fbpx

Si Gelandangan dan Sup Panas

Si Gelandangan dan Sup Panas

Si Gelandangan dan Sup Panas

Tidak ada perkataan yang tepat rupanya dalam Bahasa Melayu untuk menakrifkan golongan rakyat yang terpinggir dan merempat di jalanan tanpa bumbung di atas bubun mereka. Sehingga terpaksa menggunakan kataganti “gelandangan” daripada Bahasa Indonesia. Bahasa Inggeris sudah lama menakrifkan golongan ini sebagai “the homeless”, orang yang tiada rumah atau tempat berteduh yang tetap.

Gelandang pun gelandanglah asalkan cerita sekumpulan anak-anak muda ini dapat kita hayati. Ini bukan kali pertama mereka berkumpul untuk berbakti kepada golongan gelandangan ini. Dan pastinya mereka bukan satu-satunya masyarakat terpanggil yang menyahut seruan membela nasib golongan terbiar ini. Namun sensitiviti anak-anak muda mahasiwa ini harus dipuji.

Selain menelaah buku untuk memastikan kejayaan mereka di kampus, mereka sanggup meluangkan masa untuk melakukan aktiviti kebajikan yang tidak menambahkan apa-apa markah kepada CGPA mereka nanti.

Tentunya, berkhidmat untuk masyarakat memang manis. Ia membangkitkan kesedaran iman, keinsafan bahawa betapa perlunya seorang Muslim itu memberi manfaat kepada orang lain.

Ali bin Abi Talib RA pernah berkata: “Rezeki kamu adalah apa yang kamu gunakan dan apa yang kamu belanjakan di Jalan Allah.”

Jelas kata-kata ini menyimpulkan yang setiap manfaat yang kita berikan kepada makhluk Tuhan, maka ia bakal menjadi saham buat kita di akhirat kelak. Walaupun yang dihulurkan itu hanya tenaga dan buah fikiran, bukannya wang ringgit ataupun harta. Banyak yang kita mampu manfaatkan. Persoalannya mahu atau tidak sahaja.

Di atas kesedaran tersebut, pada 29 Januari 2014, rabu malam sekumpulan mahasiswa berkesempatan untuk turun ke lapangan dalam Projek ‘Chicken Soup For Street People’ atau ‘Sup Ayam Untuk Gelandangan’. Ini adalah inisiatif anak-anak muda dari sebuah kampus di Gombak yang mahu bekerja di medan amal, berbakti kepada masyarakat yang kurang bernasib baik. Tiada apa yang mampu disajikan kecuali dua ketul ayam berserta kuahnya, sedikit lobak dan kentang, empat keping roti dan segelas air teh O panas. Semua hasil sumbangan orang ramai atas usaha anak-anak muda prihatin ini.

Malam mereka sekali lagi terasa hangat walaupun terbaring di atas kotak berbumbungkan langit terbuka. Menunggu tibanya hari esok mengharapkan masih ada lagi yang menyayangi.

Mereka bukan tiada impian. Bukannya tiada harapan. Cuma tersepit dengan masalah kehidupan seharian dan tergelincir lalu terpinggir daripada arus kemajuan yang deras berlalu.

Bukan masalahnya malas. Cuma duit upah tidak mampu memberikan perteduhan yang setimpalnya. Akhirnya gelandangan mereka. Sudah jatuh ditimpa tangga. Dengan status sedemikian, mereka dihina nista, kurap masyarakat, golongan yang kita tidak mahu pandang walau sebelah mata, seolah-olah mereka tidak ujud di bumi Malaysia yang laju menuju wawasan negara maju kurang enam tahun dari sekarang.

Para siswazah aktivis masyarakat tersebut bermesra dengan seorang serani bernama Albert G. yang telah merantau jauh dari Kampung Portugis di Melaka ke metropolitan semata-mata untuk mencari sesuap nasi. Beliau berselera dengan sup ayam yang mereka tawarkan, mungkin kerana sudah lama berlapar. Di dadanya ada rantai bersalib terjuntai disimpan rapi. Namun dalam hatinya, Tuhan itu satu, tiada tiga dan Muhammad bin Abdullah SAW adalah penyampai kebenaran sepertimana Isa AS. Beliau tahu serba serbi tentang Islam, mungkin kerana pergaulannya selama ini tidak banyak yang dapat dicungkilkan daripada golongan gelandangan ini, masing-masing curiga dengan sesiapa saja yang menghampiri mereka kerana kesamaran motif. Sup ayam menjadi penyebab utama para mahasiswa itu dapat merapatkan jurang perbualan.

Walau sudah tua berkedut, dia mampu mengukir senyuman yang ikhlas sebagai tanda terima kasih kerana ada segelintir anak muda yang responsif dengan nasib gelandangan seperti dirinya. Ditanya kenapa masih belum memeluk Islam? Dijawabnya dia masih menghormati ibunya yang sudah uzur.

Seorang peserta memberanikan diri: “Pakcik percaya Tuhan itu satu?”

Dia menjawab ya. Ditanya lagi:

“Pakcik percaya Nabi Muhammad SAW itu penyampai wahyu?”

“Ya, dia saudara kepada Isa. Bukan Tuhan tapi pesuruhNya”, jawabnya tenang.

“Alhamdulillah. Pakcik telah Islam,”kata anak muda itu.

Lain kisahnya dengan Muhammad, seorang mualaf yang mencicipi sup ayam pemberian mereka. Sudah tiga tahun beliau menganut Islam namun kini dalam proses mahu menukar kembali nama asal beliau untuk keluar daripada Islam. Ada pengharapannya yang tidak dikotakan oleh Jabatan Agama. Entah apa.

Salah seorang aktivis yang teruja bertanyanya lagi: “Abang rasa, tukar nama di mahkamah boleh selesaikan masalahkah?”

Muhammad hanya terdiam kaku. Dalam hatinya masih ada rasa sayang dengan agama pilihan kembaliannya ini. Matanya bagai mengharapkan seorang insan Muslim komited membimbingnya dengan serius dan fokus terhadap agama Islam.

Mahu ditanya lagi tapi dia sudah lari meninggalkan kelompok itu setelah selesai menjamah hidangan ringkas. Kesalnya sampai begitu sekali. Aktivis turut kesal kerana entah bila lagi mungkin mereka dapat berbual semula dengan gelandangan ini.

Di sesetengah bandaraya seperti New York, si gelandangan mendapat pembelaan. Rumah-rumah ibadat mereka berfungsi menjadi tempat mengagihkan sumbangan orang ramai dengan ujudnya “soup kitchens” atau dapur sup di gereja dan synagogue. Mereka diberi makanan, minuman, tempat berteduh daripada salji atau hujan untuk semalam dan khidmat kaunseling oleh sukarelawan yang bertugas. Ada yang berjaya diselamatkan dan memasuki semula arus masyarakat madani setelah dibantu. Tidak mustahil rupanya. Aktivis terfikir jika jabatan kerajaan tertentu serius menangani masalah para gelandangan ini bersama NGO, mungkin bilangan mereka yang merempat akan berkurangan.

Kata seorang aktivis mahasiswa: “Lain pula di Malaysia, cuba kita lihat peranan rumah ibadat terutamanya masjid. Saya lihat, masjid tidak berfungsi sebagai pusat komuniti contoh yang terbaik. Bukan masjid sahaja malahan gereja, kuil dan lain-lain rumah ibadat turut dingin terhadap golongan gelandangan ini. Mereka tiada tempat mengadu”.

“Saat ratusan anak kota menganggur mundar-mandir di depan masjid, saat itulah berlaku ketirisan dan pembaziran. Setiap malam Jumaat selalunya akan diadakan jamuan mahupun kenduri setelah berpenat- lelah membaca tahlil dan yasin. Makanan yang dihidang ada yang tersisa. Lalu kucing-kucing yang akan menjamahnya, bukan manusia lapar seperti mereka ini”, merujuknya kepada kerumunan gelandangan yang ingin mendapatkan makanan masakan mahasiswa secara gotong-royong itu.

Adakah masjid tempat khusus untuk manusia-manusia yang mengharapkan kesucian hati daripada Allah SWT tetapi membelakangkan tanggungjawab kepada masyarakat terutama golongan gelandangan dan putus belanja? Apakah agama yang diajar Rasul SAW itu sudah mati dalam hati-hati kita?

Di sekitar metropolitan Kuala Lumpur saja, dianggarkan ada lebih 800 orang gelandangan terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan bangsa; orang tua, dewasa, kanak-kanak, anak yatim dan miskin, pesakit mental yang dicampak keluarga serta ibu tunggal yang tidak tahu saluran undi yang manakah harus mereka mengadu nasib setelah habis mengundi. Mereka ini ramai tertumpu di sekitar Imbi, Bukit Bintang, Jalan Ipoh, Sentul, Petaling Street, Pudu Raya, Pasar Pudu, Chow Kit dan Masjid Jamek. Mungkin kerana di sini kerap NGO-NGO Islam, bukan Islam dan pihak koporat datang menghulurkan makanan dan minuman percuma. Ini belum lagi kita bicarakan pasal lokasi gelandangan di negeri-negeri lain.

Akhir kalam, marilah kita merenung maksud hadith Rasulullah SAW: Sabda baginda, wahai Abu Dzar! Apakah kamu memandang bahawa banyaknya harta itu sebagai sebuah kekayaan? Sesungguhnya kekayaan itu adalah kayanya hati dan kefakiran itu juga adalah fakirnya hati. Barang siapa kekayaannya ada dalam hatinya maka dia tidak akan merasa risau dengan apapun yang didapatkan dari dunia. Dan barang siapa yang kemiskinannya ada dalam hatinya maka tidak akan ada gunanya harta yang banyak di dunia dan sessunguhnya kekikirannya akan membahayakan jiwanya (HR. An-Nasai dan Ibnu Hibban)

Kita semua harus bersyukur dengan apa jua nikmat yang Allah telah kurniakan untuk habuan kita. Ingatlah, masih ada habuan orang lain yang tersimpan di dalam dompet dan kocek kita. Untuk kita tidak terjatuh menjadi gelandangan, berbaktilah dan bantulah mereka untuk berdikari dan meraih semula maruah diri mereka yang sekian lama sudah hilang

Laporan oleh Helmi Ngalimi, aktivis Kelab Siswa HALUAN