fbpx

SKEMA XII Gencar Mahasiswa Jadi Pemimpin Rabbani

SKEMA XII Gencar Mahasiswa Jadi Pemimpin Rabbani

SKEMA XII Gencar Mahasiswa Jadi Pemimpin Rabbani

BANGI, 29 September 2013 – Seminar Kesejahteraan Mahasiswa (SKEMA) kembali lagi meneruskan legasi, buat penganjuran kali ke-12 di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kali ini dengan membawa tema “Mahasiswa Rabbani Menjana Kepimpinan Ummah”, seminar ini telah berjaya menarik seramai hampir 400 orang mahasiswa dan mahasiswi bukan sahaja dari institusi pengajian tinggi di sekitar lembah Klang malahan negeri-negeri lain di semenanjung Malaysia.

SKEMA XII membuka tirai dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN. Usai ucapan aluan tersebut, majlis diteruskan dengan penyampaian slot pertama “Aku Mahasiswa Rabbani” oleh Ustaz Nur Muhammad Jamil mengenai penakrifan mahasiswa rabbani. Sementara itu, penyampaian slot kedua “Mahasiswa dan Kepimpinan” telah disampaikan oleh Encik Noorazman Samsuddin, Pengerusi Lifeline4Gaza dan Ketua Relawan Misi Mavi Marmara. Dalam penyampaian selama dua jam lebih itu, beliau mengajak mahasiswa untuk mengenali diri dan mengetahui hakikat mahasiswa sebagai seorang mukmin dan pemimpin yang berjaya dan turut sama diselitkan pengalamaan beliau sewaktu menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Sesi petang kemudiannya diteruskan selepas solat Zohor dengan forum yang bertajuk “Mahasiswa Rabbani Menjana Kepimpinan Ummah” yang dikendalikan oleh Saudara Ahmad Hashimi Roslan, disertai tiga orang panelis dengan pelbagai latar belakang akademik iaitu saudara Muhammad Ikhwan Zulkifli, saudari Amalina Che Ani, dan Dr. Zurina Muda. Sebagai penutup, seminar diakhiri dengan ucapan oleh Encik Abu Ubaidah Sharudin, Ketua Siswa HALUAN.

Buat saudara Wan Ersyad Wan Zain yang pertama kali menyertai siri SKEMA berpendapat bahawa SKEMA XII membawa satu isu yang dekat di hati mahasiswa yang berada di fasa tercari-cari identiti diri. Mahasiswa UniKL MIAT ini juga berkata, dengan kupasan yang mendalam, perubahan yang ingin dibuat oleh peserta selepas ini akan lebih terarah.

Dalam pada itu, mahasiswi jurusan Psikologi, UIAM, saudari Niena Najwa Md. Rashid, melihat bahawa secara keseluruhannya objektif SKEMA kali ini telah tercapai namun penyampaian masih perlu dipertingkatkan lagi agar lebih mudah difahami dan menyentuh hati pendengar.

Sementara itu, Pengarah SKEMA XII, saudara Nik Mohd Farhan Nik Mohd Azlan ketika diminta mengulas berkata, beliau bersyukur SKEMA kali ini dapat berlangsung dengan lancar. Selain itu, beliau berharap program ini dapat menjadi pencetus kepada para peserta agar tidak berputus asa dalam sama-sama membentuk diri menjadi hamba Allah yang rabbani, berjaya di dunia dan di akhirat.

Beliau juga mewakili pihak penganjur melahirkan rasa kesal dan memohon maaf berhubung penukaran tempat di saat akhir dan masalah- masalah teknikal yang berlaku sepanjang program berlangsung.


Laporan oleh Maryam Shamsudin, Setiausaha SKEMA XII