fbpx

Sambutan SKEMA X di luar dugaan

Sambutan SKEMA X di luar dugaan

Sambutan SKEMA X di luar dugaan

GOMBAK, 21 Oktober 2012 – Seramai 420 orang mahasiswa telah mengikuti Seminar Kesejahteraan Mahasiswa (SKEMA X) ke-10 anjuran Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Wilayah Tengah dengan kerjasama IIUM Journalism Club (JC). Bertemakan “Mahasiswa Bersinergi Pemangkin Legasi”, SKEMA X kali ini telah diadakan di Auditorium Utama, Kuliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED), IIUM Gombak.

Menurut Pengarah SKEMA X, Encik Ikrimah Husni Mustafa Kamil sambutan daripada para mahasiswa kali ini adalah di luar dugaan.

“Saya dapati sambutan terhadap SKEMA ini semakin mantap. Ada universiti yang menghantar peserta dalam tiga buah bas. Ada yang datang jauh dari negeri-negeri lain semata-mata kerana pernah dengar daripada kawan-kawan yang memberitahu SKEMA sangat relevan untuk mahasiswa. Di samping itu, ada juga yang datang kerana ingin melihat dan mendengar sendiri daripada tokoh-tokoh HALUAN yang kami tampilkan. Pendeknya saya berpuashati dengan sambutan dan persiapan kami kali ini,” tambah beliau lagi.

Seminar dimulakan dengan slot pertama bertajuk “Mahasiswa dan Krisis Identiti ” yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Razali Maarof atau lebih dikenali sebagai Abu Ridwan of LangitIlahi. Beliau yang merupakan Pengurus Pembangunan dan Hubungan Luar Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) di Kelantan telah menekankan tentang bahaya serangan pemikiran (ghazwatul fikr) yang melanda masyarakat khususnya mahasiswa. Beliau telah menyorot kembali peranan utama para mahasiswa dan mengajak mereka agar kembali memilih jalan merintis ke arah keredhaan Allah SWT.

Seminar diteruskan dengan slot forum yang dikendalikan oleh Cik Fatimah Az-Zahra Mohd. Azmi, mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Forum ini telah dibarisi oleh tiga orang ahli panel iaitu, Encik Muhamad Muhsin Muhamad Suhor, mahasiswa UNIKL MIAT juga Exco Biro Latihan & Rekreasi HALUANSiswa, Encik Irwan Affendi Md. Naim, Pensyarah Bahasa Inggeris di Kolej Teknologi Darul Naim (KTD), dan Puan Mazlinah Ghazali, Pensyarah Kejuruteraan Komputer di Pusat Asasi UIAM. Para panelis telah mengupas tajuk “Mahasiswa Bersinergi Pemangkin Legasi” yang telah memberikan pencerahan tentang peri pentingnya menjadi mahasiswa bersinergi.

SKEMA kali ini turut diserikan lagi dengan penampilan Imam Muda Asyraf dan Hilal Asyraf of LangitIlahi dalam slot Bual Bicara Bersama Ikon Mahasiswa. Perkongsian mereka turut berkisar tentang tema SKEMA kali ini iaitu “Mahasiswa Bersinergi Pemangkin Legasi”.

SKEMA diakhiri dengan ucapan penutup yang telah disempurnakan oleh Encik Hafiizh Ghazali, Ketua Biro Khidmat Guaman HALUAN.

Semoga SKEMA kali ini berjaya melahirkan mahasiswa yang bersinergi sekaligus menjadi pemangkin legasi ummah.

Laporan
NUR NASHRAH ISAHAK
Biro Multimedia SKEMA-10