fbpx

Seminar Pembangunan Mantapkan Belia Perak

Seminar Pembangunan Mantapkan Belia Perak

Seminar Pembangunan Mantapkan Belia Perak

SIMPANG PULAI, PERAK 12 Nov 2015 — ‘Bencana Yang Menimpa Umat Islam’ menjadi salah satu tajuk ceramah menarik pembuka minda pemuda-pemudi alumni Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR) yang diadakan di Sekolah Rendah Al-Ihsan (SERI) di sini 8 November lepas.

Penceramah Cikgu Azmi Bahari, seorang motivator terkenal dari RMC Training Centre, telah menekankan bahawa kejadian musibah dalam kehidupan kini bukanlah bencana besar yang sebenar. Bencana yang sebenar ialah keruntuhan aqidah umat Islam yang mengheret mereka kepada kekufuran.

“Itulah kemusnahan dan bencana dalam erti kata yang sebenar. Kerana kufur itu bakal mengundang bala daripada Allah SWT. Dan apabila bala itu tiba, tiada manusia yang akan mampu menghalangnya. Hanya iman yang sebenar dapat mengatasi bencana yang berlaku dalam kehidupan ini,” jelas beliau lagi.

Seminar yang dihadiri oleh 45 orang peserta ini bertujuan berkongsi ilmu dan memberi pendedahan kepada generasi muda pewaris dakwah untuk persediaan mereka memperkemaskan kualiti diri dalam mengharungi kehidupan seharian. Program bermula dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Encik Abdullah Munzir Zul Safaruddin disusuli ucapan aluan oleh pengarah program, Encik Ahmad Al-Wafi Idris.

Dalam kertas kerja beliau yang pertama, Cikgu Azmi Bahari telah membawa tajuk ‘Kembali Kepada Islam Yang Sebenar’. Antara ajakan beliau adalah memohon kekuatan daripada Allah SWT agar kita sentiasa memperkemaskan diri dalam mengenal Allah SWT dan Rasul Nya dengan hakikat sebenar agar Islam yang tulin saja dicerapi dalam kehidupan ini. Beliau juga menekankan kepentingan generasi muda mendalami sirah-sirah perjuangan para anbiyak dan solehin untuk dapat merasai kesusahan dan ranjau berduri dalam menyebarkan Islam sehingga ke hari ini.

Seterusnya, beliau membawa tajuk ‘8 Kesan Dosa Dalam Kehidupan’ dalam pembentangan kertas kerja ketiga. Ia adalah:

  1. Tidak mendapat ilmu yang sebenar
  2. Tidak mendapat rezeki yang diberkati
  3. Mendapat kesulitan
  4. Kerisauan dan kesepian hati
  5. Kegelapan dalam hati
  6. Melemahkan hati dan badan
  7. Menghilangkan ketaatan, dan
  8. Mengurangi umur dan menghakis keberkatan

Penceramah turut berkongsi tentang dua jenis emosi yang perlu ada dalam hati manusia kepada Allah SWT iaitu perasaan takut (Khauf) dan perasaan berharap (Raja’). Seminar penuh bermanfaat khas untuk para belia ini disimpulkan dengan pesanan kepada para peserta iaitu “Takutilah dosa yang akan mematikan hati-hati kita dan menjauhkan kita daripada meraih redha Allah SWT. Sesal kemudian tiada gunanya lagi.”

Program diakhiri dengan sesi soal-jawab dan bergambar. Semoga program ini dapat memberikan impak dan pencerapan berguna buat pemuda dan pemudi sukarelawan HALUAN Perak dalam menempuh kehidupan yang penuh cabaran.


Laporan oleh Ahmad Yusuf Razali, Kelab Belia HALUAN Ipoh