fbpx

Sabah Mahu Gembleng Syabab Dinamis

Sabah Mahu Gembleng Syabab Dinamis

Sabah Mahu Gembleng Syabab Dinamis

JITRA, KEDAH, 30 Apr 2017 – Kedudukan yang jauh tidak menjadi penghalang kepada perwakilan HALUAN Sabah untuk turut serta di Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN ke-28 pada kali ini.

Penglibatan yang membanggakan ini merupakan kali yang ke-3 bagi negeri tersebut. Mereka yang terdiri daripada lima orang perwakilan dan seorang pemerhati itu menghadiri MTP tersebut dari 28 hingga 30 April di Politeknik Sultan Abdul Halim di sini.

“Perjalanan urusan MTP tahun ini terlihat lancar dan sangat tersusun,” menurut Setiausaha HALUAN Sabah, Encik Abdul Rahman Beddu. Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan adanya penyertaan perwakilan, pemerhati dan peserta dari setiap negeri yang semakin ramai daripada tahun-tahun sebelumnya.

Perkara yang paling membanggakan baginya ialah disiplin hadirin yang tinggi di dalam dewan ketika program berlangsung. Peserta memberikan kerjasama yang baik untuk tidak keluar dan masuk ke dewan melainkan untuk urusan yang tertentu dan penting sahaja. Fokus peserta lebih banyak tertumpu kepada perjalanan dan pengisian program yang telah disusun, katanya semasa ditemubual oleh mediaHALUAN di hari terakhir mesyuarat.

Beliau juga telah membawa agenda negeri Sabah untuk dikongsikan bersama perwakilan dan ahli-ahlinya yang hadir. Antaranya, beliau menekankan tentang gerak kerja dakwah kepada masyarakat Islam yang sedia ada di Sabah.

“Segala usaha kami di sana perlu dipertingkatkan dan diperluaskan lagi. Ini kerana kebanyakan mereka, terutamanya yang berada di luar bandar, amat cetek di segi kefahaman agama. Namun, saya turut terasa sedikit bimbang dalam merealisasikan agenda ini kerana kurangnya tenaga kerja daripada kalangan syabab. Ini saya bandingkan dengan keluasan penempatan masyarakat Islam yang ada di negeri Sabah sekarang. Selain itu, dengan keterbatasan penggerak, telah menyebabkan gerak kerja hanya tertumpu di bahagian Pantai Timur Sabah,” keluh Encik Abdul Rahman, sambil berharap HALUAN Pusat akan memberikan lebih perhatian kepada isu di Sabah.

Dalam perbahasan dan tambahan bagi temubual tersebut, beliau menyatakan sokongan padu HALUAN Sabah berkenaan saranan agar sesebuah institusi itu perlu kemas luaran dan dalamannya. Antara kekemasan dalaman yang ditekankan adalah dengan adanya kekemasan tarbiyah pada semua anggota, baik apa pun tahap pangkat mereka. Peranan syabab perlu digembleng dengan mantap dengan cara sentiasa membantu dan memberi peluang kepada mereka untuk bekerja di kelompok masyarakat awam.

Beliau berharap NGO HALUAN akan terus memperkukuhkan organisasi yang ada dengan mengetengahkan tenaga-tenaga muda khususnya dari Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) yang merupakan pusat IPT dokongan HALUAN. Katanya lagi, HALUAN Sabah sendiri sudah pun menghasilkan dua orang pemuda lepasan KTD yang dididik untuk bekerjasama dengan kepimpinan yang sedia ada, yang majoritinya berumur 40-an ke atas.

Untuk itu, beliau meletakkan harapan yang cukup besar buat kepimpinan HALUAN Sabah agar dalam tiga ke empat tahun mendatang, akan lahirlah tenaga-tenaga syabab KTD yang telah dibawa dari negeri di bawah bayu itu untuk pulang berbakti di negerinya sendiri.

Bagi merealisasikannya, kepimpinan HALUAN Sabah sendiri sentiasa membuat pemantauan terhadap prestasi dan perkembangan pendidikan anak-anak Sabah sepanjang mereka belajar di KTD.

Laporan Nurulhusna Hamid
Wartawan mediaHALUAN