fbpx

Sambutan Hangat KOBAR 2018 Zon Tengah

Sambutan Hangat KOBAR 2018 Zon Tengah

Sambutan Hangat KOBAR 2018 Zon Tengah

KUALA LUMPUR, 8 Dis 2018 – Lebih 300 orang peserta golongan belia dari IPTA dan IPTS sekitar Kuala Lumpur dan Selangor telah menyertai Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR) di sini hari ini bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang.

Kehadiran istimewa Murabitat Palestin, Ustazah Zeina Amru telah menghangatkan suasana konvensyen apabila beliau secara terus telah membukakan pekung zionis Israel dengan mengisahkan suasana sebenar kehidupan remaja dan dewasa Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Pendedahan beliau itu berjaya membuka minda peserta agar lebih cakna dengan isu Baitulmaqdis.

Tujuan utama konvensyen ini dianjurkan adalah untuk membina kesedaran Islam dalam diri peserta tentang keperluan belia bersiap siaga dalam menghadapi cabaran dan realiti kehidupan masa kini. Selain itu, ia berperanan sebagai memberi pendedahan awal mengenai kerja-kerja kesukarelawanan dan keperluan persiapan dari segi ilmu dan jati diri. HALUAN memang terkenal dengan ciri kesukarelawanan dan misi kemanusiaannya dalam dan luar negara.

Konvensyen ini telah mendapat kerjasama daripada Kelab Belia Dato’ Keramat (KBSDK) dan Persatuan Belia HALUAN Shah Alam (PBHSA). Turut hadir adalah YDP HALUAN cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Encik  Mahyiddin Taat, dan Encik Hasri Ahmad selaku Ketua Biro Pemuda HALUAN.

Mahyiddin mengingatkan para peserta tentang pesanan Imam Hasan Al-Banna agar belia mulai bergerak dengan penuh konsentrasi untuk mencurahkan segala kemampuan, kecerdikan dan pengaruh dengan sentiasa memohon pertolongan Allah SWT.

_
Laporan Nur Afiqah Mohd Yusof,
Setiausaha KOBAR Zon Tengah 2018