fbpx

Saad bin Amir al-Jumahi

Saad bin Amir al-Jumahi

Saad bin Amir al-Jumahi memeluk Islam sebelum kejatuhan Khaibar iaitu pada bulan Safar, 7 Hijrah. Di kalangan sahabat namanya tidak terlalu menonjol. Namun begitu sejarah kehidupan Saad penuh dengan contoh teladan. Beberapa kejadian dalam kehidupan Saad dapat mengungkapkan mengenai ketinggian peribadinya. Dalam aspek kepimpinan adalah yang paling menonjol. Sebagai pemimpin umat beliau memiliki beberapa sifat yang terpuji.

Pertama, Saad tidak memandang jawatan sebagai harta perhiasan dunia yang perlu dikejar serta dibanggakan. Sewaktu Umar bin Khattab menjadi khalifah, Saad dilantik sebagai Gabenor Homs. Sejak awal lagi, dia keberatan untuk menerima perlantikan itu. Katanya kepada Amirul Mukminin, “Janganlah saya dihadapkan kepada fitnah!”. Mendengar jawapan itu Umar berkata, “Tidak, demi Allah aku tidak mahu melepaskan kamu! Apakah kamu hendak membebankan amanah dan khilafah di atas bahuku, kemudian kamu meninggalkan aku?”. Akhirnya dengan rasa berat dia menerima juga perlantikan itu.

Kedua, tanggungjawab terhadap amanah merupakan sifat yang dijunjung tinggi oleh Saad. Dengan itu dia berupaya mengerahkan segala kemampuannya sebaik mungkin, termasuk kewangan. Dia beusaha pula mengendali serta menjelaskan sikapnya kepada isterinya. Sebaik saja perlantikan dibuat, Saad dan isterinya berangkat ke Kota Homs. Khalifah membekalkannya wang secukupnya serta keperluan hidupnya yang lain.
Suatu ketika apabila kedudukan Saad telah agak kukuh, isterinya mengemukakan satu permintaan. Dia ingin membeli pakaian, perabot rumah tangga menggunakan sebahagian harta yang dikumpulkan. Melihat keinginan isterinya itu, Saad berkata “Mahukah aku tunjukkan yang lebih baik daripada rancanganmu itu? Kita berada di satu negeri yang sangat pesat dengan urusan jual beli yang menguntungkan. Lebih baik kita serahkan harta kita sehingga keuntungan yang besar akan selalu kita perolehi!”.

Mendengar janji yang sangat menarik itu, isterinya menerima cadangan itu dan menyerahkan wang kepada Saad. Waktu terus berlalu. Setiap kali si isteri bertanya mengenai wang simpanannya, Saad menyatakan keadaannya baik dan berjalan lancar. Bahkan urusniaga dari sehari ke sehari semakin bertambah dan banyak keuntungan yang diperolehi. Kerana Saad selalu memberi jawapan demikian, pada satu hari isterinya bertanya kepada salah seorang sahabat yang mengetahui kedudukan hal yang sebenar. Setelah didesak, akhirnya sahabat itu memberitahu bahawa Saad telah menginfaqkan hartanya di jalan Allah SWT.

Mendengar itu, berlinanglah air mata si isteri kerana Saad telah mengurangkan modal untuk ‘perniagaan’ tersebut dan dia tidak mungkin akan ‘mendapat semula’ wang itu. Melihatkan kekecewaan isterinya, Saad berkata, “Bukankah kamu tahu bahawa di dalam syurga itu terdapat banyak gadis cantik bermata jeli hingga seandainya seorang saja di antara mereka menampakkan wajahnya di muka bumi ini maka akan terang benderanglah seluruh permukaannya dan tentulah cahayanya akan mengalahkan sinar matahari dan bulan. Oleh itu mengorbankan dirimu demi mendapatkan mereka tentu lebih wajar dan lebih utama daripada mengorbankan mereka untuk mendapatkan dirimu”.

Ketiga, Saad bukanlah jenis pegawai yang menafkahkan hartanya sekadar sebagai simbolik sedangkan sebenarnya dia berupaya mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya. Pengorbanannya sebagai seorang pemimpin begitu besar dan harga dirinya begitu tinggi sehingga Umar sendiri pun terkejut mendengar mengenai kehidupan runah tangga Saad.
Suatu ketika Umar mengirim wakil ke Homs untuk meninjau keadaan pemerintahan di sana. Ketika wakil itu kembali ke Madinah, Umar meminta senarai penduduk Homs yang tergolong dalam kategori fakir miskin. Sewaktu Umar meneliti laporan itu, dia ternampak nama Saad dimasukkan sebagai orang yang perlu mendapat bantuan kerana kemiskinannya. Umar bertanya kepada wakil itu, “Betulkah gabenor kamu ini miskin?”. Jawab mereka, “Benar, ya Amirul Mukminin. Demi Allah di rumahnya selalu tidak kelihatan tanda-tanda api menyala (tidak memasak)!”.

Mendengar jawapan itu, menitislah air mata Umar. Dia menyuruh wakilnya menyerahkan uncang berisi wang untuk bekal kehidupan Saad. Saad bin Amir al-Jumahi

Sewaktu menerima kiriman daripada Umar itu, Saad mengucapkan, “Innalillahi wa inna ilaihi roji’un!”. Dia terus memanggil isterinya dan mengarahkannya supaya membahagikan wang itu kepada fakir miskin.

Keempat, Saad sentiasa bersifat berlapang dada terhadap pelbagai kritikan yang datang daripada rakyatnya. Sebenarnya memang sebelum kedatangan Saad pun, penduduk Homs sudah terkenal sebagai golongan yang banyak menuntut itu dan ini. Homs pada ketika itu dikenali sebagai Kuwaifah (Kufah kecil) kerana penduduknya yang mirip dengan orang Kufah, iaitu senang melapor kepada pemerintah pusat akan kelemahan yang dianggap ada pada gabenor mereka.

Suatu ketika Umar datang ke Homs. Kesempatan itu digunakannya untuk mendapatkan pandangan rakyatnya. Dalam satu majlis dia mempersilakan rakyat menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin mereka. Tanpa berselindung sedikit pun mereka mengemukakan empat rungutan kepada khalifah iaitu (1) gabenor baru keluar dari rumah setelah matahari tinggi, (2) tidak bersedia melayani rakyat pada malam hari, (3) dalam sebulan ada sehari tidak datang ke pejabat sehari penuh dan (4) kadangkala gabenor jatuh pengsan di hadapan umum.

Umar menerima kritikan itu dan kemudian mempersilakan Saad mengajukan pembelaannya. Saad berkata, “Mengenai tuduhan mereka bahawa saya tidak hendak keluar sebelum matahari tinggi, maka demi Allah, sebetulnya saya tidak hendak menyebutkannya…keluarga kami tidak memiliki pembantu. Oleh itu setiap pagi terpaksa saya membantu membuat adunan roti terlebih dahulu untuk keluarga saya. Sesudah adunan itu siap dimasak, barulah saya buat roti. Kemudian saya berwuduk untuk solat Dhuha. Sesudah itu saya berangkat ke tempat bertugas.”
Mengenai kritikan kedua, saya telah membahagi waktu saya. Siang hari untuk melayani masyarakat dan malam hari untuk bertaqarrub ilallah.

Mengenai kritikan ketiga, seperti yang telah saya terangkan tadi, saya tidak mempunyai pelayan atau pembantu rumah tangga. Di samping itu saya hanya memiliki pakaian yang melekat di badan ini. Saya mencucinya sebulan sekali. Bila mencucinya saya menunggu kering terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya dapat pergi melayani masyarakat.

Tentang kritikan keempat, ketika saya masih jahiliah saya pernah menyaksikan almarhum Khubaib bin Adi dihukum oleh kaum Quraisy yang kafir. Saya menyaksikan tubuhnya dicincang oleh orang Quraisy. Mereka bawa tubuh itu dengan tandu sambil bertanya kepada Khubaib, ‘Mahukah tempatmu ini diisi oleh Muhammad sebagai gantimu, sedang kamu berada dalam keadaan sihat wal afiat?’ Jawab Khubaib, ‘Demi Allah, saya tidak ingin berada dalam lingkungan anak isteriku diliputi keselamatan dan kesenangan dunia manakala Rasulullah SAW ditimpa bencana walau oleh tusukan duri sekalipun…’

“Setiap kali saya terkenang peristiwa itu tubuh saya gementar kerana takut akan siksa Allah dan saya berasa berdosa kerana pada waktu itu saya tidak dapat membantu Khubaib sedikit pun. Dan saya berasa dosa saya tidak akan diampuni Allah SWT…!”

Saad mengakhiri kata-katanya dengan titisan air mata di kedua belah pipinya. Mendengar alasan Saad itu, Umar pun tidak dapat menahan rasa terharunya. Di peluknya gabenor itu sambil berkata, “Alhamdulillah kerana dengan taufiq-Nya firasatku tidak meleset”.