fbpx

Sinergi Kekuatan Memacu Perubahan

Sinergi Kekuatan Memacu Perubahan

Sinergi Kekuatan Memacu Perubahan

Ucapan Dasar Presiden HALUAN
Mesyuarat Tahunan Perwakilan Ke-23

Saudara/i,
Pertamanya saya mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada tetamu jemputan ke majlis ini. Mudah-mudahan pertemuan kali ini menjadi permulaan kepada hubungan yang berterusan.

Kepada para perwakilan, pemerhati dan ahli-ahli HALUAN, selamat bertemu kembali. Semoga pertemuan demi pertemuan akan menyemarakkan lagi semangat bekerja dan menguatkan lagi ikatan ukhuwah yang telah terjalin.

Mengimbas kembali, usia HALUAN kini telah mencecah ke dua puluh tiga (23) tahun. Ini adalah usia syabab (pemuda) yang dimanifestasikan dalam bentuk ketangkasan, kesegaran, ketahanan yang mula menapak kedewasaan dan kematangan. Dalam tempoh ini HALUAN telah mengharungi pelbagai cabaran, ujian dan perubahan, banyak ibrah, pengajaran dan panduan yang dapat dipetik dalam rangka merealisasikan visi dan misinya. Adalah menjadi sunnah kauniyah (sunnah alam) dan sunnatullah bahawa perubahan di luar mesti bermula daripada perubahan dalaman. Benarlah firman Allah SWT;
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d:11)

Saudara/i,
Marilah kita menoleh ke belakang sejenak kepada lipatan sejarah agar kita dapat mengambil pengajaran daripadanya.

Islam datang dalam keadaan dagang (asing) di mana masyarakat penuh dengan kehidupan jahiliyah. Bukan jahiliyah kerana mereka tidak punya tamaddun, tetapi jahiliyah dalam ertikata tidak meletakkan ketuhanan atau keesaan Allah SWT pada tempatnya. Lantaran kejahilan mengenal Pencipta, maka berlakulah amalan-amalan jahiliyah seperti zina, riba’, membunuh anak-anak perempuan, minum arak dan sebagainya.

Kerasulan Rasulullah SAW turun membawa sinar kepada kegelapan. Petunjuk kepada kebenaran. Bukan kemajuan kebendaan yang ditawarkan tetapi mengajak kembali kepada mentauhidkan Allah SWT dengan beramal dengan suruhan-suruhan Allah SWT serta rasulNya. Kesan dari aqidah yang sempurna, sejarah telah menyaksikan bahawa kesemua bidang dalam kehidupan generasi pertama dahulu melonjak maju hingga menjadi ummah contoh.

Kita melihat bagaimana perjuangan ini diteruskan oleh khalifah-khalifah Khulafa’ ar-Rasyidin, disambung oleh kerajaan Ummayah, Abbasiyah dan lain-lainnya sehingga berakhirnya Khilafah Uthmaniyah akibat kelemahan umat Islam dan tipu daya Yahudi serta kuncu-kuncunya.

Akibat kejatuhan khilafah Islam yang agung ini berlakulah penjajahan ke atas wilayah-wilayah Islam seperti Palestin dan lain-lain boleh dijadikan iktibar supaya tidak diulang kembali kesilapan yang sama pada masa depan.

Di antara punca kelemahan kejatuhan Khilafah Islam sebagaimana dinyatakan oleh Naim Siddique adalah kerana lemah aqidahnya. Pembinaan tamadun dan kebangkitan bangsa yang ingin mempertahankan kesinambunganya mestilah berpaksikan kepada asas sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW, iaitu:

Iman yang mendalam (imanul ‘amiq),
Kefahaman yang jitu (alfahmu daqiq), dan
Jihad yang berterusan (jihad ad-daaim).
agm-02Pembangunan yang tidak berteraskan kepada asas-asas ini, bukan pembangunan dalam erti kata yang sebenarnya kerana ia menyumbang kepada kerosakan dan kemusnahan lebih banyak daripada kebaikan kepada kemanusiaan. Ini dapat dibuktikan apabila tamadun barat yang dibina di atas asas kebendaan dan ilmu yang terpesong daripada hidayah Allah SWT telah memusnahkan fitrah insaniah sekaligus mengeluarkan berbagai-bagai bentuk kemungkaran sebagaimana dijelaskan oleh Asy-Syahid Qutb dalam buku Milestone “Mankind today is on the brink of a precipice, not because of the danger of complete annihilation which is hanging over its head – this being just a symptom and not real disease – but because is devoid of those vital values which are necessary not only for its healthy development but also for its real progress”. Kini tamadun barat sedang menuju kehancuran dan kemusnahan.

Benarlah firman Allah SWT dalam surah at-Taubah : 109
“Maka adakah orang yang membangunkan Masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang Yang membangunkan Masjid Yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”

Menyingkap perkembangan revolusi Tunisia, Mesir, Libya, Yaman dan Syria. Kita melihat bagaimana kebangkitan rakyat di negara-negara berkenaan akibat dari kelemahan pemerintah seperti timbulnya kadar kemiskinan yang tinggi, rasuah, inflasi, penggangguran, pemerintahan bersifat kuku besi, berpuak-puak dan sebagainya. Rakyat bangun tanpa menghiraukan apa yang bakal terjadi untuk mencapai apa yang dikatakan demokrasi, hak-hak kemanusiaan, pilihanraya bebas dan perubahan pemerintah. Apapun alasannya, pergolakan ini sememangnya besar kesannya terhadap dunia Islam khasnya dan dunia amnya. Kita mengharap yang terbaik untuk Islam. Kita tidak mahu nantinya pertukaran pemerintahan hanya pertukaran luaran sahaja, sedangkan intinya sama seperti yang terdahulu. Kita tidak mahu rakyat terus menderita dan deen Islam tenggelam dalam suasana yang tidak Islamik. Kita menyokong penuh kebangkitan rakyat di negara-negara berkenaan demi untuk kebaikan kehidupan dan Islam.

Firman Allah SWT,
Bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan. (al-Hajj:41)

Saudara/i,
Bila kita menoleh kepada negara-negara jiran kita maka seharusnya terdetik kesedihan, rasa simpati dan rasa ukhuwah kepada saudara-saudara kita di sana.

Sejak kejatuhan Kesultanan Melayu-Islam Pattani pada tahun 1786 dan diikuti dengan Perjanjian Bangkok 1909 di mana British mengiktiraf penguasaan Siam ke atas wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, umat Islam di Siam atau Thailand mengalami kemunduran dan kesusahan dalam kehidupan mereka. Kekacauan sering berlaku di wilayah yang majoriti umatnya adalah Islam, hak mereka juga banyak yang dinafikan. Walaupun ada suara-suara yang menyuarakan ketidakpuashatian terhadap keadaan yang berlaku, namun ia hilang begitu sahaja, Selatan Thai terus bergolak.

Filipina yang suatu ketika dahulu majoriti penduduknya mengucapkan dua kalimah syahadah, kini lebih dikenali sebagai sebuah negara Kristian. Ibukota Filipina, Manila diambil sempena perkataan “Amanullah“ yang bermaksud Negeri Allah yang aman. Sejarah membuktikan telah wujud sebuah negara Islam yang dikenali sebagai Kerajaan Tondo sebelum kedatangan Sepanyol dan Kristian. Namun sayang seribu kali sayang, Ekspedisi Kristianisasi oleh Ferdinand Magellan pada tahun 1521 telah berjaya memurtadkan sebahagian besar umat Islam di sana. Sampai kini keadaan umat Islam tidak terbela dan mereka berhadapan dengan seribu satu macam kesusahan.

agm-03Negara-negara lain juga di rantau ini, samada penduduk Islamnya minoriti maupun majoriti, penganutnya ramai hidup dalam keadaan yang menghibakan. Bukan sahaja kesusahan di sudut ekonomi, malah juga di sudut pegangan deen mereka. Cara hidup sudah tidak banyak berbeza dengan orang yang tidak mengucapkan syahadah.

Negara kita juga tidak kurang kegawatannya. Kebelakangan ini kita berhadapan dengan pelbagai isu yang jika tidak ditangani dengan baik boleh membawa akibat yang tidak diingini.

Banyak isu yang menjadi buah mulut dan bual bicara masyarakat. Kita dihebohkan dengan isu murtad, isu cinta rentas agama, dakwah Kristian, Inter Faith Commission (IFC), pluralisma agama, pengunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, perkongsian perayaan dan acara keagamaan, pengharaman yoga bagi umat Islam, penggunaan ayat-ayat al-Quran dan hadis oleh orang bukan Islam dan sebagainya. Ianya datang bagaikan ombak menghempas pantai, datang dan pergi. Sungguhpun begitu bukan bermakna ianya tamat begitu sahaja, kesannya terus berjalan dan secara diam ianya amat membimbangkan. Isu murtad misalnya, makin ramai yang secara terang-terang meminta agar status agama pada pengenalan ditukar, semakin berani organisasi tertentu menuntut agar isu diselesaikan atas dasar kebebasan beragama dan sebagainya. Begitu juga dengan apa yang dikatakan plurisma agama, semua agama dianggap sama, semuanya membawa kepada kebaikan. Alasan logik akal digunakan, ramai yang lemah pegangan terpengaruh dengannya.

Isu-isu berkaitan agama ini terus berlaku sehinggakan kita terlalai dan menenggelamkan isu atau permasalahan yang sebenarnya, masalah keimanan kepada Allah SWT, masalah menjalankan hukum Allah dalam sistem kehidupan dan sebagainya.

Di sudut politik, kehangatan pilihanraya semakin terasa. Isu-isu hangat silih berganti untuk mendapat perhatian ramai. Apa yang membimbangkan kita ialah isu-isu yang boleh memecahbelahkan perpaduan sesama Islam dan antara bangsa yang ada di Malaysia. Disamping itu juga kita khuatir kehangatan ini menyebabkan kita lupa kepada matlamat sebenar yang kita perjuangkan.

Begitu juga dalam sektor ekonomi. Ekonomi umat Islam di Malaysia umumnya masih rendah. Lebih dari 80% dari penduduk yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan terdiri dari orang Islam. Jika dilihat kepada carta dua puluh orang terkaya di Malaysia hanya tiga orang Islam sahaja berada dalam kumpulan tersebut, itupun jumlah kekayaan yang terkaya antara tiga ini adalah kira-kira lima kali ganda berbanding dengan yang menduduki tempat pertama.

Saudara/i sekalian,
Sesuai dengan visi “HALUAN Perubah dan Pemimpin Masyarakat“ dan misi “Pendidikan Melahirkan Pemimpin dan Dakwah Merubah Masyarakat” yang diperjuangkan oleh HALUAN, kita telah memilih tema “Sinergi Kekuatan Memacu Perubahan.”

Menurut Kamus Dewan, “sinergi” membawa maksud “usaha sama antara individu atau organisasi yang hasilnya lebih baik berbanding jika dibuat secara sendirian,” kekuatan membawa maksud “kekuasaan, keteguhan, kekukuhan, “memacu” membawa maksud “menggerak“ manakala “perubahan” pula membawa maksud “peralihan, pertukaran.“

Tanpa mengenepikan definisi yang disebutkan tadi, saya mengajak ahli-ahli HALUAN untuk melihat tema ini dalam konteks yang kita perjuangkan. Kita melihat bahawa ‘Sinergi Kekuatan’ sebagai gabungan dari sinergi dalaman dan sinergi luaran. Sinergi dalaman meliputi kekuatan keimanan kepada Allah SWT yang lahir dari keikhlasan, semangat yang kuat serta amal berterusan, di samping meningkatkan kompetensi dalam pelbagai aspek di kalangan ahli. Termasuk dalam sinergi kekuatan dalaman ialah wujudnya gandingan tenaga dan kekuatan antara biro-biro dalam merancang dan melaksanakan aktiviti dan kegiatan. Manakala sinergi luaran pula merupakan jaringan kerjasama antara HALUAN dengan badan-badan bukan kerajaan lain, agensi-agensi kerajaan serta individu-individu yang menyokong misi dan visi HALUAN.

Sirah Rasulullah SAW sendiri telah memperlihatkan kepada kita bagaimana gabungan seumpama yang disebutkan telah memberikan hasil yang seperti dapat kita lihat dalam lipatan sejarah dan yang kita rasainya hari ini. Kita meyakini bahawa jika sinergi kekuatan ini tidak diambil kira sepertimana yang dibawa oleh Rasul SAW, maka kekuatan tidak ujud atau hanya nampak bahagian luaran sahaja.

Memacu perubahan, yang kita harapkan adalah satu gerakan yang tinggi dan berganda, bukannya gerakan mendatar dan lemah. Manakala perubahan yang kita maksudkan adalah perubahan yang menyeluruh, sesuai dengan Islam itu sendiri sebagai Deen yang syumul, sehingga tidak ada lagi fitnah di bumi ini.

Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.“ (Surah al-Baqarah : 193)

Di dalam peperangan Badar pada tahun kedua Hijrah, tentera Islam hanyalah seramai 313 orang, setahun kemudian di peperangan Uhud, tentera Islam meningkat kepada 700 orang dan dalam Perang Ahzab di tahun kelima hijrah tentera yang mempertahankan Kota Madinah seramai 3,000 orang. Dalam masa setahun peningkatan bilangan lebih dari separuh, manakala selepasnya dalam masa dua tahun ianya melonjak empat kali ganda.

Kita melihat bagaimana perubahan yang berlaku adalah suatu perubahan yang boleh diukur, tampak tahap kekuatan yang kemudiannya disusun dan dilebarluaskan ke seluruh pelusuk alam.

Tewasnya dua kerajaan besar dan kuat iaitu Rom dan Parsi, begitu juga tunduknya Syam, Mesir, Iraq, Tripoli dan Utara Afrika di bawah keadilan Islam berlaku dalam tempoh masa 35 tahun di zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin.

Pada tahun-tahun berikutnya kerajaan Islam telah meluas dan kekuasaan mereka tersebar hingga sampai ke Sind, sebahagian besar India, Turkistan dan sehingga ke sempadan China di Timur. Ia juga telah memasuki Sepanyol yang terletak di sebelah Barat Eropah. Kekuasaan Islam sentiasa meluas ke timur dan barat, utara dan selatan sehingga menguasai sebahagian besar permukaan bumi. Khalifah kerajaan Abbasiah, Harun ar-Rasyid telah menggambarkan keluasan dunia Islam. Beliau telah berkata kepada awan yang bergerak di atasnya tetapi tidak menurunkan hujan : “Turunlah di mana sahaja kamu mahu. Sesungguhnya hasil keluaranmu akan di bawa kepada kami.”

Perubahan-perubahan yang berlaku tidak datang menggolek atau melayang ke pangkuan riba. Ia lahir dari pengorbanan orang-orang yang beriman, ikhlas, sentiasa bersemangat dan beramal secara berterusan tanpa erti penat dan lelah. Lahir dari orang-orang yang meletakkan akhirat dalam hati dan dunia digenggaman. Mereka lahir dalam bentuk barisan atau generasi yang disebut sebagai Jil Quran ataupun Jil Sahabi.

Kesungguhan Sultan Muhammad al Fateh, melunaskan hadis Rasulullah untuk menjadi orang yang dijanjikan keuntungan dengan membebaskan Kota Konstantinopel, hingga akhirnya dengan teknik yang luarbiasa dan pertolongan Allah SWT, kota berkenaan berjaya dibebaskan.

Pada usia 90 tahun, semangat Abu Ayyub al Ansari tetap membara bagai remaja memperjuangkan penaklukan Kota Konstantinapol, hingga akhirnya di kebumikan di tapak kota berkenaan.

Saudara/i,

Kita amat merindui kepada perubahan. Kita tidak ada pilihan lain lagi. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk melaksanakan kerja-kerja perubahan ini tanpa kita memulakannya dahulu. Kita tidak boleh hanya menadah tangan ke langit memohon pertolongan Allah SWT sebelum kita memaksimakan kerja-kerja kita.

Kita sekarang sedang berhadapan dengan lima cabaran iaitu cabaran syaitan dan hawa nafsu, cabaran serangan pemikiran, cabaran keruntuhan akhlak, cabaran sekularisma dan cabaran lemah semangat bekerja untuk Islam. Cabaran ini sentiasa berlegar-legar di sekeliling kita dan menunggu masa yang sesuai untuk melemahkan kita.

Tanpa kesungguhan dan jihad, kita tidak akan mampu mempertahankan generasi pewaris kita, bahkan diri kita sendiri.

Saudara/i,
Kerja-kerja tanpa perancangan akan hanya membawa lebih kemudaratan berbanding dengan kebaikan. Kepimpinan HALUAN telah merangka program-program yang meliputi hal-hal yang berkaitan dengan pembinaan sahsiah dan kualiti ahli-ahli, mendekati massa serta memiliki dana yang mampu menampung aktiviti-aktiviti. Kita perlu memberi perhatian yang serius kepada ketiga-tiga perkara ini untuk kelangsungan kerja-kerja kita dan mencapai apa yang dinyatakan dalam visi dan misi kita.

Amir Syakib Arsalan Rahimahullah menyatakan: “Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan tersendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”

As Syahid Imam Hasan Al-Banna menegaskan akan pentingnya keteguhan setiap individu terhadap pendidikan (tarbiah) dan kesungguhan (mujahadah) sehingga menjadi tiang yang kukuh dan generasi yang sempurna. Beliau berkata: “Bahawa perjuangan (ma’rakah) kita paling utama adalah tarbiah yang disuburkan di tengah-tengah umat akan kefahaman bahawa apapun bentuk dakwah yang tidak di asaskan kepada kerja tarbiah pada hakikatnya adalah ibarat fatamorgana yang menipu.”

Kita memerlukan lebih ramai ahli untuk menjadi barisan pelapis di masa hadapan. Kita juga memerlukan ramai lagi ahli-ahli yang boleh diberi tanggungjawab yang lebih besar dalam kerja-kerja pendidikan dan kebajikan ini. Tanggungjawab yang besar hanya boleh dipikul oleh orang-orang yang memiliki kemampuan yang besar juga. Ahli-ahli yang sentiasa memperbaiki diri sendiri sehingga menjadi orang yang kuat fizikalnya, kukuh akhlaknya, luas wawasannya, mampu berdikari, aqidah yang salim, benar ibadahnya, melakukan mujahadah terhadap dirinya, menjaga waktu, tersusun urusannya dan bermanfaat kepada orang lain.

Menyedari hakikat ini, pendidikan (tarbiah) diri di kalangan ahli-ahli adalah suatu yang vital dan tidak boleh dipandang ringan atau diambil mudah. Ia bukan suatu yang berjalan secara bermusim maupun hanya pada ketika ada kelapangan. Pendidikan adalah kelangsungan kehidupan yang sempurna. Tanpa pendidikan nescaya akan porak porandalah kehidupan. Ia tidak boleh diabaikan sehinggalah kita dipanggil kembali mengadap Yang Maha Esa.

Setiap ahli perlu mengikuti siri-siri pendidikan diri yang telah diatur agar dapat ditingkatkan kefahaman, amalan dan akhlak ke tahap yang lebih baik dan mampu memikul tanggungjawab dan mampu menghadapi masalah-masalah yang menghadang. Kita mahukan ahli-ahli memiliki kualiti yang boleh diukur berdasarkan kepada garispanduan yang telah disusun. Kita menyedari bahawa kerja-kerja yang berkualiti hanya dapat diserlahkan oleh ahli-ahli yang memiliki kualiti diri. Umar al Khattab RA namanya harum lantaran kualiti peribadi yang tinggi yang terpancar kepada tindakan-tindakan yang menjadi rujukan hingga kini.

Sepertimana kata Syeikh Mustafa Mashor, “perbaikilah dirimu, ajaklah orang lain.“ Ahli-ahli yang dipertanggungjawabkan seharusnya meneruskan proses pendidikan dan pembentukan ahli-ahli berkualiti. Kita adalah bertanggungjawab seandainya generasi akan datang tidak menerima proses pendidikan dan pembentukan dengan sebaik-baiknya.

Saudara/i,
HALUAN sebagai perubah dan pemimpin masyarakat tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan dan dokongan massa. Hasrat untuk membantu perubahan dan memimpin semestinya sampai ke telinga dan hati masyarakat, sehingga mereka menghayati, memahami dan mengikutinya. Ataupun setidak-tidaknya masyarakat menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan.

Medan untuk mendekati massa amat banyak, kita seharusnya mengambil peluang-peluang yang ada dengan memikirkan sasaran-sasaran yang sesuai dengan kemampuan kita.

Institusi-institusi yang ada seperti masjid, sekolah, pejabat, sekadar menyebut beberapa nama; merupakan tempat-tempat yang sesuai untuk didekati dan dilaksanakan aktiviti-aktiviti pendidikan dan kebajikan. Institusi-institusi seperti ini yang terdiri dari pelbagai lapisan agama, umur dan bangsa merupakan tulang belakang kepada keharmonian masyarakat. Pelajar-pelajar sekolah yang nantinya bakal memimpin negara, jika dididik dan dibentuk dari awal, memberikan impak yang besar terhadap suasana masyarakat di masa akan datang. Manakala orang-orang dewasa pula memainkan peranan yang besar membantu membentuk anak-anak yang menjadi pelapis kepimpinan masa depan.

Dalam era yang dikatakan ‘langit terbuka’ kini, media massa merupakan satu mekanisma yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan sahsiah umat.

Sudah sampai masanya untuk kita memberi perhatian kepada media cetak, media elektronik, media hiburan dan lain-lain sebagai satu wasilah yang penting dalam usaha menyebarkan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat. Kita perlu menggembeling tenaga yang ada untuk memenuhi keperluan-keperluan dalam sektor ini.

Golongan masyarakat seperti anak-anak yatim, miskin, orang kurang upaya, tentera, polis, pesara dan sebagainya juga tidak boleh kita pinggirkan. Semestinya program-program berbentuk pendidikan dan kebajikan juga sampai kepada mereka.

Saudara/i
Dana atau kewangan adalah penting dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Walaupun wang bukanlah segala-galanya, tetapi faktor kewangan membantu perjalanan gerakkerja.

Merenung kembali sirah Rasulullah SAW di awal perjuangan, kita akan dapati bahawa Saiditina Khadijah RA menyumbangkan semua yang dia miliki untuk membantu dakwah Islam begitu juga Saidina Abu Bakar RA, Umar RA, Usman RA, Abdul Rahman Auf dan lainnya.

Dengan kata lain sumber dana ada sebahagiannya dari poket-poket kita sendiri. Sebahagian dari yang ada dalam poket kita ada hak orang lain ke atasnya. Oleh itu kita perlu merasai bahawa tuntutan kewangan adalah suatu yang tidak boleh dipandang mudah atau sambil lewa dalam perlaksanaan kerja-kerja kebaikan. Kita sepatutnya merasai tuntutan sumbangan untuk kelangsungan aktiviti menjadi tiket menuju syurga yang seluas langit dan bumi. Jumlah yang sedikit kita ambil dari saraan rumahtangga, keperluan persekolahan anak-anak dan lain-lain, jika digabungkan boleh menjadi satu kumpulan yang besar dan mampu melaksanakan aktiviti-aktiviti besar untuk kebaikan umat.

Bidang keusahawanan juga merupakan sumber dana kepada aktiviti. Kita perlu melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan ahli yang nantinya mampu memberikan sumbangan kepada keperluan dana. Minda menadah tangan semata seharusnya dikikis dari diri ahli-ahli.

Projek-projek ekonomi seharusnya dipergiatkan dan ditingkatkan lagi. Saya percaya dengan kepakaran-kepakaran yang ada di kalangan ahli, jika digabungkan boleh membentuk konsortium yang memberi impak yang besar. Jika kita terus sendirian dalam usaha-usaha keusahawanan ini maka selagi itulah kita akan terasa kecil dan tidak berkeupayaan untuk melangkah lebih jauh.

Di samping itu, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan juga menyediakan dana untuk kerja-kerja kemasyarakatan. HALUAN seharusnya mengambil peluang ini dengan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan. Selama ini kita telah bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sebagainya, saya percaya kita telah melakukan dengan terbaik di mana kita terus ditawarkan projek-projek kemasyarakatan yang lain. Masih banyak lagi agensi-agensi yang belum kita dekati yang mempunyai dana kemasyarakatan tetapi tidak mempunyai kepakaran atau cukup anggota untuk melaksanakannya.

Saudara/i,
Biarpun kita berharap agar lebih ramai dari kalangan masyarakat menyokong prinsip-prinsip yang kita bawa, biarpun hasrat kita ini telah sampai ke seluruh pelusuk ceruk kampong ataupun biarpun kita berjaya melahirkan orang-orang kaya atau kekuatan ekonomi yang luarbiasa, namun kesemuanya itu tiada ertinya jika tidak berjaya melahirkan insan-insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita bahawa apa jua pengorbanan yang diberi baik ianya berupa wang ringgit, hartabenda hatta nyawa sekalipun, kesemuanya adalah untuk mengajak dan membentuk manusia yang ubudiyahnya hanya kepada Allah SWT semata-mata. Tidak diperkirakan berapa banyak pengorbanan yang telah dibuat tetapi yang diperhitungkan adalah untuk membawa manusia ke fitrah mereka yang asal.

Di samping itu Rasulullah SAW dan generasi pertama juga telah memaparkan kepada kita bahawa apa jua kekuatan yang mereka miliki digunakan sepenuhnya untuk manfaat dan kepentingan jamaah Islam. Apa jua ruang-ruang kelemahan segera diperbaiki dan dilaksanakan sungguh-sungguh. Zaid bin Thabit misalnya, menguasai bahasa Ibrani hanya dalam masa 15 hari sahaja.

Saudara/i,
Adalah menjadi harapan saya bahawa tema Mesyuarat Tahunan Perwakilan kali ini “Sinergi Kekuatan Memacu Perubahan” dan diperkuatkan lagi dengan moto HALUAN “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti” agar apa yang dicita-citakan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Kepada biro-biro dalam HALUAN, saya ingin mengulangi bahawa kita telah menggariskan beberapa langkah gerakkerja untuk mencapai tiga perkara yang telah diperkatakan tadi iaitu pembentukan pembinaan sahsiah dan kualiti ahli, massa, dan dana. Saya mengharapkan agar biro-biro mengambil usaha sewajarnya dan meneliti program-program yang dirangka serta melaksanakannya. Kekuatan yang ada dalam biro-biro seharusnya digembelingkan ketahap maksima sehingga ada hujjah bagi kita dihadapan Allah SWT nanti bahawa kita telah melaksanakan kerja-kerja ini sehingga habis upaya.
Saya juga mengharapkan agar biro-biro sentiasa berada di atas landasan yang ditetapkan. Kegelinciran akan hanya menyebabkan kelambatan mencapai tujuan atau gagal langsung.
Kita perlu keluar kepada masyarakat, bukan sekadar program berkala atau bermusim.
Kerja-kerja kita banyak, masa dan keanggotaan kita terhad. Kita memerlukan sokongan dan bantuan dari orang lain juga. Kita perlu berdampingan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan individu-individu yang ingin bersama kita.
Produk utama kita adalah manusia yang memiliki jiwa murni.
Setiap kerja kita perlu kembali kepada visi dan misi serta moto yang telah digariskan bersama.
Marilah kita lengkapkan diri kita dengan empat perkara yang boleh memberikan kekuatan.
Pertama: Iman yang tangguh dari hati yang cerdas
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).” (Surah al Hujurat : 15)

Kedua: Keikhlasan dari hati nurani yang jernih
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah ugama Yang benar.” (Surah al Bayyinah : 5)

Ketiga : Semangat yang membara dari perasaan yang menggelora
“(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala Yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” (Surah al Ahzab : 39)

Keempat : Kerja (amal) yang gigih dari kemahuan yang kuat
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah at Taubah : 105)

Saudara/i,
Setelah Nabi SAW wafat, para khulafa ar Rasyidin menanggung beban dan tanggungjawab dengan penuh ketenangan dan amanah, tanpa ada kerancuan, kelemahan atau ancaman keamanan, kerana ajaran yang telah diajarkan oleh Nabi SAW adalah memerdekakan manusia.

Ajaran inilah yang mampu menjaga manusia dari tindakan penyimpangan dengan dakwah Islam kepada sesuatu yang menjadi tujuan dan objeknya; kerana Allah menghendaki agama ini kekal, dan dengannya memuliakan umat melalui revolusi ilmiah, kematangan akal dan tranformasi kepada asholah, sehingga secara cepat menampakkan kecerdasan dalam rangka memimpin dunia menuju peradaban Islam, memberikan keteladanan kepada seluruh umat manusia, dan untuk pertama kalinya terjadi peralihan kepemimpinan secara damai melalui baiat, menjadikan landasan akan sistem pemerintahan yang berlandaskan musyawarah dan perundangan kerakyatan, sehingga sampai kepada kesedaran mereka yang matang, ilmu yang cemerlang, amal yang berkesinambungan, pembinaan yang berterusan, produktiviti yang berlanjutan, sehingga mereka berhak menjadi pemimpin dunia dan guru dunia.

Firman Allah SWT :
“Wahai orang Yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran Yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang Yang tidak bersedia menyempurnakannya).” (Surah al Muzzammil : 1-5)

As Syahid Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat-ayat ini menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah diseru “bangun” lalu Baginda bangun dari tidurnya. Dan terus bangun selama lebih dari dua puluh tahun tanpa berehat, tanpa bersenang dan tanpa memperjuangkan kesenangan dirinya dan keluarganya. Beliau bangun untuk memikul tugas dakwah dan memikul di atas bahunya tugas yang amat besar dan berat iaitu tugas amanah teragung di bumi ini dan tugas memimpin manusia, tugas menegakkan aqidah seluruhnya dan tugas berjuang dan berjihad dalam pelbagai bidang.

Kita berada pada waktu yang tepat untuk bekerja dengan sungguh-sungguh guna membangun kembali negeri kita.

As-Syahid Sayyid Qutb berkata:
“Bahwa siapa saja yang hidup sendirian memang dapat hidup dengan tenang, namun tetap dalam keadaan (taraf) yang kecil dan akan mati dengan skala yang kecil, adapun yang dianggap besar adalah yang mampu membawa beban yang besar ini. Jadi untuk apa tidur? Untuk apa istirahat? Untuk apa yang empuk, hidup yang tenang dan menyenangkan?!”

Rasulullah SAW telah memahami akan hakikat ini dan ukurannya; sehingga beliau berkata kepada Khadijah saat Khadijah mengajaknya untuk tenang dan tidur:
“Sesungguhnya waktu tidur sudah berlalu wahai Khadijah!”

Tentu telah berlalu waktu untuk tidur, dan tidak akan kembali sejak hari ini kecuali bangun malam, menikmati rasa letih dan jihad yang panjang dan berat! Dan jangan lupa pula nasihat syaikh As-Sya’rawi:
“Bahawa orang yang membawa kebenaran akan sentiasa berdiri tegak untuk menghancurkan kerusakan kemudian menenangkan diri (duduk) untuk membangun kewujudan”.

Akhir sekali, dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia yang telah meluluskan perubahan nama HALUAN dari “Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia” kepada “Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia.” Perubahan nama ini adalah selaras dengan skop aktiviti HALUAN yang semakin berkembang dan mencakupi semua lapisan masyarakat.

Tidak lupa saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah memberikan kepercayaan kepada HALUAN melaksanakan aktiviti-aktiviti berbentuk kerjasama.

Begitu juga kepada pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pihak-pihak lain yang telah memberikan kerjasama samada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan aktiviti-aktiviti HALUAN. Semoga amal baik kalian mendapat ganjaran dari Allah SWT jua.

Kepada para perwakilan dan pemerhati, saya ucapkan selamat bermesyuarat.

Wassalam.