fbpx

Sinar Aidilfitri Bersama Orang Asal RPS Air Banun

Sinar Aidilfitri Bersama Orang Asal RPS Air Banun

Sinar Aidilfitri Bersama Orang Asal RPS Air Banun

KG AIR BANUN, GRIK, 23 Jun 2019 – Dalam usaha meneruskan misi menyantuni saudara kita orang Asal, satu program sambutan Aidilfitri telah diadakan bersama-sama dengan penduduk Kampung Air Banun, di sini.

Seramai sepuluh orang Relawan HALUAN yang diketuai oleh Dr. Ahmad Ikhwan telah terlibat dalam aktiviti gotong royong penyediaan juadah masakan rendang ayam dan masakan yang lain Menurut beliau, acara ini melibatkan kerjasama antara pihak HALUAN dan penduduk kampung.

“Dalam suasana mood Syawal yang masih terasa ini, pihak kami rasa teruja untuk terus bersama-sama penduduk kampung orang Asal ini bagi mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin. Sinar cahaya Aidilfitri melalui majlis ini benar-benar menceriakan mereka,” ujarnya lagi.

Selain hidangan jamuan pelbagai aneka rasa dan sesi ramah mesra antara para penduduk,  sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dan ketua-ketua keluarga juga turut diagihkan.Terpancar kegembiraan di wajah mereka memberikan satu kepuasan kepada relawan. Berkongsi gembira itu satu nikmat yang amat membahagiakan jiwa.

Majlis sambutan yang sederhana ini telah diadakan di Dewan Balai Lintang yang terletak di kawasan strategik kampung ini. Dewan ini telah dibaikpulih dan diselenggara sebaiknya hasil sumbangan orang ramai melalui pihak HALUAN. Kami menerima pelbagai derma termasuk sumbangan peribadi, agensi korporat dan termasuk juga kutipan atas talian. 

Aktiviti Kemasyarakatan di RPS Air Banun adalah projek berterusan HALUAN Pulau Pinang bagi menyemarakan lagi kerja-kerja kebajikan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan pendidikan bagi komuniti setempat. Komitmen kami, usaha ini akan berterusan hingga para penduduk kampung orang Asal mendapat khidmat sosial yang terbaik dari para relawan kami.

Anda ingin menjadi sebahagian daripada projek ini? Namun, terbatas dari segi tenaga atau masa. Kami berikan ruang dan kesempatan untuk anda semua melalui saluran sumbangan kewangan yang amat bermakna untuk projek ini.

____
Laporan Abdul Halim Khudri, HALUAN Pulau Pinang