fbpx

Seni Dakwah 3: Bagaimana Rasulullah SAW Berdakwah Kepada Orang Dewasa

Seni Dakwah 3: Bagaimana Rasulullah SAW Berdakwah Kepada Orang Dewasa

Seni Dakwah 3: Bagaimana Rasulullah SAW Berdakwah Kepada Orang Dewasa

Makna hadis:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah

bahawasanya Rasulullah SAW memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki ke masjid untuk melakukan solat. Selesai solat, ia mendatangi Rasulullah SAW seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, baginda berkata, “kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum mengerjakan solat!” Ia pun kembali ke tempatnya dan mengerjakan solat seperti yang telah ia kerjakan tadi. Kemudian ia mendatangi Rasulullah SAW lagi seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, baginda berkata, “kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum mengerjakan solat!”

Hal ini berulang sampai tiga kali. Lalu ia berkata, “demi Dzat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarilah aku!” Baginda pun mengajarnya, “apabila engkau berdiri untuk solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah yang mudah dari Al-Quran, kemudian rukuklah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan engkau rukuk, kemudian bangkitlah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan engkau iktidal, kemudian bersujudlah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan sujud, kemudian duduklah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan duduk. Lakukanlah hal ini dalam semua solatmu.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

SENI dakwah 3:

Rasulullah SAW berhadapan dengan mad’u yang telah dewasa, iaitu mad’u yang memiliki ciri-ciri:
a.   Yang telah mencapai kematangan berfikir.
b.   Yang telah memiliki persepsi dan amalan kebiasaan yang kukuh serta dominan pada dirinya, sehingga agak sukar bagi seorang dai untuk menyesuaikan persepsi dan amalan kebiasaannya itu dengan ajaran Islam sebenar.
c.   Mad’u, apabila meningkat umur, sukar untuk belajar dan mengingati sesuatu pengajaran baru dengan cepat.
Perilaku baginda terhadap orang dewasa berbanding remaja/pemuda adalah berbeza:
a.   Bagi mad’u remaja/pemuda (seperti yang dapat dapat difahami daripada hadis-hadis sebelum ini), baginda mengajak mad’u untuk duduk dekat atau hampir dengan baginda.
b.   Manakala bagi mad’u yang sudah dewasa, baginda menyuruhnya kembali ke tempatnya yang agak berjauhan dengan baginda.
Dalam mendidik orang dewasa, baginda memberikan ruang dan jarak yang agak jauh sedikit berbanding dengan golongan remaja/pemuda. Antara hikmahnya ialah:
a.   Baginda tidak mahu mendominasikan pentas dakwah apabila berhadapan dengan orang dewasa. Proses belajar bagi orang dewasa memerlukan ruang untuk berfikir sendiri, memahami sendiri dan membuat keputusan sendiri.
b.   Baginda mahu mad’u baginda yang dewasa itu percaya kepada diri sendiri. Tidak mahu ia rasa dikongkong dan tertekan, bahkan memberi peluang kepadanya untuk mencari kesalahan-kesalahannya sendiri.
Baginda bersabar menunggu kesediaan hati mad’u untuk menerima pengislahan, ini dapat difahami dari kisah hadis di atas:
a.   Lelaki itu mengulangi solatnya sebanyak tiga kali sehingga ia betul-betul bersedia untuk menerima nasihat daripada Rasulullah SAW.
b.   Rasulullah SAW menunggu sehingga mad’unya berkata: ’allimni – yang bermaksud: ajarilah aku.
Baginda bersabar menunggu mad’u dewasa sehingga pintu hatinya benar-benar terbuka. Sebenarnya, orang dewasa tidak boleh tergesa-gesa ditegur. Sesungguhnya apabila hati telah benar-benar bersedia, maka penjelasan yang ringkas sudah boleh membawa perubahan.
Dalam hadis ini baginda tidak menjelaskan semua rukun solat kepada lelaki tersebut. Baginda hanya menjelaskan hal-hal yang baru dan belum diketahui. Pada umumnya orang dewasa tertarik kepada hal-hal yang baru dan belum diketahui. Dalam konteks hadis ini, antara perkara yang ingin dijelaskan oleh baginda (di samping beberapa perkara lain) ialah mengenai permasalahan tamakninah – yakni berhenti sebentar antara beberapa rukun solat:
a.   tamakninah semasa rukuk.
b.   tamakninah semasa iktidal.
c.   tamakninah semasa sujud.
d.   tamakninah semasa duduk antara dua sujud.
Baginda memberi fokus kepada beberapa kesalahan yang ketara sahaja, kerana tidak semua perkara boleh dicapai pada satu masa.
Pengajaran penting daripada hadis ini (dari sudut fiqh ad-dakwah) ialah:
a.   Mewujudkan kesediaan hati pada diri mad’u yang dewasa adalah penting agar dakwah dan tarbiah berkesan.
b.   Para pendakwah hendaklah bersabar menunggu zuruf yang munasabah untuk memberi nasihat dan tidak boleh tergesa-gesa dalam berdakwah. Apabila telah ada zuruf munasabah, maka pendakwah tidak boleh lagi bertangguh-tangguh untuk berdakwah kepada mad’u.
c.   Para pendakwah hendaklah menyesuaikan isi dakwahnya setara dengan kemampuan mad’u.

Rujukan utama:
Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.