fbpx

Siapa Majoriti Penghuni Syurga Dan Neraka

Siapa Majoriti Penghuni Syurga Dan Neraka

Siapa Majoriti Penghuni Syurga Dan Neraka

Apabila Rasullullah SAW melawat ke dalam neraka maka Baginda melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan perempuan. Apakah kesalahan dan dosa yang mereka lakukan sehingga dikatakan menjadi penghuni paling ramai di neraka?

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍِ وَعِمْرَانَ بْنِ الحْصَيْنِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمْ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اطَّلَعْتُ فِي اْلجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلَهَا الْفُقَرَاءَ وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الِنّسَاءَ.(متفق عليه)

Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain Radhiyallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : Aku melihat ke dalam Syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang yang faqir miskin. Dan aku melihat ke dalam Neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.

Adakah kita tahu apakah yang berlaku kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi ketika berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj? Pada malam Isra Mikraj dengan izin dan rahmat kasih sayang Allah kepada Rasulullah SAW, telah diperlihatkan kepada Baginda banyak perkara-perkara yang ghaib termasuk di antaranya keadaan di Syurga dan keadaan di Neraka. Beliau melihat kebanyakan penghuni syurga itu adalah terdiri daripada kalangan orang yang faqir miskin. Ini disebabkan sewaktu mereka berada di dunia dahulu, mereka mempunyai banyak peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah. Inilah di antara mukjizat dan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada kekasihnya, Rasulullah SAW yang dapat mengetahui peristiwa yang akan datang di Syurga mahupun di Neraka.

Tetapi malang sekali bagi mereka yang di dunia ini hanya mengejar kemewahan dunia sehingga tidak ada banyak masa untuk beribadat kepada Allah. Sesungguhnya orang Mukmin itu bijak, mereka tidak akan sekali-kaili tertipu dengan tipu daya kemewahan dan kesenangan di dunia yang sementara. Orang Mukmin mempunyai matlamat hidup yang jelas, iaitu mereka ingin mencari keredhaan Allah untuk mendapat kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Hanya orang yang jahil,malang dan tidak bijak sahaja menjadikan dunia sebagai matlamat hidupnya. Bagi mereka kemewahan dan kesenangan yang dikecapi adalah segala-galanya. Mereka mengganggap kemewahan dan kesenangan yang dinikmati adalah kerana ilmu dan kebijaksanaan mereka, bukan disebabkan rahmat dan kasih sayang Allah. Orang kaya banyak disibukkan dengan menghimpun harta dan menghabiskan masa mengejar kemewahan dunia sehingga mereka menyesal dikejutkan dengan kematian sebelum sempat berbuat amal ibadat. Mereka akan menyesal di saat yang tidak berguna lagi penyesalan pada ketika itu.

Jesteru, saya mengajak kepada kita semua yang mengaku mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW, marilah sama-sama kita mencontohi kehidupan Rasulullah SAW yang cukup sederhana dan menginsafkan kita. Kita boleh bayangkan atau tidak, seorang kekasih Allah, manusia yang paling dikasihi Allah ini boleh dikatakan sering berlapar dan kehausan, pakaian kain dan baju dari yang lama-lama serta benang pun kasar-kasar. Tempat tidur dihampar dengan tikar, bukan dengan hamparan permaidani hingga bantal tidurnya pun diperbuat daripada kulit kambing. Ini menunjukkan bahawa dunia ini adalah tempat yang hina dan segala kenikmatannya itu tiada suatu yang kekal, melainkan semuanya itu tipudaya semata-mata. Nabi SAW sangat menghinakan dunia.

Apabila Rasullullah SAW melawat ke dalam Neraka maka Baginda melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan perempuan. Apakah kesalahan dan dosa yang mereka lakukan sehingga dikatakan menjadi penghuni paling ramai di Neraka. Na’uzubillahiminzalik!!.Ini disebabkan ramai orang perempuan yang tidak menunaikan hak suami. Mereka tidak berterima kasih di atas pemberian suami dan tidak menjaga diri ketika suami tidak ada di rumah, tidak menutup aurat daripada orang yang bukan mahram dan ramai pula di kalangan mereka yang keluar dari rumah dengan bermacam-macam perhiasan dan persolekan, memakai minyak wangi dan membiarkan bau wangi itu dicium oleh orang yang bukan mahramnya. Sedangkan dia berhadapan dengan suaminya dengan pakaian yang buruk dan badan yang berbau busuk. Inilah di antara sebab-sebab yang mengakibatkan ramai di kalangan perempuan yang akan masuk Neraka.

Oleh itu, wahai saudaraku sekalian, marilah sama-sama kita selamatkan saudari perempuan kita dengan mengajak mereka untuk kembali mengambil Islam sebagai cara hidup. Hanya Islam agama yang diredhai Allah. Ketahuilah wahai suami-suami sekalian, perempuan itu akalnya senipis rambutnya. Dijadikan perempuan itu daripada tulang rusuk yang bengkok, untuk diluruskan oleh lelaki yang beriman kepada Allah. Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus. Luruskan perempuan itu dengan jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Mereka telah diciptakan Allah sebegitu rupa, maka didiklah mereka dengan Tarbiyah Islamiyyah secara yang berhikmah. Kasihanilah mereka, tanpa lelaki yang beriman tidak mungkin akan melahirkan perempuan yang solehah. Janganlh mengharapkan isteri semulia Fatimah Az- Zahra seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali Karamallahuwajhah.

Akal perempuan senipis rambutnya, tebalkanlah dia dengan ilmu agama, hatinya serapuh kaca, kuatkanlah dia dengan iman dan taqwa kepada Allah. Perasaannya selembut sutera. Hiasilah dia dengan akhlak mulia. Jangan cuba jinakkan perempuan dengan harta kerana nanti mereka akan semakin liar, jangan hiburkan mereka dengan kecantikan kerana nanti mereka akan menderita. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, disitulah punca kekuatan dunia. Suburkanlah mereka dengan nikmat Iman dan Islam kerana dari situlah nantinya mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rabb, Tuhan sekalian Alam. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan kelemahan dan ianya bukan diskriminasi Allah, sebaliknya di situlah kasih sayang Allah. Tanpa iman, ilmu dan akhlak mereka tidak akan lurus, malah akan semakin membengkok. Itulah hakikatnya seandainya mereka tidak kenal Allah. Bila wanita menjadi derhaka pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara. Jinakkan diri mereka untuk mentaati Allah SWT.

Susunan:
Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Pegawai Penasihat Agama
UiTM Sarawak