fbpx

Sistem Rawatan Air Bawah Tanah UMP & HALUAN

Sistem Rawatan Air Bawah Tanah UMP & HALUAN

Sistem Rawatan Air Bawah Tanah UMP & HALUAN

BANDAR BARU BANGI, 26 Jun 2015 — Masyarakat terpencil negara ini sering tertinggal daripada menikmati prasarana awam seperti bekalan air minum yang bersih sehingga boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) telah tampil menawarkan khidmat baktinya dengan membawa kaedah penapisan air bumi untuk penduduk kampung Bajau Laut di Kampung Kabog, Kunak, Sabah yang amat terpinggir daripada pembangunan dalam semua aspek. Sistem rawatan air bawah tanah ini adalah satu inisiatif yang dibangunkan menerusi geran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Knowledge Transfer Program (KTP), khusus untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat bagi kegunaan domestik dan juga dalam pembangunan kawasan pertanian. Projek ini juga merupakan satu inisiatif secara bersama antara Pusat Penyelidikan & Pengurusan Sumber Alam (CERRM UMP) bersama HALUAN di bawah Program Pembangunan Minda Insannya.

Secara umumnya, Malaysia mempunyai banyak sumber air termasuk di bahagian permukaan dan juga daripada bawah tanah. Walau bagaimanapun, bekalan air bersih menjadi semakin berkurangan memandangkan permintaan yang semakin meningkat sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk.

Kekurangan air bersih juga secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan masyarakat. Sebagai contoh, kekurangan air bersih untuk diminum boleh menyebabkan proses dehidrasi berlaku serta menyebabkan penularan wabak penyakit seperti kolera akibat air minuman yang tercemar. Kekurangan bekalan air bersih juga memberikan kesan kepada sumber tanah. Ia menyebabkan tanah menjadi tandus sekaligus memberi kesan kepada kualiti tanah. Ini menjejaskan produktiviti pertanian dan seterusnya memberi kesan kepada bekalan makanan serta pertumbuhan ekonomi.

Sistem rawatan air bawah tanah usahasama Kementerian Pendidikan Malaysia dengan inisiatif di antara Universiti Malaysia Pahang dan HALUAN ini merupakan solusi terbaik demi menyantuni ribuan penduduk miskin di daerah berkenaan.

Sistem ini terdiri daripada beberapa peringkat bermula dengan merawat kandungan besi yang tinggi (high iron content) di dalam air dan menstabilkan pH pada tahap yang sesuai dengan keperluan minuman dan pengairan. Selain itu juga, bagi memastikan keberkesanan usaha ini, penapis air mesra alam yang direka khusus bagi merawat air bawah tanah turut digunakan bagi menjamin kualiti air yang dirawat. Penapis air ini dihasilkan daripada abu kilang sawit dan juga sisa arangbatu (clinker) dari boiler yang diproses dan diaktifkan bagi menapis atau merawat air bawah tanah. Kaedah ini terbukti berupaya menghasilkan air bawah tanah yang menepati piawaian air minuman.

Pengenalan sistem rawatan air bawah tanah ini pada awalnya memfokuskan kepada usaha-usaha dalam membantu masyarakat di kawasan terpencil seperti di pendalaman Sabah dan Sarawak yang terletak jauh dari sumber air bersih. Malah sistem rawatan air konvensional sedia ada memerlukan kos penyambungan air bersih dari loji penapisan ke kawasan tersebut yang bakal menelan belanja berbilion ringgit sehingga menjadikan projek berkenaan tidak berbaloi. Di sebaliknya, projek usaha sama alternatif oleh HALUAN ini bakal memberikan impak yang jauh lebih jimat dan bermanfaat kepada masyarakat desa. Justeru, penggunaan air bawah tanah yang telah dirawat dilihat sebagai salah satu inisiatif yang paling relevan dalam usaha memastikan taraf hidup dan kelangsungan masyarakat khususnya di kawasan pendalaman dapat terus ditingkatkan sejajar dengan langkah Malaysia menuju taraf negara maju menjelang 2020.

Laporan oleh Biro Penerangan HALUAN