fbpx

Sinergi Iman Benteng Pertahanan Wanita HALUAN

Sinergi Iman Benteng Pertahanan Wanita HALUAN

Sinergi Iman Benteng Pertahanan Wanita HALUAN

PUTRAJAYA, 2 Februari 2014 – Tangan yang menghayun buaian bisa menggegar dunia. Biasa dengar pernyataan ini? Ya, begitulah digambarkan kehebatan seseorang wanita dalam pembangunan sesebuah masyarakat dan negara. Namun, ia bukan semudah yang diungkap, pastinya memerlukan perancangan yang rapi dan usaha yang berterusan tanpa mengenal penat lelah.

Biro Haluanita komited dan bersungguh-sungguh dalam memperkasakan pembentukan ahli-ahlinya sebagai ‘cream of society’ dalam rangka mengislah masyarakat di negara yang tercinta ini. Bagi merealisasikan hasrat ini, satu Bengkel Pemantapan Wanita 2014 telah diadakan di Auditorium Masjid Putra, Putrajaya selama dua hari bermula 31 Januari yang lalu dengan kehadiran seramai 200 ahli Haluanita dari seluruh pelusuk Malaysia.

Bengkel ini memuatkan pembentangan, ceramah, perbincangan, rumusan, taklimat khas dan bengkel massa meliputi isu-isu kewanitaan dan gerak kerja Haluanita sepanjang tahun 2014. Turut dibentangkan adalah sektor massa setiap negeri, taklimat mengenai isu penting dan perancangan program tahunan Haluanita bagi tahun 2014. Turut hadir memeriahkan majlis adalah Encik Mohd Ghani Salleh selaku Setiausaha Agung dan Ustaz Salleh Saad selaku Imam Masjid Putra, Putrajaya.

Menurut Pn Alfiah Samingan selaku Ketua Biro Haluanita, program ini diadakan setiap awal tahun bagi tujuan mengemaskini perkembangan dunia wanita kepada ahli.

“Secara objektifnya, bengkel ini memfokuskan kepada usaha meningkatkan daya saing dalam dunia global. Iman merupakan benteng pertama dalam meneruskan kerja-kerja dakwah ini. Justeru, para wanita perlu memperkasakan iman di samping meningkatkan keyakinan dan kretiviti dalam merancang kerja-kerja dakwah kepada masyarakat selari dengan perkembangan dunia pada masa kini,” jelas beliau lagi.

Diharapkan dengan bengkel sebegini, Haluanita akan sentiasa berada di barisan hadapan bagi menyokong segala gerak kerja utama HALUAN bagi menjayakan sentiasa perancangan yang telah direncanakan.

Laporan oleh Pn Alfiah Samingan, Ketua Biro Haluanita