fbpx

Seminar akademik, profesional dan usahawan 2009 ketengahkan keseimbangan dalam mencapai kecemerlangan

Seminar akademik, profesional dan usahawan 2009 ketengahkan keseimbangan dalam mencapai kecemerlangan

Seminar akademik, profesional dan usahawan 2009 ketengahkan keseimbangan dalam mencapai kecemerlangan

Seminar Akademik, Profesional dan Usahawan (APU’09) telah berlangsung di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada dari 20 hingga 21hb Jun lalu dengan jayanya. 


Seramai 92 orang peserta daripada pelbagai bidang dan profesyen dari seluruh negara telah hadir menyertai APU’09 ini.

Hari pertama program ini adalah khusus untuk ahli-ahli Akademi Penyelidikan Haluan (APH) sahaja, manakala hari berikutnya terbuka kepada orang penyertaan orang ramai.

Ucaptama APU’09 telah disampaikan oleh Timbalan Presiden HALUAN, Yang Berbahagia Ustaz Darus Senawi Ali. Beliau telah memberi penekanan kepada sifat-sifat positif yang perlu ada pada profesional Muslim dalam membangunkan ummah.

Satu forum mengenai keseimbangan di antara kerjaya dan kerja Islam turut diadakan. Rumusan forum tersebut memberi gambaran yang jelas dan panduan-panduan penting untuk mengimbangkan diri ke arah kecemerlangan. Selain dari itu, beberapa perbincangan berbentuk bengkel diadakan bagi memberi fokus kepada penggubalan program baru bagi kolej angkat APH iaitu Kolej Teknologi Darul Naim (KTD,) penyelidikan dan penerbitan dalam modal insan, perundingan, dan  Kelab Kesihatan Haluan.

Hari pertama APU’09 diakhiri dengan ucapan dan perasmian oleh Presiden HALUAN Profesor Madya Dr Abdullah Sudin Abd Rahman. Beliau telah memberi pesanan bahawa segala kerja berakhlaq, mendidik dan berbakti kepada masyarakat ini adalah untuk kebaikan diri sendiri. Pada malam itu juga dilancarkan buku sulung mengenai modal insan yang diterbitkan oleh APH dengan kerjasama Kolej Teknologi Darul Naim.

Hari kedua APU’09 diteruskan dengan beberapa lagi sesi syarahan dan forum. Profesor Madya Dr Mohd Hassan Mohd Osman daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyampaikan syarahan bertajuk “Profesional usahawan dan usahawan profesional,” manakala Ir Abd Aziz Amin daripada Amtech Sdn. Bhd. membincangkan tajuk “Jihad Ekonomi.” Ir Abd Aziz antara lain telah berkongsi pengalaman menubuhkan satu syarikat berorientasikan teknologi tinggi dalam perusahaan petrolium yang telah dapat menembusi pasaran setelah 7 tahun beroperasi.

Sesi forum pada hari kedua APH’09 bertajuk “Amalan profesional yang efektif dan cemerlang” telah menampilkan 3 orang pakar perubatan yang sangat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan tanpa menjejaskan kerjaya mereka sebagai pakar yang turut diiktiraf dalam bidang masing-masing. Mereka adalah Prof Dr Abd Latiff Mohamad, dari Kolej Medikal Cyberjaya (CUCMS,) Dr Daud Sulaiman, Pakar Perunding Kardiologi dari Damansara Medical Centre yang juga Naib Presiden Global Peace Mission (GPM,) dan Prof Madya Dr Mohd Zamrin, Ketua Biro Profesional Haluan, yang juga Pakar Perunding Pembedahan Kardiothorasik dari Pusat Perubatan UKM. Forum tersebut telah dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Burhanuddin Busu.

Secara keseluruhan seminar kali ini berjaya membuka satu mind set yang berbeza di kalangan peserta berkenaan peranan dan tanggungjawab golongan profesional dalam memartabatkan ummah.

Majlis penutup APU’09 telah disempurnakan oleh Naib Presiden HALUAN, Profesor Dr Sr Abdul Hakim Mohamad.