fbpx

Siswazah Politeknik Kasih Bersama Orang Asli

Siswazah Politeknik Kasih Bersama Orang Asli

Siswazah Politeknik Kasih Bersama Orang Asli

TASIK BANDING, PERAK, 18 Sept 2018 – Seramai 34 orang pelajar dan empat orang tenaga pengajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, (PTSB) Kulim, Kedah dibantu 13 orang sukarelawan HALUAN telah menyertai Projek Khidmat Masyarakat di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun di daerah sini.

Program yang bermula dari 14 hingga 16 September 2018 itu adalah anjuran PTSB dengan kerjasama HALUAN Pulau Pinang dan Biro Kebajikan HALUAN. RPS Air Banun terdiri daripada lapan buah kampung penempatan orang asli daripada suku kaum Temiar dan Jahai. Program kali ini mensasarkan dua buah kampung khusus ng iaitu Air Banun dan Sungai Raba yang terletak sekitar satu jam perjalanan dari pekan Gerik, Perak.

Pada hari pertama, majlis suaikenal dan perasmian telah diadakan di balai raya Kampung Air Banun yang penduduknya terdiri daripada suku Jahai. Perasmian program disempurnakan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar PTSB, Ustaz Hamzah Harun. Dalam ucapannya beliau menegaskan pihak PTSB akan berusaha untuk menyusun program seterusnya kerana ia bermanfaat bagi penuntut politeknik. Dalam ucapan balas, Tok Batin Kampung Air Banun, Encik Cheneleg telah menekankan akan keperluan hidup aman damai walaupun dari tempat atau bangsa yang berbeza.

Sempena dengan majlis perasmian tersebut, jamuan makan dan sumbangan bahan makanan kering dan pakaian terpakai telah diberikan kepada penduduk di situ. Pada sebelah malamnya, tayangan video untuk kanak kanak dan dewasa diadakan. Kehadiran adalah sekitar 100 orang.

Pada hari kedua para relawan telah mengadakan program gotong- royong dari rumah ke rumah penduduk berkenaan diikuti dengan jamuan tengahari dan sukaneka untuk kanak-kanak dan remaja. Aktiviti tersebut amat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para penduduk yang sangat teruja dengannya. Alatan sukan seperti bola dan lainnya dihadiahkan kepada mereka. Mereka mengharapkan program lawatan sebegitu dapat diadakan lagi. Menurut pengarah program Dr. Ahmad Ikhwan Subberi daripada HALUAN, sambutan oleh penduduk kampung terhadap program khidmat berkenaan amat menggalakkan di luar dugaan. Ini menandakan mereka telah mengambil sikap terbuka kepada masyarakat luar.

Pada hari ketiga, program telah diisi dengan aktiviti gotong-royong di persekitaran surau solat Jumaat di Kampung Sungai Raba termasuk membaik pulih tandas awamnya yg kos pembaikannya di sumbang oleh Biro Kesihatan HALUAN.

Sebelum itu peserta program telah memberikan sumbangan bahan makanan asasi dari rumah ke rumah di kampung berkenaan yang didiami kebanyakannya oleh orang asli suku kaum Temiar. Jamuan nasi diadakan juga untuk penduduk kampung.

Acara majlis penutup program disempurnakan oleh wakil HALUAN, Encik Abdul Halim Khudri yang mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan PTSB, JAKOA, pengurusan Sekolah RPS Air Banun serta Tok-tok Batin kedua-dua buah kampung yang telah memberikan kerjasama yang terbaik kepada HALUAN. Dalam ucapan penutup, Tok Batin Sungai Raba, Tok Batin Ali telah mengucapkan terima kasih kepada peserta kerana program berkenaan telah berjaya membuka minda masyarakat orang asli Kampung Air Banun untuk menerima kehadiran orang luar.

Dalam ucapan balasnya, Encik Halim telah menjelaskan bahawa pihak HALUAN dan PTSB akan terus berusaha untuk mengatur program jangka panjang untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi serta pendidikan masyarakat di perkampungan RPS Air Banun dan perkampungan-perkampungan sekitarnya.

__
Laporan Abdul Halim Khudri, HALUAN Pulau Pinang

Bergambar kenangan dengan Tok Batin Cheneleg
Gotong-royong membaiki Tandas Awam Surau Solat Jumaat Kampung Sungai Raba sumbangan Biro Kesihatan Haluan (BKH)
Majlis jamuan tengahari untuk penduduk dua buah kampung
Aktiviti sukaneka untuk kanak kanak dan remaja
Aktiviti gotong royong di Kampung Air Banun
Majlis Penutup dan pemberian cenderahati kepada Ketua Kampung Sungai Raba, Encik Ali Bah Pintu.