fbpx

Solehkan Anak Dengan KASeH

Solehkan Anak Dengan KASeH

Solehkan Anak Dengan KASeH

SHAH ALAM, 8 Jun 2015 — Bersempena cuti sekolah baru-baru ini, Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Wilayah Tengah dengan kerjasama Biro HALUANITA telah menganjurkan Kem Anak Soleh (KASeH) kali ke 8 di Kem Bumi Jati pada 3-5 Jun lepas.

Program ini telah disertai 45 peserta lelaki dan 40 perempuan. Objektif kem ini adalah mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan dan melatih diri anak-anak ini agar berakhlak dengan akhlak kanak–kanak zaman Rasulullah SAW.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuklah ice breaking dan team building, slot pengisian minda, slot Akhlak Rasulullah SAW, Muhasabah Diri, Kembara Solat dan Kembara Tarbawi, serta riadhah berkumpulan. Semua peserta sangat bersemangat dan termotivasi dengan aktiviti yang dilaksanakan.

Antara aktiviti yang menarik adalah Kembara Solat. Ia mempunyai lima check point dan di setiap check point, peserta perlu membuat setiap satu pergerakan di dalam solat sambil diperhatikan oleh fasilitator yang memberikan teguran.

Peserta semakin teruja dengan rakan-rakan yang baru mereka temui. Kemesraan pun semakin terjalin. Ini dimantapkan lagi dengan aktiviti yang menarik seperti Kembara Tarbawi. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah di setiap check point, ada check point lakonan (melakonkan enam akhlak mulia Rasulullah SAW), check point nasyid (menyanyikan lagu tema iaitu Akhlak Mulia), Checkpoint Hadith (menghafal 6 hadith akhlak Rasulullah SAW), checkpoint Risalah IlanNabi (surat Cinta kepada Rasulullah), serta checkpoint Man Ana? (Teka Silang Kata).

Menurut peserta adik Hasif Fitri Hasbullah, 11 tahun, dari Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, beliau amat seronok dengan penglibatan dalam kem ini. “Alhamdulillah, saya suka sebab kem ini bagus mengajar kami apa itu akhlak sebenar seorang Muslim. Banyak ilmu yang kami perolehi dari program ini serta dapat belajar berkerjasama dalam kumpulan. Saya dapat belajar menjadi budak yang soleh dan insyaAllah saya ingin datang lagi ke program KASeH pada masa depan. Mungkin selepas program ini saya dapat membuat perubahan sedikit demi sedikit dalam diri.”

“Program Kem KASeH pada kali ini amat best,” kata adik Aliyah Umairah Mohd. Nasaruddin, 11 tahun, dari Maahad Tahfiz Al–Aqsa.

“Perkara yang saya dapat dalam kem KASeH ini adalah dapat tahu mengenai akhlak Rasulullah SAW itu sendiri. InsyaAllah sikit-sikit saya dapat mencontohi akhlak mulia Rasulullah. Kalau ada kem ini lagi saya nak datang. Dalam kem ini saya juga dapat muhasabah diri, mengutus surat kepada baginda Rasulullah serta dapat tahu mengenai sirah–sirah perjuangan dan akhlak baginda yang dapat dicontohi.”

Salah seorang ibu kepada peserta bernama Amir Syakir Ainul Adnan, Puan Halinah Mohd Ali, dari Seksyen 20 Shah Alam, – turut positif dengan KASeH.

“Pada pandangan saya, secara kasarnya program ini memang baguslah. Secara pendekatannya modulnya sama sahaja tetapi kali ini fokus kepada akhlak Rasulullah SAW. Jika modul program ini masih menggunakan modul yang sama, peserta yang pernah pergi sebelum ini akan menjadi sedikit bosan. Tapi tidak dengan program anjuran HALUAN ini. Sentiasa peka dengan suasana. InsyaAllah program ini terbaik untuk kanak–kanak bawah 12 tahun. Apabila ditanya kepada anak mengenai KASeH ini dia menjawab program ni best dan seronok sangat,” kata ibu tersenyum.

Pengarah KASeH 8, Muzammil Shamsudin, pula melahirkan kesyukuran atas kerjasama yang baik daripada para relawan fasilitator KASeH terdiri daripada mahasiswa universiti.

“Alhamdulillah, abang–abang dan kakak–kakak fasilitator telah memberikan komitmen yang bagus. Namun masih banyak perkara yang boleh diperbaiki untuk masa yang akan datang. Begitu juga setinggi–tinggi tahniah kepada Kem Komandan dan Timbalan Kem Komandan yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan lancar. Pada pandangan saya, kem ini telah berjalan dengan baik sekali. Terima kasih kepada komitmen daripada fasilitator dan urusetia. Harapan saya yang paling utama adalah supaya kem kom, urusetia dan fasilitator boleh kekal istiqamah di atas jalan yang diredhai Allah SWT ini. Memimpin dan mendidik adik-adik muda di peringkat sekolah rendah ini amat penting agar mereka mendalami asas Islam yang betul supaya tidak terjebak dengan gejala maksiat semasa mereka membesar nanti. Rokok, dadah, hidu gam, rempit, berasmara dan berkelakuan sumbang semuanya bukan daripada ajaran Islam. Maka kami terpanggil untuk membantu mereka mengenali apa itu akhlak Islam dan apa yang bukan,” tegas beliau sebagai seorang mahasiswa universiti.

Muhammad Aidil Aswad, Kem Komandan KASeH 8 turut setuju dengan Muzammil bahawa urusetia KASeH telah menjalankan tugas mereka dengan sangat baik. Adik–adik peserta pula mudah menuruti arahan yang diberikan.

“Tempat penginapan, tempat makan dan lain–lain sangat memuaskan. Saya merasakan formula kasih sayang antara fasi dan peserta sebenarnya telah menjayakan program ini. Saya mengharapkan para peserta KASeH 8 dapat menjadi anak yang soleh dan solehah di rumah, sekolah mahu pun di tempat awam mengikut akhlak Rasulullah. Ubahlah sikap menjadi orang yang Allah akan sayangi kerana akhlak Rasulullah ini sangat penting untuk dititikberatkan.”

Semoga Kem Anak Soleh akan dapat terus dilaksanakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar sekolah rendah bagi mengisi ruang masa cuti sekolah dengan aktiviti yang bermanfaat. HALUAN mengalu-alukan sebarang pertanyaan terutama daripada guru-guru kaunselor di sekolah tentang kaedah pembentukan akhlak murid ini. Mereka boleh menghubungi KeARAH di talian 03 8926 8892.

Laporan Khairul Mastura Mustafa Kamal, Wartawan KASeH 8