fbpx

Sambutan Konvensyen Wanita Kebangsaan 2011 luar dugaan

Sambutan Konvensyen Wanita Kebangsaan 2011 luar dugaan

Sambutan Konvensyen Wanita Kebangsaan 2011 luar dugaan

Putrajaya, 1 Nov 2011  –  Konvensyen Wanita Kebangsaan 2011 yang dianjurkan oleh HALUANITA iaitu sayap wanita HALUAN Malaysia menerima sambutan yang sangat menggalakkan dengan penyertaan lebih 400 wanita daripada segenap latarbelakang, termasuklah dari Sabah.


Konvensyen kali ini yang bertemakan ”Wanita Pencorak Generasi Pewaris” itu berjaya menambat hati peserta yang inginkan bekalan yang bermakna dalam mengharungi arus pemodenan kehidupan sebagai ibu, isteri, dan wanita berkerjaya pada masa yang sama, berkata Puan Alfiah Samingan, Pengerusi HALUANITA pada hari Sabtu, 29 Oktober yang lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Konvensyen turut menyeru hadirin supaya berganding bahu mengajak rakan-rakan dan masyarakat keseluruhannya untuk melaksanakan kebaikan seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat kedua yang bermaksud, “Dan tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan taqwa dan janganlah kalian tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.”

Semasa merasmikan konvensyen tersebut, Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Ustaz Abd Manaf Haji Mat berkata tema Konvensyen Wanita Kebangsaan 2011 iaitu Wanita Pencorak Generasi Pewaris menunjukkan betapa wanita perlu berperanan membina masa depan masyarakat Islam yang progresif dan memiliki daya juang yang tinggi melalui pendidikan mantap generasi pewaris.

Konvensyen Wanita Kebangsaan 2011 telah dianjurkan oleh Biro Haluanita HALUAN dengan kerjasama Masjid Putra di Auditorium Masjid Putra, Putrajaya. Peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, universiti dan juga NGO dari seluruh negara.

Tiga kertas kerja dibentangkan oleh tiga penceramah merangkumi isu penting dan kontemporari berkaitan peranan wanita dalam dunia yang semakin mencabar. Prof. Madya Dr. Asmawati Desa dari UKM telah bercakap mengenai Wanita Penyelamat Ummah, manakala Prof. Dr. Jawiah Dakir dari Institut Islam Hadhari, UKM telah menyampaikan tajuk Ancaman Pendidikan Generasi Pewaris.

“Satu formula penting kepada ibubapa dalam mendidik anak-anak dalam rangka membentuk  generasi pewaris adalah 3T, iaitu Talk, Time & Touch,” merupakan antara petikan menarik yang disampaikan oleh Naib Presiden HALUAN Malaysia, Dr Azizan Ahmad dalam pembentangan bertajuk Peranan Wanita Dalam Pembentukan Jatidiri Generasi Pewaris yang turut membincangkan tentang Generasi Al-Quran dengan merujuk kepada Al-Quran dari Surah Luqman: ayat 13-18.