fbpx

Seminar Emas dan Asas Keusahawanan

Seminar Emas dan Asas Keusahawanan

Seminar Emas dan Asas Keusahawanan

JOHOR BAHRU, 8 Sept 2014 – Biro Ekonomi HALUAN Unit Johor Bahru telah mengadakan Seminar Emas dan Asas Keusahawanan di pejabatnya pada 6 September lalu bertujuan mendekatkan ahli HALUAN dengan bidang ekonomi.

Program yang mensasarkan golongan pemuda beraspirasikan mereka untuk menguasai bidang ekonomi bagi menghadapi suasana kehidupan yang kian mencabar. Seminar berkenaan juga antara lain ingin membentuk kerjasama di antara ahli yang terlibat di dalam bidang keusahawanan untuk membincangkan kerjasama yang termampu bagi meningkatkan lagi pendapatan. Lebih daripada 30 ahli HALUAN dari sekitar Johor telah menghadiri seminar tersebut.

Program dimulakan dengan ucapan pengenalan oleh Cikgu Ismail Saliyan. Selain daripada penerangan berkenaan asas-asas ekonomi, beliau juga menerangkan keperluan kepada lebih banyak pemilikan harta di kalangan orang Islam. Beliau seterusnya membentangkan konsep Ar-Rahnu yang dapat digunakan bagi menjana ekonomi umat Islam.

Di sebelah petangnya, penerangan oleh Cikgu Mohd Ali Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Master Ali telah menjelaskan berkenaan sistem jual beli emas dan hukum-hakam berkenaannya menurut syariat Islam.

Selain daripada ceramah dan penerangan, peserta juga dapat melihat dengan lebih dekat produk-produk yang dihasilkan oleh HALUAN Johor Bahru Biz (HJBB) seperti ayam organik, madu asli Tayyibah, susu kambing Golden Goat, pewangi kereta, kain batik dan pelbagai lagi.

“Pendedahan berkenaan keperluan untuk membangunkan ekonomi terutamanya di kalangan pemuda sangat penting pada pandangan saya. Saya juga berhasrat untuk mengembangkan lagi program pembangunan ekonomi ini sehingga ke Mesir,” berkata ‘Izzat Ibrahim, salah seorang peserta program dari Simpang Renggam yang merupakan pelajar tahun tiga di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Semoga penganjuran aktiviti ini dapat menggalakkan lebih ramai pemuda dan pemudi untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Laporan oleh Mohd Yazid Ahmad