fbpx

SEMAI VI Dan Seminar Siswazah Buka Ruang Perkongsian Hasil Penyelidikan Modal Insan

SEMAI VI Dan Seminar Siswazah Buka Ruang Perkongsian Hasil Penyelidikan Modal Insan

SEMAI VI Dan Seminar Siswazah Buka Ruang Perkongsian Hasil Penyelidikan Modal Insan

BANDAR BARU BANGI, 30 September 2014 – Seminar Pembangunan Modal Insan ke-6 (SEMAI VI) dan Seminar Siswazah kali pertama telah dianjurkan secara selari oleh Biro Pengajian Tinggi HALUAN dengan kerjasama Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIP) bertempat di Ibu Pejabat HALUAN di sini kelmarin.

Tema SEMAI pada tahun ini, “Kematangan Sosial ke arah Masyarakat yang Harmoni”, mengupas dan membincangkan aktiviti kemasyarakatan yang dapat membentuk kematangan sosial seterusnya menjana masyarakat yang harmoni dan sejahtera dalam seluruh aspek kehidupan.

SEMAI dan Seminar Siswazah kali ini telah dihadiri oleh para penyelidik dari pelbagai IPT seluruh negara. Sebanyak 31 kertas kerja SEMAI dan 11 kertas kerja Seminar Siswazah yang meliputi pelbagai topik berkaitan tema program telah dibentangkan dalam empat sesi selari yang diadakan.

SEMAI VI telah dirasmikan oleh Presiden HALUAN, Dr Hj Abdullah Sudin bin Ab Rahman juga merangkap sebagai Ketua Eksekutif KTD. Beliau berharap agar pertemuan sebegini dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penyelidik seterusnya dapat menjalinkan kerjasama yang baik dalam menjayakan pembangunan modal insan di Malaysia.

Ucaptama pertama telah disampaikan oleh Pengerusi Biro Pengajian Tinggi HALUAN, Profesor Dr Ismail bin Ahmad. Beliau telah membincangkan kepentingan melahirkan “Kilauan Emas” dalam masyarakat agar terbentuk suasana yang harmoni.

“Kematangan sosial akan melahirkan masyarakat yang mempunyai 10 ciri-ciri peribadi Muslim seperti yang pernah ditonjolkan oleh para sahabat Rasulullah SAW,” ucap beliau.

Ucaptama kedua pada sebelah petangnya telah disampaikan oleh Profesor Dr Rosni binti Abdullah, Koordinator Pusat IPv6 Termaju Negara, Universiti Sains Malaysia juga merangkap Ahli Lembaga Pengarah KTD. Beliau telah berkongsi pandangan mengenai tajuk “Pendidikan dan Modal Insan” dan melontarkan persoalan kepada para pembentang dan peserta, “Sejauh manakah kita berperanan dalam membangunkan modal insan dalam masyarakat?”

Acara penutup disempurnakan oleh Timbalan Presiden HALUAN, Profesor Emeritus Dato’ Dr Abu Azam bin Md Yassin merangkap Ahli Lembaga Pengarah KTD. Beliau mengemukakan beberapa kaedah untuk membudayakan suasana perkongsian hasil kajian dengan lebih luas dan menarik pada masa akan datang.

SEMAI VI menyediakan platform perkongsian bagi mengetengahkan hasil kajian dan penyelidikan para penyelidik di seluruh negara pada peringkat nasional. Pihak penganjur menaruh harapan agar hasil penyelidikan yang dibentangkan dan idea yang dilontarkan sepanjang seminar ini berlangsung akan membuka jalan ke arah pembentukan masyarakat yang harmoni dan berkualiti di Malaysia.

Disediakan oleh
Abu ‘Ubaidah bin Sharudin,
Pengerusi SEMAI VI