fbpx

Seminar SKH Buka Lembaran Baharu

Seminar SKH Buka Lembaran Baharu

Seminar SKH Buka Lembaran Baharu

skh01-01KOTA BHARU, 3 Mac 2014 – Profesion sebagai ahli paramedik Sains Kesihatan HALUAN (SKH) yang terlibat secara langsung berbakti kepada masyarakat harus digunakan sebaik cara untuk mengejar kejayaan di dunia dan akhirat. Mereka harus bijak menggunakan kelebihan ilmu dan ruang masa berkhidmat untuk memastikan setiap langkah mereka membawa kepada ibadah yang bermakna.

Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dalam ucaptamanya semasa merasmikan Seminar SKH 2014 pada 1 – 2 Mac berkata, seorang amilin Islam sentiasa peka bahawa kejayaan hidup ini adalah apabila dia lebih banyak memberi daripada menerima.

“Kejayaan hidup seseorang yang diukur mengikut kecukupan fizikalnya semata-mata akan membuatnya lebih banyak meminta daripada berkhidmat. Namun sebagai seorang muslim, kita semestinya mempunyai definasi jelas tentang kejayaan. Kayu ukur kejayaan manusia itu seringkali berubah-ubah mengikut arus masa, tempat dan kehendak. Namun perlu kita sedari bahawa Allah SWT telahpun meletakkan definasi kejayaan yang jelas di dalam Al-Quran sebagai panduan hidup kita.”

“Kita melihat manusia sering menilai kejayaan daripada suatu aspek kelebihan fizikal dan material yang ada pada dirinya. Namun bilamana kelebihan fizikal ini tercapai, manusia mula menjadi keliru dan mencari pula nilai fizikal yang lain untuk dikejar – menjadikan hidupnya berkitar hanya untuk memenuhi kehendak dirinya semata-mata hingga tidak berkesudahan,” ujar beliau.

Sambil merujuk kepada Surah Al Mukminun ayat 1-11, Dr Abdullah Sudin menyatakan bahawa setiap muslim hendaklah merujuk kembali nilai kejayaan yang hakiki yang digariskan di dalam Al-Quran oleh Allah SWT. Iaitu mereka yang memelihara amanah dan janjinya; merekalah yang akan mewarisi syurga Firdaus dan mereka kekal di dalamnya. Nilai tersebut meliputi seluruh aspek kemanusiaan dan tidak untuk aspek tertentu sahaja.

“Oleh itu, kita kena memalingkan fokus kita dari mencari nilai kejayaan yang sempit kepada mengejar nilai kejayaan sebenar yang Allah SWT janjikan. Kita berada dalam dewan ini bagi membincangkan perkara penting iaitu bagaimana untuk berkhidmat kepada Islam dan berkhidmat kepada kemanusiaan tanpa mengira agama atau bangsa mereka agar kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim contoh. Oleh itu hendaklah kita meletakkan seluruh usaha kita bagi memenuhi sifat-sifat individu yang berjaya di sisi Allah SWT,” katanya lagi.

Dalam konteks memelihara amanah ini dalam berkerjaya, seorang ahli paramedik SKH yang melaksanakan kerjayanya dengan baik dan ikhlas akan tergolong sebagai orang yang memelihara amanah dan termasuk mereka yang berjaya.

“Untuk perkara yang kedua, marilah kita merujuk kepada surah 2: 1-5. Disebut sifat-sifat orang yang berjaya juga adalah orang yang mendapat petunjuk daripada Allah kerana mempunyai sifat antaranya beriman kepada Al-Quran. Oleh itu dalam kita menentukan apa yang ada pada kita ini perlulah kita merujuk kepada sumbernya iaitu Quran, bukan dari sumber-sumber lain,” pesan Dr Abdullah Sudin.

Perkara ketiga adalah peringatan daripada surah At-Taubah 9: 111-112. Berdasarkan ayat ini, dirumuskan bahawa di samping beriman kepada Allah SWT, melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang, kita diminta membersihkan diri iaitu bertaubat zahir dan batin.

“Sebagai amilin Islam yang mendampingi masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, kita harus sentiasa melalui proses pembersihan zahir dan batin termasuklah menjaga kesempurnaan diri dari segi kesihatan. Kita tidak akan dapat melaksanakan segala kegiatan ibadah seperti solat dan puasa tanpa adanya kesihatan. Oleh itu kesihatan ini adalah suatu perkara yang sangat penting bagi kita,” jelas beliau mengenai peranan besar yang harus dipikul oleh ahli-ahli SKH.

“Kita kena nilai sesuatu kejayaan itu bukan dengan apa yang kita ada, tetapi kita harus ukur dengan apa benda yang dapat kita berikan. Contohnya, apa maknanya kita berjaya di dalam akademik kalau kita tidak mampu sumbang kepada masyarakat? Seorang muslim perlulah mengubah perspektif berkhidmat itu daripada hanya bekerja dalam batas asasnya sahaja kepada berkhidmat lebih daripada asas tersebut. Bukan sekadar mendapat upah, malah terpaksa pula mengorbankan masa, harta dan tenaga kita semata-mata untuk memberikan khidmat kepada golongan yang terpinggir, tersasar dan tidak terbela yang ramai menanti kita,” ujar beliau lagi.

Beliau mengajak ahli paramedik HALUAN untuk melihat sirah Nabi SAW dan para sahabat dalam mencari kayu ukur nilai pengorbanan. Dalam konteks paramedik ini, ia merupakan suatu golongan yang dapat memberikan sumbangan di mana-mana sahaja di dalam mahupun luar negara. Beliau menggesa ahli SKH untuk mengejar ilmu dalam profession masing-masing ke tahap yang tertinggi sambil sentiasa dibaluti dengan iman.

“Inilah kayu ukur yang akan dapat membezakan nilai sumbangan kita berbanding orang lain, walaupun pada pandangan manusia seperti sama sahaja. Dengan gabungan ilmu dan iman yang tinggi ini, nilai sumbangan kepada masyarakat itu akan berada di tahap tertinggi sambil tinggi barakahnya di sisi Allah SWT. Selain kita dapat menyuburkan nilai-nilai iman semasa berkhidmat, kita juga dapat membantu masyarakat untuk memahami asbab-asbab sesuatu musibah yang menimpa agar masyarakat dapat mencerap kejadian atau bencana itu melalui kacamata iman yang mungkin dapat menginsafkan mereka,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada urusetia penganjur seminar tersebut.


Laporan Muhammad Afiq Jamarudin
Urusetia Seminar SKH 2014