fbpx

Salam Dari Perantauan, Ibrah Yang Sangat Bermakna

Salam Dari Perantauan, Ibrah Yang Sangat Bermakna

Salam Dari Perantauan, Ibrah Yang Sangat Bermakna

Alhamdulillah, Allah izin berkampung di New Zealand ini banyak mengajar saya. Daripada budaya, suasana dan orang-orangnya, semuanya memberi ibrah yang sangat bermakna dalam hidup ini.

Memang tidak dinafikan kadang kala saya jatuh tersungkur dan menangis kerana tidak mampu menampung tekanan tekanan luaran semasa berada di sini, tapi benarlah firmanNya:

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (29:69)

Berada di negara yang hampir seluruh populasinya adalah atheis kadang kala menyebabkan kita berasa rendah diri dengan apa yang ada pada kita. Mereka menganggap mereka hebat dengan hasil tangan dan kerja keras mereka. Dan memandang enteng kepada kami yang bertuhan, terutamanya Muslim. Pernah sekali kawan kawan saya bertanya:

“Why do you have to cover yourself? Don’t you think it is gender discrimination?”

“Why do you have to pray? God is busy with other stuff, doesn’t he?”

“Do you believe in God? I don’t. I just believe in Him for fun.”

Dan berbagai bagai pertanyaan lagi. Pada ketika inilah saya sangat tersentuh dengan sabda Rasul SAW:

“Islam itu datang dalam keadaan dagang, dan akan kembali dagang sebagaimana ianya bermula. Dan beruntunglah orang orang yang dagang (yang masih berpegang teguh dengan Islam)” H.R Muslim

Memang saya sebelum ini tidak ambil pusing sangat tentang hadith ini kerana kurang pendedahan dengan masyarakat luar. Tetapi bila dihantar ke bumi Kiwi ini, diri ini rasa sangat terpencil dan hati bermujahadah untuk merasa ‘izzah dengan Islam yang kita tampilkan. Saya terfikir, bagaimana Rasulullah berusaha untuk menyampaikan Islam pada masyarakat jahiliah pada ketika itu dengan berani, tabah dan sabar. Saya belum lagi menyampaikan Islam kepada masyarakat dengan lisan, tetapi hanya perlu berusaha untuk menampilkan Islam yang terbaik kepada mereka. Tetapi itupun kadang kala rasa takut.

Saya teringat firmanNya,
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti dengan gangguan gangguan kecil. Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan. (3: 110-111)

FirmanNya memujuk saya untuk sentiasa rasa bahawa kitalah yang lebih baik daripada mereka, dan berusaha untuk memberi contoh yang terbaik kepada mereka. Memang kadang kala gangguan-gangguan kecil yang saya terima daripada mereka sering sahaja membuat saya berasa takut tetapi apabila saya ingat yang Allah itu sentiasa menjaga hamba-hambaNya, saya berasa kuat semula.

Saya teringat semasa saya dan kawan kawan serumah dalam perjalanan pulang dari perpustakaan university. Kereta yang kami naiki tiba-tiba dibaling dengan botol arak. Waktu itu hanya Allah yang tahu betapa takut dan gementarnya kami di dalam kereta. Selepas itu teman saya yang memandu kereta terus memecut laju meninggalkan mereka yang cuba menakut-nakutkan kami.

Pada ketika lain, sewaktu saya bersama seorang teman dalam perjalanan ke rumah, tiba tiba ada dua orang remaja Kiwi mengejar kami. “Islam is terrorist!” teriak mereka sambil berlari ke arah kami berdua. Saya dan teman berlari selaju mungkin untuk mengelak daripada mereka. Dan Alhamdulillah, dengan pertolonganNya kami terselamat daripada gangguan mereka.

Saya sentiasa rasa, ketetapan Allah dalam meletakkan saya di bumi Maori ini adalah untuk menjadikan saya hamba yang lebih dekat denganNya dan lebih bergantung kepadaNya. Serta lebih kuat dan lebih tabah dalam memperjuangkan Islam dalam diri dan juga di mana saya berada. Keberadaan saya di sini banyak mengajar saya untuk sentiasa bersangka baik kepadaNya dan menjadikan Al-Khaliq itu nombor satu dalam hidup ini.

Memang berseorangan tanpa teman sefikrah dan jauh daripada suasana yang soleh seringkali membuatkan kita lemah dan rasa jauh daripadaNya. Tetapi firmanNya dalam Al Mulk sangat menyentuh hati saya.

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya! (67:14)

Ya, kerana Dia Maha Tahu keberadaan saya di sini akan meningkatkan lagi tarbiah dzatiyah (diri) saya di sini. Mendidik saya untuk sentiasa membaiki diri dan sentiasa merujuk kepadaNya. Insha Allah, keberadaan anda, walau di mana sahaja, pasti ada hikmah yang tidak ternilai dariNya untuk dihadiahkan kepada kita. Berusahalah untuk istiqamah dengan amal Islami dan cubalah untuk membina Islam di tempat anda.

Akhir kalam, moga Allah sentiasa lapangkan hati kita dan membantu segala urusan kita insha Allah. Moga segala amal kita yang penuh kekurangan dan sedikit ini diterimaNya.

Wallahu a’lam.

Wassalam

Yang berhajat kepada doa anda semua,

Siti Farah Lokman
3rd year student at Massey University, New Zealand
Majoring in Electronics and Computer System Engineering