fbpx

Rugi Siapa Tak Sertai JDK

Rugi Siapa Tak Sertai JDK

Rugi Siapa Tak Sertai JDK

SEMPORNA, 15 Dis 2013 — HALUAN Cawangan Sabah dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Semporna, SMK Datuk Panglima Abdullah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Alumni Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) telah berjaya menganjurkan Kursus Jati Diri Dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) kali ke-3 untuk zon Sabah selama seminggu bermula 9 hingga 15 Disember 2013.

Kursus yang sangat bermanfaat ini telah diadakan di SMK Datuk Panglima Abdullah, Semporna, Sabah disertai 75 orang peserta lepasan SPM 2013. Sepanjang tujuh hari berkampung di sini, peserta telah didedahkan dengan tiga modul utama JDK iaitu Modul Anjakan Paradigma, Modul Kemahiran Kepimpinan Masyarakat, dan Modul Khidmat Masyarakat.

Menurut Pengarah kursus ini, Cikgu Mohd Ahad Abdul Laja, bilangan penyertaan JDK 2013 telah meningkat berbanding tahun sebelumnya di samping komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak dalam memastikan kelancaran kursus tersebut. Gabungan sinergi antara pihak HALUAN Cawangan Sabah, pihak Pejabat Pelajaran Daerah Semporna, para penceramah, jurulatih yang berpengalaman serta para fasilitator daripada Alumni KTD telah menjadikan kursus ini sangat berkesan untuk para peserta.

Rata-rata para peserta sangat gembira dan menyatakan kepuasan mereka dapat menyertai kursus ini.

Antara pengalaman yang ditimba oleh peserta ialah program gotong-royong membersihkan Perkuburan Islam Kampung Kebun Bunga, Batu 1 Semporna bersama penduduk setempat yang telah memberikan peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat sekaligus memupuk sifat bantu-membantu dan tolong-menolong sesama insan.

Selain itu, mereka juga telah diberikan peluang mengasah bakat terpendam mereka melalui program Malam Kebudayaan berasaskan penghayatan mereka terhadap pengisian modul-modul kursus. Ia memberikan gambaran terhadap kreativiti mereka dalam menghubungkan ilmu yang diperolehi dalam bentuk persembahan yang menarik dan mudah difahami oleh rakan-rakan mereka sendiri.

Majlis Perasmian Penutup JDK Zon Sabah telah disempurnakan oleh Encik Raduan Abdul Rahman, Pegawai Pendidikan Daerah Semporna. Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak HALUAN Cawangan Sabah yang bertungkus-lumus menjayakan program yang sangat berguna ini khususnya untuk para remaja. Harapan beliau adalah agar kursus ini diteruskan di masa depan.
Laporan

Cikgu Mohammad Ahad Abdul Laja, Pengarah Kursus JDK Zon Sabah 2013