fbpx

Rumah HALUAN Barakah Diserah

Rumah HALUAN Barakah Diserah

Rumah HALUAN Barakah Diserah

PIDIE JAYA, ACEH, 22 Jan 2017 — Pasukan ke-empat HALUAN yang berlepas ke Aceh dalam Misi Kemanusiaan Gempabumi Aceh telah menunaikan hajat para penderma rakyat Malaysia dengan penyerahan rasmi Rumah HALUAN Barakah kepada mangsa gempa.

Seramai 20 keluarga miskin dan dhaif telah dibantu dalam pembinaan rumah sementara tersebut. Sebelas buah rumah didirikan sepenuhnya berukuran 5m x 6m yg diperbuat daripada tiang kayu terpakai atau buluh besar, atap rumbia dan berdindingkan anyaman buluh. Sementara sebahagian penerima lagi menerima bantuan seperti atap atau dinding anyaman buluh.

Penasihat HALUAN, Ustaz Abdul Hadi Osman dan Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Baharudin Suri telah melakukan penyerahan simbolik lima buah rumah sementara tersebut kepada lima keluarga yang mewakili kesemua penerima bantuan perumahan, hasil derma masyarakat Malaysia yang prihatin.

Salah seorang penerima bantuan, Encik Ibrahim dan isteri beliau mengucapkan terima kasih mereka kepada rakyat Malaysia yang telah menyumbang melalui HALUAN untuk membolehkan mereka sekeluarga berteduh di rumah sementara yang lebih selesa berbanding tinggal dalam khemah.

Seorang penerima lain bernama Encik Husaini adalah keluarga petani miskin dengan dua anak kecil. “Saya dan isteri bersyukur kepada Allah, dengan sumbangan ini kami sekeluarga dapat berlindung dari panas dan hujan,” katanya kepada pasukan sukarelawan HALUAN.

Ibu tunggal Puan Halimah yang sering sakit dan rumah beliau yang runtuh akibat gempa mengalirkan air mata ketika menerima Rumah HALUAN Barakah. Beliau juga mengucapkan syukur dan terima kasih atas sumbangan rakyat Malaysia ini.

InsyaAllah, para relawan HALUAN di Aceh akan terus menziarahi serta memantau kebajikan penerima-penerima Rumah HALUAN Barakah di Pidie Jaya ini.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun di bawah:-

Nama Akaun: Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No.: 5622 6350 2611
Bank: Maybank

Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Acheh] ke unit.kewangan@haluan.org.my


Laporan oleh Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan