fbpx

Serangan Udara Israel Terus Membedil Gaza

Serangan Udara Israel Terus Membedil Gaza

Serangan Udara Israel Terus Membedil Gaza

GAZA, 20 Nov 2012 – Serangan zionis di Semenanjung Gaza diteruskan untuk hari ketujuh di sebalik seruan dunia untuk menghentikannya. Menurut sumber, angka kematian kini mencecah 111 mangsa.

Sebuah pusat media menjadi sasaran buat kali kedua Isnin lepas apabila jet pejuang Israel membedil menara Shuruq di Bandar Gaza. Bangunan berkenaan menempatkan rumah rakyat Palestin dan stesen media antarabangsa, termasuk agensi berita Sky News dari Britain, Al Arabiya dari Arab Saudi dan stesen rasmi Hamas, TV Al Aqsa.

Seorang mangsa maut dalam serangan tersebut. Kumpulan Jihad Islam mengenalpasti mangsa sebagai Ramez Harb, seorang komander kanan Briged al-Quds, sayap tentera kumpulan berkenaan.

Ahad lepas, sumber daripada Kementerian Kesihatan mengesahkan lapan wartawan tercedera dalam serangan ke atas menara Shuruq dan sebuah lagi bangunan media yang digunakan oleh TV al-Quds.

Jurucakap kerajaan Zionis Israel, Mark Regev menafikan bahawa Israel mensasarkan serangannya ke atas wartawan.

Sebaliknya, ujar beliau, sasaran serangan ke atas pusat media berkenaan adalah terhadap ‘peralatan komunikasi Hamas”.

“Hamas menggunakan fasiliti komunikasi di mana terdapat wartawan-wartawan,” katanya sambil menggambarkan Al Aqsa TV sebagai pusat “arahan dan kawalan Hamas.”

“Sama seperti yang dilakukan oleh mana-mana rejim, media digunakan untuk arahan dan kawalan serta untuk tujuan keselamatan. Pada pandangan kami, itu bukanlah kewartawanan yang sah.”

Israel memberi amaran kepada wartawan asing untuk meninggalkan bangunan itu.

Dalam serangan udara terbaru pagi Selasa lepas, sekurang-kurangnya empat orang tercedera apabila jet pejuang F-16 rejim Israel membedil Bank Nasional Islam di Bandar Gaza yang terletak di kawasan perumahan awam.

Dalam siri keganasan lain Isnin lepas, dua kanak-kanak lelaki berumur dua dan empat tahun serta ibu-bapa mereka terbunuh di kem pelarian Jabaliya. Lebih daripada 12 orang tercedera, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Pada tengahari hari yang sama, seorang terbunuh dan dua lagi cedera apabila sebuah peluru berpandu mengenai sebuah kereta di Bandar Gaza.

Sementara itu, menurut sumber oleh perkhidmatan ambulans Gaza, sebuah peluru berpandu juga mengenai sebuah motosikal di timur Khan Yunis di selatan Gaza, mengakibatkan kematian dua lelaki dan mencederakan seorang kanak-kanak yang bersama mereka.

Pada awal hari berkenaan juga, dua wanita dan seorang kanak-kanak adalah antara empat orang yang terbunuh dalam serangan di kawasan perumahan Zeitun, timur Bandar Gaza.

Usaha ke arah gencatan senjata

Tentera Israel telah membedil lebih 1,350 sasaran di Gaza sejak serangan bermula Rabu lepas dalam siri serangan yang disifatkan sebagai operasi untuk menghalang pejuang Palestin daripada melancarkan roket ke arah wilayahnya.

Menurut tentera Israel, sejak serangan bermula, 640 roket telah mengenai Israel manakala lebih daripada 300 lagi telah dipintas oleh sistem anti-peluru berpandu Israel, Iron Dome. Tiga rakyat Israel terbunuh dalam serangan peluru berpandu pada Khamis lepas.

Menurut mereka juga, 67 roket telah dilancarkan ke arah negara haram itu Isnin lepas, dan tiga rakyat Israel telah tercedera.

Ramai penduduk di kawasan selatan Israel telah meninggalkan kawasan berkenaan dan sekolah-sekolah ditutup sejak krisis bermula.

Sementara itu, lebih daripada 30 orang telah terbunuh di Gaza Isnin lalu.

Wartawan Al Jazeera, Nicole Jonhston yang melaporkan dari Bandar Gaza menyatakan kebanyakan mereka yang terbunuh adalah orang awam.

“Pengeboman dari udara terus berlaku, begitu juga serangan dari laut,” katanya, sambil menambah bahawa serangan mungkin berlaku di mana-mana sahaja di wilayah yang padat dengan penduduk itu.

“Tidak ada tempat yang selamat di Semenanjung Gaza,” katanya. “Tiada kubu bawah tanah, tiada siren dan tiada amaran apabila serangan udara berlaku, atau serangan dari pantai. Semua orang sedang terperangkap di sini.”

Usaha rundingan untuk gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir di Kaherah setakat ini gagal mencapai kata sepakat.

Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal menyatakan Isnin lepas bahawa pihaknya komited dengan usaha untuk mencapai gencatan senjata tetapi tegas dengan desakan menghentikan sekatan Israel di Gaza yang telah berlarutan selama enam tahun.

“Kami sama sekali tidak menentang ketenteraman, tetapi kami mahukan tuntutan kami…untuk menghentikan tindakan samseng Israel, untuk melenyapkan tekanan dan sekatan,” katanya, sambil menambah bahawa Hamas akan menolak apa-apa syarat oleh Israel untuk gencatan senjata kerana “merekalah yang memulakan serangan dahulu.”

‘Menghentikan semua serangan’

Israel setakat ini menunjukkan tiada tanda kesediaan untuk menghentikan kempen serangannya, sambil Avigdor Liebermann, Menteri Luar Israel mengulangi pendirian “syarat pertama dan mutlak untuk gencatan senjata ialah Gaza menghentikan semua serangan dari wilayahnya.”

Beberapa pemimpin antarabangsa telah melawat rantau ini dalam usaha untuk menghentikan pertumpahan darah yang kian berlarutan. Ban Ki Moon, Setiausaha Agung PBB, tiba Selasa lalu untuk rundingan dua hari bersama Binyamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan pegawai-pegawai kerajaan lain.

Tony Blair, wakil kuartet antarabangsa di Timur Tengah, melahirkan harapan gencatan senjata akan berlaku beberapa hari lagi dalam kenyatannya selepas pertemuan dengan Presiden Israel, Shimon Peres.

Bercakap kepada Al Jazeera dari Tel Aviv, beliau ‘gusar’ dengan peristiwa pembunuhan orang awam di kedua-dua Palestin dan Israel serta melahirkan sokongan penuh kuartet berkenaan – PBB, Russia, EU dan Amerika Syarikat – terhadap usaha Mesir untuk mencapai gencatan senjata.

Di Brussels, Anders Fogh Rasmussen, Setiausaha Agung NATO, melahirkan kebimbangan tentang keganasan yang mendadak dan menggesa Israel untuk berpada-pada dalam ‘pertahanannya’ terhadap serangan dari Gaza.

“Sudah tentu Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya, dan serangan ke atas Israel mesti dihentikan. Namun, komuniti antarabangsa juga berharap Israel akan lebih berpada-pada,” ujar Rasmussen.

Sungguhpun 84 peratus rakyat Israel menyokong serangan ke atas Gaza, menurut tinjauan oleh akhbar Israel, Haaretz, hanya 30 peratus mahukan pencerobohan ke atas tanah Palestin dilakukan manakala 19 peratus lagi mahu kerajaan mereka berusaha untuk mencapai gencatan senjata segera.

Sumber: Agensi Berita Al Jazeera
Terjemahan dari http://www.aljazeera.com/news/middleeast/2012/11/2012111915617518485.html

Killed Palestinian Hamdi al-Falah, 22, is hugged by his brother at the hospital after he was shot by Israeli troops on a road in the southern West Bank city of Hebron, on November 19, 2012. [AFP Photo]

Rakyat awam terbunuh dan pusat media menjadi sasaran buat kali kedua seiring dengan jumlah kematian yang menjangkau angka 100 mangsa.

A plume of smoke rises from the Shuruq media building in Gaza on Monday, after it was hit by Israeli air strikes for the second time. (Photo by Al Jazeera reporter Nadim Baba)