sheikh Yakub, “kami telah berkenalan dengan relawan-relawan HALUAN ketika mereka merentas jauh untuk melihat dan menghayati sendiri kehidupan, kesusahan, tekanan, kemarau dan juga peperangan saudara yang sedang kami hadapi di Somalia.”

Beliau dan rakan-rakan seperjuangan di Northern Kenya Empowerment Initiative (NKEI) saban hari berfikir dan berusaha untuk memberi sumbangan bantuan kemanusiaan serta menubuhkan institusi pengajian yang diberi nama Al Irfan Islamic Institute yang menawarkan pengajian di pelbagai peringkat untuk anak-anak Somalia. Mereka juga menguruskan kebajikan mereka yang membanjiri perkhemahan pelarian di Dadaab, sebuah kem pelarian yang terbesar di dunia.

Lebih 95% penduduk Somalia adalah merupakan orang-orang Islam. Mereka ini hidup dengan serba sederhana dan tidak memiliki kekayaan. Namun mereka berpegang kukuh kepada akidah Islam dan sangat-sangat mencintakan al-Quran, di mana sebilangan besar daripada anak-anak Somalia adalah merupakan orang-orang yang menghafal al-Quran.

Sebenarnya Somalia merupakan sebuah negara yang strategik di Afrika kerana ia menjadi tebing timur kepada seluruh benua Afrika. Bumi itu juga begitu istimewa dengan kawasan pantai sejauh ratusan kilometer bersebelahan dengan benua Arab, suatu yang tidak dimiliki oleh kebanyakan negara-negara di Afrika.

Mereka ini hidup dalam keadaan penuh tekanan, kemarau, kelaparan dan kesusahan sepanjang masa. Semua ini terhasil daripada masalah-masalah yang sebenarnya terlalu mudah untuk diselesaikan bagi masyarakat di tempat lain.

Masyarakat Somalia rata-ratanya adalah penternak. Mereka hidup bersama dengan ternakan dan bergerak mengikut pengaruh rumput dan air. Sekiranya suatu tempat itu turun hujan, mereka akan bergerak ke arah tempat itu, sehinggakan tempat tersebut menjadi rebutan. Keperluan hidup mereka adalah sangat sederhana. Mereka hanya memerlukan binatang ternakan dan rumput-rumput!

Justeru itu, hidup mereka berkisar kepada tiga masalah utama iaitu kemiskinan, penyakit berjangkit yang banyak menular, dan yang paling asasi iaitu tidak mendapat pendidikan dan tidak berpengetahuan.

Apabila Somalia yang mempunyai penduduk majoriti Muslim ini menjadi sebuah kawasan strategik untuk dakwah Islamiah berkembang, tidak ada cara lain bagi kuasa-kuasa Barat dan mereka yang membenci Islam melainkan dengan mencetuskan pergolakan-pergolakan, supaya mereka tidak pernah hidup aman dan dakwah tidak berkembang.

Kita perlu insaf bahawa apa yang berlaku ini adalah merupakan sebahagian daripada kesan yang ditinggalkan oleh para penjajah. Bangsa Somalia asalnya merupakan komuniti lima buah negara yang digabungkan iaitu Ethiopia, sebahagian daripada Kenya, Djibouti, wilayah Somalia yang dijajah oleh Britain dan juga wilayah Somalia yang dijajah oleh Itali. Ini menyebabkan penyatuan bangsa ini menjadi sukar. Mereka yang menetap di Somalia ini pula berhadapan dengan pelbagai jenis ancaman – mereka mati di atas jalan-jalan, di dalam laut, mereka dipenjara di negara-negara jiran, anak-anak mereka diculik dan dibawa keluar, dan kebuluran serta kesusahan mereka menjadi peluang kepada pihak-pihak luar yang ingin menguasai mereka. Setiap kesusahan ini digunakan oleh pihak-pihak tersebut untuk menyekat dakwah Islamiah daripada merebak ke dalam Afrika seluruhnya.

Contohnya, kem-kem pelarian di Dadaab menempatkan lebih daripada 500 ribu orang. Perkhemahan mereka ini dibiayai oleh lebih 47 buah NGO asing yang bernaung di bawah agensi-agensi PBB, tetapi sayangnya kesemua NGO tersebut begitu jelas sekali membawa visi Kristian. Mereka mengambil kesempatan dari kemisikinan ini untuk memperluaskan pengaruh Kristianisasi mereka. “Tidak ada NGO Islam yang sampai di Dadaab melainkan dua NGO, iaitu insani Yardem Vakfi (IHH) daripada Turki dan HALUAN daripada Malaysia. HALUAN hanya mampu untuk menghantar tiga misi setakat ini, membawa sejumlah bantuan makanan dan perubatan sumbangan masyarakat prihatin di Malaysia,” Sheikh Yakub berkata ketika menyampaikan kuliah di Masjid Bandar Bukit Puteri, Rawang.

Di Dadaab, NGO asing menghantar anak-anak orang Islam belajar di insitusi-institusi mereka. Mereka menjaga janda-janda dengan program-program dan agenda-agenda yang mereka susun. Apabila kita melihat NGO Kristian ini begitu sibuk menguruskan anak-anak ini, NKEI merasakan bahawa keperluan kepada sekolah dan pendidikan adalah sangat penting, lebih-lebih lagi di sana tidak ada sekolah untuk kanak-kanak kecuali pondok-pondok menghafal al-Quran yang dipanggil dugsi. Lebih malang lagi, apabila NGO luar ini membuka taman-taman asuhan secara percuma dengan prasana yang baik, pondok-pondok ini mula ditinggalkan.

Apa yang NKEI mampu buat hanyalah dengan menyediakan ruang-ruang supaya anak-anak Islam ini dapat meneruskan pengajian Islam dan ilmu-ilmu kehidupan yang lain. Beberapa pelajar telah berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara seperti di Sudan, Uganda, Saudi, Mesir, bahkan di Malaysia juga. “Inilah yang dapat kami simpulkan daripada persaudaraan Islam yang telah banyak membantu. Orang-orang Islam dari seluruh dunia telah merealisasikan persaudaraan mereka,” ucap Sheikh Yakub.

Marilah sama-sama kita bayangkan bagaimana kehidupan saudara-saudara kita di Somalia. Mereka hidup dengan dikelilingi oleh pelbagai masalah. Mereka juga tidak pernah melihat sebuah kerajaan yang berfungsi sejak 20 tahun lalu. Ini adalah masalah yang sangat besar, kerana dari sini lahirlah masalah kemiskinan dan kebuluran. Pihak musuh Islam mengambil masalah ini sebagai peluang keemasan untuk masuk menabur bakti yang palsu dan menyelewengkan ummah.

Rumah mereka didirikan dengan hanya menggunakan ranting-ranting kayu yang berdindingkan cebisan-cebisan baju yang lusuh, yang tidak sekali-kali dapat melindungi mereka daripada panas, hujan dan sejuk. Mereka tidak ada alas untuk tidur, tidak ada apa-apa untuk mengalas perut, tidak ada air untuk diminum, dan tidak ada pakaian atau selimut untuk anak-anak yang sedang dalam kesejukan. Tidak ada sebarang keperluan asas yang cukup untuk mereka.

Mereka memerlukan bantuan untuk mendirikan masjid, sekolah dan hospital. Cuba bayangkan, bagaimana kehidupan lebih 500 ribu orang tanpa sekolah dan hospital? Makanan mereka hanya datang dari sumbangan NGO luar dalam bentuk barli dan kacang-kacang sahaja. Suatu bantuan yang tidak membantu untuk mereka untuk menjadi orang-orang yang sihat dan berdikari.

Mereka memerlukan bantuan untuk menempatkan pelajar-pelajar yang tidak ada siapa menanggung mereka, begitu juga kelengkapan serta perbelanjaan untuk anak-anak yatim.

Dengan merendah diri Sheikh Yakub menyebut, “tugas kami datang ke sini adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku di sana, di mana orang-orang bukan Islam datang dari jauh untuk memberikan bantuan.” Apakah kita yang beragama Islam ini tidak mempunyai tanggungjawab yang lebih utama untuk membantu? Sedangkan Allah telah menjanjikan untuk kita ganjaran besar atas setiap bantuan, dan pihak asing ini sebenarnya tidak pernah mendapat apa-apa janji daripada Allah. Bukankah kita percaya bahawa setiap janji Allah itu pasti akan berlaku?

Sesungguhnya kita inilah orang-orang yang lebih layak untuk membantu saudara-saudara kita. Ingatlah, barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin, dia bukanlah daripada kalangan mereka.

Kita semua sedar bahawa saudara-saudara kita di Libya masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah. Tetapi masalah yang dihadapi itu tidak pernah menjadi halangan bagi mereka untuk menghantar sebuah pesawat kapal-terbang yang sarat dengan muatan bantuan kemanusiaan ke Somalia.

“Berilah bantuan kepada sesiapa sahaja atau mana-mana pertubuhan yang anda percayai, tidak semestinya melalui kami. Bantulah semua saudara-saudara kita yang memerlukan, bukan semestinya di Somalia sahaja bahkan juga saudara-saudara kita di Syria. Bergeraklah dan lakukanlah sesuatu untuk mereka, kerana mereka adalah saudara-saudara kita dan Allah akan soal tentang mereka kepada kita. Jangan sampai kita menikmati kehidupan ini tanpa mempeduli mereka yang memerlukan,” seru Sheikh Yakub.

Kita perlu sedar bahawa orang-orang Barat telah membelanjakan berjuta-juta dollar untuk memberikan bantuan, tetapi mereka membantu semata-mata kerana semangat kemanusiaan dan simpati di samping kebanggaan bahawa mereka adalah golongan yang maju dan boleh membantu.

Tetapi bagi kita, Allah telah menjanjikan ganjaran yang berganda-ganda ke atas setiap apa yang kita berikan. Setiap sadaqah kita menjadi ibadah dan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Siapakah yang sebenarnya lebih layak membantu? Benarkah kita ini adalah saudara seakidah kepada mereka? Apakah kita sudah tertipu dengan nikmat yang sedang kita miliki?

Kadang-kadang kita terlupa apabila hidup dengan dikelilingi pelbagai nikmat. Kita yang setiap malam dapat tidur dengan nyenyak ini mungkin terlupa bahawa ada saudara-saudara kita yang tidak pernah mengecapi nikmat itu. Saudara-saudara kita yang lelaki tidak mempunyai pakaian untuk berlindung daripada sejuk, saudari-saudari kita tidak cukup pakaian untuk menutup aurat dengan sempurna, tidak ada makanan yang cukup untuk melahirkan anak-anak yang sihat dan kuat, walaupuan semua itu adalah keperluan yang sangat asas untuk setiap insan. Mereka tidak pernah merasai keamanan.

Seperti yang kita fahami, orang-orang Islam ini menjadi sedikit bila mereka bersendirian. Tetapi mereka akan menjadi ramai dan kuat apabila mereka bersama dengan saudara-saudara mereka yang lain. Rasulullah SAW mengajar kita bahawa barangsiapa yang tidak mengambil peduli urusan orang Muslim, maka dia bukanlah daripada kalangan mereka.

“Alhamdulillah, anda di Malaysia merupakan golongan yang berpandangan jauh dan tidak hanya melihat kepada keperluan diri sendiri semata-mata. Anda mampu melihat permasalahan ummat, dan kami berbangga dengan sikap anda membela umat-umat Islam di merata tempat. Sedangkan kami hanya mampu untuk berfikir tentang diri kami sahaja”, ucap beliau dengan penuh keikhlasan.

Tetapi janganlah kita hanya memberi saki-baki atau lebihan daripada apa yang kita ada, janganlah sekadar menghulur sumbangan daripada apa yang kita tidak lagi perlukan. Cubalah untuk turut merasai gelisah yang dialami oleh saudara-saudara kita di Somalia.

Rasulullah SAW pernah mengajar bahawa seorang Muslim boleh menukar setiap nikmat dan perbuatan biasa seorang manusia menjadi ibadah. Keikhlasan kita dalam menjamu makanan menjadi ibadah, berpakaian kita menjadi ibadah, bahkan masuk ke dalam tandas juga menjadi ibadah. Jika begini, bagaimana orang-orang Mukmin tidak boleh masuk ke Syurga Allah?

Di akhir kata, Sheikh Yakub berpesan, “Rasulullah juga menyebut bahawa setiap kamu akan memasuki Syurga Allah kecuali orang yang tidak mahu. Siapakah mereka itu? Itulah orang-orang yang mengingkari ajaran dan seruan Rasulullah SAW.”

Marilah kita sama-sama merebut Syurga Allah dengan berdiri bersama-sama saudara kita yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada sedikit nikmat yang Allah amanahkan kepada kita.

Rencana ini ditulis bersumberkan kepada ceramah dan penerangan yang disampaikan oleh Sheikh Yakub Farah Hasan, Pengerusi Northern Kenya Empowerment Initiative (NKEI) yang sedang melakukan ziarah dan ceramah di Malaysia. Mereka telah banyak membantu relawan-relawan HALUAN dalam bentuk lojistik dan maklumat ketika menyalurkan bantuan rakyat Malaysia kepada pelarian-pelarian Somalia di Dadaab.

Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan melalui akaun

HALUAN
Akaun No. 14-023-01-002571-8
(BIMB).


Pasukan relawan HALUAN yang seterusnya akan berlepas ke Dadaab dalam masa terdekat.