fbpx

Sebak Sanubari Penangan BHF Zon Borneo

Sebak Sanubari Penangan BHF Zon Borneo

Sebak Sanubari Penangan BHF Zon Borneo

KOTA KINABALU, 12 Dis 2017 – Realiti tasawur Islam yang masih longgar di negeri di bawah bayu ini benar-benar menguja tiga orang pembentang Biro HALUAN Fitrah (BHF) yang didatangkan dari Semenanjung sempena slot biro berkenaan pada 10 Disember lepas di Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (iJDK) 2017 di sini.

Seramai 57 orang lepasan SPM telah mengikuti latihan intensif persiapan ke menara gading ini di Maktab Rendah Sains MARA. Pembentangan demi pembentangan slaid dibuat mengenai agama-agama utama anutan di Malaysia. Di setiap pembentangan itu juga mereka menunjukkan minat yang mendalam terutama pada tajuk Kristianiti yang menjadi begitu lumrah di Sabah dengan bilangan gereja dan penganut yang ramai, kadangkala daripada suku-sakat mereka sendiri.

Menurut salah seorang pembentang, Puan Zanariah Parman, satu sudut yang mungkin perlu dititiberatkan ialah begitu ramai daripada para peserta yang datang dari keluarga yang jauh daripada beramal dengan ajaran Islam.

“Sekurang-kurangnya empat orang daripada anak-anak ini datang menangis kepada saya meminta nasihat bagaimanakah untuk mengajak ibubapa dan adik-beradik mereka agar kembali hidup sebagai seorang Muslim yang sebenar. Dalam borang penilaian peserta kami, ada yang meminta diajar bukan saja berdakwah kepada bukan Islam tetapi juga kepada yang sudahpun memeluk Islam tetapi hanya setakat bersyahadah sahaja,” jelas beliau kepada wartawan HALUAN di lokasi.

Kesimpulannya, mereka sedar bahawa mereka bertanggunggjawab untuk berdakwah kepada yang belum Muslim namun mereka masih memerlukan lebih banyak ilmu tentang agama-agama tersebut serta latihan supaya dapat mendepani mereka dengan bijak dan berhemah. Bila ditanya siapa mahu menyertai BHF bila masuk kampus nanti, hampir setiap peserta mengangkat tangan dan memberi persetujuan dengan penuh semangat.

Kata Zanariah, bagi kita di Semenanjung, terdapat banyak badan-badan dakwah, NGO serta masjid-masjid di depan mata. Kalau masih tidak mengenal Islam, itu adalah kerana kealpaan orang itu sendiri. Tetapi di Sabah, hampir tiada yang boleh mengajar mengenai Islam, terutama di kawasan pendalaman. Itulah antara keluhan hati beberapa orang peserta yang datang bercakap secara peribadi dengan para pembentang BHF. Sudah sepastinya, Biro Dakwah HALUAN akan mengorak langkah untuk membantu menyemarakkan dakwah Islamiyah di kalangan orang Islam sendiri di Sabah nanti.

Selain Zanariah, pasukan BHF ke iJDK Borneo terdiri daripada Encik Khairul Sofwan Mohamad Rusman, Cik Sharifah Wardah Syed Azuwil, dan Encik Zulkifli Wili selaku pengurus zon untuk BHF.


Laporan Wartawan HALUAN iJDK 2017 Zon Borneo

Fasilitator Zon Borneo membantu peserta mengukuhkan fakta
Kakak Wardah antara pembentang disukai ramai
Madam Zanariah membimbing peserta muda
Peserta berbincang bagaimana berdakwah di kampus nanti
Sukar juga untuk berdakwah di kampus nanti