fbpx

SEMAI 2017 Digencar Ramai Pemikir Akademia

SEMAI 2017 Digencar Ramai Pemikir Akademia

SEMAI 2017 Digencar Ramai Pemikir Akademia

BANDAR BARU BANGI, 30 Oktober 2017 – Seminar Pembangunan Modal Insan ke-9 (SEMAI 2017) yang dianjurkan oleh Biro Pengajian Tinggi HALUAN pada 27 Oktober lepas telah melibatkan 53 pembentang kertas kerja akademik. Seminar dengan kerjasama Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIP) ini telah berlangsung di bangunan Kolej Teknologi Darulnaim Cawangan Kuala Lumpur.

Pada tahun ini, pihak penganjur telah menggariskan sebuah tema yang cukup kompeten iaitu, “Transformasi Nasional Pemangkin Bakat Insan.” Menurut perasmi majlis pembukaan SEMAI 2017, Prof. Madya Dr. Engr Solehuddin Shuib, sebuah aspirasi yang diperkenalkan oleh YAB Datuk Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak ini merupakan sebuah slogan yang harus disambut oleh seluruh rakyat Malaysia.

“TN50 merupakan satu sudut pandang ke depan. Sebuah langkah proaktif yang seluruh rakyat Malaysia perlu diambil tindakan,” ujar beliau. Beliau menekankan tentang keperluan generasi muda untuk bergerak lebih pantas ke hadapan dalam menggendong usaha ini.

SEMAI kali ini telah dihadiri para penyelidik dari pelbagai IPT seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) Pengkalan Chepa, KTD Cawangan Kuala Lumpur, dan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis. Turut hadir juga individu-individu yang terlibat aktif dalam pelbagai industri.

Sebanyak 38 kertas kerja akademik telah dibentangkan sebagai buah fikiran dari sudut pandang para penyelidik. Kesemua kertas kerja tersebut meliputi pelbagai topik berkaitan tema program telah dibentangkan dalam empat sesi selari.

Ucaptama pertama telah disampaikan oleh Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Mohd Zubir Mat Jafri. Beliau menyampaikan kepentingan sebuah penerbitan dalam industri penyelidikan. Dengan penyampaian yang bertajuk, “Peranan Penerbitan dalam Membangun Modal Insan di Malaysia, beliau berkata, “penerbitan mampu membantu manusia membina teknologi, bahkan keaslian minda pribumi dapat dikekalkan. Justeru, adalah satu keperluan untuk wujudkan penerbitan untuk membina tamadun tersendiri. Perkara ini telahpun dilaksanakan oleh bangsa Jepun, Korea, Thailand, Indonesia dan Jerman.”

Ucaptama kedua pada sebelah petang telah disampaikan oleh Dekan Institusi Pengajian Siswazah Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Wan Haliza Abd Majid. Beliau telah merungkai persoalan tentang dasar-dasar yang telah digariskan oleh kerajaan dalam menentukan hala tuju projek Transformasi Negara 2050 (TN50).

Beliau banyak menekankan tentang peranan wanita untuk jangka masa 30 tahun projek ini dilaksanakan. Menurutnya, “pergerakan dunia ini akan terus berubah. Wanita akan ditingkatkan dari sudut sumber manusia di sektor pekerjaan. Jadi setiap wanita menemui satu cabaran bagaimana untuk mengurus tadbir tugas mendidik anak untuk masa yang mendatang ini”.

Acara penutup disempurnakan oleh Dr. Nik Mu’tasim Nik Ab. Rahman yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengurusan Kolej Teknologi Darulnaim Cawangan Kuala Lumpur telah menyentuh tentang kepentingan-kepentingan yang perlu ada dalam golongan pengkaji akademik. . .

Menurut pengerusi seminar kali ini, Encik Anaqi Ahmad Saleh,SEMAI 2017 adalah sebuah pentas yang disediakan untuk para siswazah membentangkan penyelidikan mereka agar dapat dikongsikan bersama para siswazah yang lain. Ia juga merupakan medan menerima maklumbalas secara terus terhadap kajian daripada para penyelidik yang lebih berpengalaman bagi meningkatkan mutu penyelidikan mereka.

Pihak penganjur menaruh harapan agar hasil penyelidikan yang dibentangkan dan idea yang dilontarkan sepanjang seminar tersebut berlangsung akan membuka jalan ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang harmoni dan berkualiti.


Laporan Muhammad ‘Izzat Ibrahim Shamjuddin, Timbalan Pengarah (2) SEMAI 2017