fbpx

Siswi Menyemaikan Ukhuwahfillah Di REKREASI SISWI NASIONAL 2013

Siswi Menyemaikan Ukhuwahfillah Di REKREASI SISWI NASIONAL 2013

Siswi Menyemaikan Ukhuwahfillah Di REKREASI SISWI NASIONAL 2013

PERLIS, 21 Jan 2013 – Seramai 70 orang siswi telah menyemai ukhuwah di Rekreasi Siswi Nasional 2013 (RESS`13) pada 18 hingga 20 Januari 2013 di Pusat Rekreasi Wang Mu, Perlis Indera Kayangan.

Program ini telah dianjurkan oleh Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) yang dibantu oleh 20 orang siswi dengan kerjasama RMC Training Center. Bertemakan “Semaikan Ukhuwahfillah, Bumikan Mahabbatullah”, program rekreasi siswi kali ini bertujuan menanamkan nilai-nilai ketauhidan kepada Allah dan kecintaan kepada Rasulullah sambil menyuburkan silaturrahim sesama peserta.

Hari pertama program dimulai dengan aktiviti pemasangan khemah kemudian disusuli aktiviti ice breaking, team building dan latihan dalam kumpulan. Pada sebelah malam program terisi dengan penyampaian yang sangat menyentuh hati sanubari para peserta daripada Cikgu Azmi Bahari, seorang pendidik di Ma’had at-Tarbiyah Islamiyyah Beseri, Perlis yang juga merangkap Komanden Kem Rekreasi Siswi 2013. Beliau menekankan kepentingan mengenali Allah SWT dalam rangka untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam. Natijtahnya akan menyebabkan hati terasa tenang dan indahnya hidup bertuhan serta manisnya berukhuwah kerana Allah.

Perjalanan program pada sebelah siang hari kedua benar-benar menguji ketangkasan fizikal dan mental para peserta dengan aktiviti jungle trekking di Gua Kelam yang telah ditempuhi para peserta. Pada sebelah petang pula, Encik Abdul Hamid, Pengarah Urusan Tadika Embun Sejati tampil menbantu melancarkan slot modul sembelihan ayam. Kemeriahan rekreasi siswi bertambah rancak dan berseri pada sebelah malam dengan kehadiran barisan HALUANITA Perlis yang turut hadir untuk bermesra dengan para peserta. Tambahan pula, pesembahan kreatif serta menarik yang disampaikan oleh para peserta dan barisan urusetia telah menceriakan suasana bumi Wang Mu pada malam tersebut.

Setelah dua hari berjuang dalam rekreasi siswi, pada hari terakhir para peserta saling bertempur dalam aktiviti “war game” dengan sepenuh hati mereka. Permainan ini bertujuan mendidik para siswi agar menjadi muslimah yang berjiwa kental seperti muslimah-muslimah di Palestin yang mempunyai semangat jihad yang tinggi dalam berjuang menegakkan Islam. Majlis penutupan rekreasi siswi telah disempurnakan oleh Puan Marziah Said, seorang pendidik di Tadika Embun Sejati Perlis yang menegaskan dalam ucapan beliau mengenai pentingnya sebagai seorang muslimah untuk sentiasa memperbaiki dan mempersiapkan diri menjadi mujahidah sejati.

Salah seorang peserta yang julung kalinya menyertai rekreasi ini Saudari Muhsinah Mokhtar Mohed yang merupakan siswi tahun tiga Ijazah Pendidikan Islam Pendidikan Rendah dari Institut Penguruan Sultan Abdul Halim berkata, “Alhamdulillah Allah menggerakkan hati saya untuk menyertai RESS’13. Program sebegini sangat bermanfaat kerana dapat memberi pengalaman baru, mencabar diri untuk berhadapan dengan cabaran dan dapat menjalinkan ukhuwah sesama mereka yang berjuang di jalan Allah. Semoga kita terus diberi kekuatan untuk istiqamah dalam menuju redha Allah”.


Laporan Ummi Mariatul Thohirah Suhaimi