fbpx

Sirah Nabi Sebagai Batu Bata Asas Kebangkitan Ummah

Sirah Nabi Sebagai Batu Bata Asas Kebangkitan Ummah

Sirah Nabi Sebagai Batu Bata Asas Kebangkitan Ummah

HULU LANGAT, 20 Okt 2015 – Kian Mekar kali ke-18 telah berjaya diadakan oleh Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) UIAM Gombak pada 17 dan 18 Oktober yang lalu bertempat di Impiana Resort, Hulu Langat. Bertemakan “Pearls of The Shepherd’s Path” (Mutiara-mutiara Perjalanan Sang Pengembala Kambing), Kian Mekar kali ini memberi fokus kepada penghayatan sirah Rasulullah SAW.

Bagi mencapai tujuan itu, pihak penganjur telah menjemput Ustaz Darus Senawi Ali, Penasihat HALUAN untuk menyampaikan slot ucap utama program ini bersesuaian dengan kepakaran dan penguasaan beliau dalam sejarah Islam.

Di dalam slotnya yang bertajuk “Mutiara-Mutiara Daripada Sirah Rasulullah SAW Buat Para Pemuda/Pemudi Islam”, para peserta telah dijelaskan dengan mendalam tentang batu-bata asas kebangkitan ummah yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW.

“Sirah Rasulullah SAW adalah sirah perjalanan satu ummah (bukan seorang individu) yang dibina oleh baginda sendiri. Baginda telah memungut individu-individu seperti saidina Abu Bakar, Ali, Umar, Utsman dan lain-lain melalui dakwah fardiyah (dakwah secara individu) seterusnya membangunkan satu ummah yang unik”, ujarnya dengan penuh serius. Seharusnya kaedah ini yang perlu kita ikuti dalam membina sebuah ummah yang kukuh akidahnya dan murni akhlaknya.

Selain itu juga, Kian Mekar juga diselitkan dengan pelbagai aktiviti yang menarik antaranya Lailah Tsaqafah (Malam Kebudayaan) dan aktiviti explorace yang keseluruhannya bertemakan sirah. Di dalam aktiviti malam kebudayaan,terdapat tiga aktiviti utama yang dipersembahkan oleh para peserta mengikut kumpulan yang telah dibahagikan iaitu dendangan nasyid, lakonan dan deklamasi sajak. Setiap kumpulan diberi pilihan untuk memilih tajuk yang berkisar tentang sirah.

Untuk aktiviti explorace, terdapat empat check point dengan empat pendekatan yang berbeza. Diawal checkpoint yang pertama, para peserta dijelaskan tentang kepentingan aqidah yang sejahtera di dalam diri seorang muslim. Tidak mengambil yang lain selain Allah SWT sebagai penolong, serta melahirkan keyakinan yang padu terhadap Allah SWT dalam setiap perbuatan. Seterusnya pada check point kedua pula,para peserta disuntik dengan kesedaran akan mustahaknya bekalan hidup di dalam perjalanan menuju Allah SWT. Hal ini seperti seorang pengantin baru yang begitu sibuk dengan persiapan serta perhiasan diri agar kelihatan cantik di hari yang penting buatnya.

Kemudian, pada checkpoint yang ketiga para peserta diberikan gambaran yang menyeluruh tentang hakikat realiti masa kini yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk jahiliah dan kecenderungan manusia untuk mengikuti. Slot ini juga mendedahkan, tip-tip praktikal agar sentiasa berwaspada dengan segala bentuk jahiliah yang sangat mencengkam jiwa. Pada checkpoint yang terakhir, para peserta dipersoalkan tentang usaha yang dilakukan untuk memperoleh sesuatu yang sangat bernilai (syurga Allah SWT) seterusnya membandingkan usaha kita dengan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang terdahulu. Melalui aktiviti-aktiviti ini, para peserta perlu mengaitkan kefahaman tentang sirah dalam menyelesaikan permasalahan kehidupan.

Di penghujung program ini, para peserta telah mendengar ucapan majlis penutup yang disampaikan oleh Puan Norizan Mohamad Noh, Ketua Biro HALUANITA Unit Gombak sebagai kesimpulan kepada keseluruhan program. Beliau turut menekankan keperluan mempelajari dan mengaplikasi sirah di dalam diri serta kepentingan dakwah dan tarbiyah dalam kehidupan.

Selain itu, para peserta disarankan agar meletakkan satu sudut pandang bahawa setiap orang di sekeliling kita boleh menjadi sumber pahala. Dakwah adalah cara untuk mendapat pahala yang lebih besar berbanding amalan-amalan yang dilakukan sebagai seorang muslim. Kerana sifat Iman yang sentiasa berubah, maka tarbiah harus dilalui secara berterusan sehingga pulang dijemput oleh Allah SWT.

Turut diadakan adalah sesi penyampaian untuk semua kumpulan bagi meraikan komitmen dan kesungguhan para peserta sepanjang program dijalankan. Menurut Saudari Intan Dalili yang baru pertama kali menyertai Kian Mekar, program ini sangat menarik dan memberi kesan kerana penyampaian diberikan secara santai dan mudah diterima, serta dapat menambah kenalan baru secara tidak langsung. Program ini juga memberi kepuasan kepada beliau walaupun sibuk dengan assignment.

Semoga para peserta dapat menghayati tema yang dipilih kali ini dan mempraktikkan input-input yang diperoleh dalam membina jati diri mukmin sejati.


Laporan oleh Nurul Syahadah Mohamad Riza, Setiausaha Kian Mekar 18