fbpx

SEMAI Meneroka Modal Insan Gen Y

SEMAI Meneroka Modal Insan Gen Y

SEMAI Meneroka Modal Insan Gen Y

PENGKALAN CHEPA, 28 September 2013 — Seminar Pembangunan Modal Insan ke-5 (SEMAI 2013) telah dianjurkan oleh Biro Pengajian Tinggi HALUAN dengan kerjasama Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) bertempat di KTD, Kelantan, Sabtu lalu. Acara tahunan ini bertema “Meneroka Modal Insan Generasi Y” cuba mengupas dan membincangkan tentang Generasi Y yang dikenali sebagai Millennial atau Generasi Internet, mahir teknologi dan gemar berkomunikasi melalui alam siber tanpa batas masa mahupun tempat.

SEMAI 2013 telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Mohd Hasan Mohd Osman, Dekan Sekolah Perniagaan Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM-IBS) dan dihadiri oleh penyelidik dari UKM, KTD, UTM, UiTM, USM, Unisza dan lain-lain lagi. Sebanyak 25 kertas kerja dengan pelbagai topik sekitar Generasi Y (Gen Y) telah dibentangkan sepanjang dua sesi selari yang diadakan pada hari tersebut.

Sesuai dengan tema Generasi Y ini, SEMAI 2013 cuba menerokai pelbagai persoalan menarik berhubung pembangunan modal insan Gen Y yang bakal mencorak masa depan dan kepimpinan negara suatu hari nanti. Prof. Dr. Mohd Hassan dalam penyampaiannya yang cukup menarik mencadangkan pelbagai cara membina hubungan baik dengan Gen Y. Beliau merujuk kembali kepada sirah Hijrah yang melahirkan ukhuwah yang cukup erat antara Muhajirin dan Ansar, sirah sekembalinya sahabat Ansar selepas perang Hunain dan juga hikmah daripada kerja berpasukan dalam menghadapi Al-Hudaibiyah. Semua peristiwa ini dikupas dan boleh diadaptasi secara realistik dalam kehidupan kita masa kini.

Menurut pembentang kertas kerja dari UiTM Shah Alam iaitu Cik Nur Hazirah Hamdan dan Encik Arsyad Ayub, tema seminar kali ini bersesuaian dengan isu semasa dengan perbezaan generasi memberi impak kepada pembangunan ekonomi selaras dengan perkembangan teknologi. Manakala penyusunan tajuk yang teratur memenuhi skop dan memudahkan peserta untuk mengikuti dan memahami kandungan pembentangan. Secara keseluruhannya seminar ini memberi impak yang positif dengan memberi peluang kepada siswazah membentangkan hasil penyelidikan mereka dan pihak KTD telah berjaya menjalankan seminar ini dengan cemerlang. Pembentang turut memberi saranan agar prasarana tempat seminar ditambahbaik dan mencadangkan agar SEMAI pada masa hadapan dijayakan diperingkat antarabangsa dengan membuka peluang kepada lebih ramai penyertaan dari dalam dan luar negara.

Acara penutup pula dirasmikan oleh Ketua Eksekutif KTD, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman yang menyentuh transformasi pendidikan di KTD khasnya dan di Malaysia serta peringkat antarabangsa amnya. Beliau turut berpendapat aspek pendidikan sebagai teras modal insan yang berjaya boleh dijelmakan melalui konsep Al-Falah iaitu kejayaan peribadi dan masyarakat di dunia dan akhirat. Peribadi Al-Falah mencetuskan budaya mengkaji, memerhati dan memberi kesejahteraan kepada ummah. Bentuk insan seperti inilah yang diinginkan dalam pembinaan modal insan.

SEMAI 2013 menyediakan platform untuk menjana perkongsian terhadap budaya Al-Falah khususnya mengetengahkan hasil kajian dan penyelidikan di seluruh negara. Dan diharapkan hasil dapatan daripada penyelidikan yang dibentangkan dan idea yang dilontarkan dalam seminar ini akan memberi jalan keluar ke arah pembentukan modal insan Gen Y yang berkualiti di Malaysia.


Disediakan oleh Dr. Zurina Muda, Penolong Setiausaha SEMAI2013