fbpx

RISE Utara Lancar Kelas Mualaf

RISE Utara Lancar Kelas Mualaf

RISE Utara Lancar Kelas Mualaf

RISE0PARIT BUNTAR, PERAK, 20 Sept 2014 – Baru ditubuhkan pada bulan Disember tahun lepas, Reverts and Islam Information Centre (RISE) zon Utara di sini telah pun aktif menjalankan kelas-kelas pengajian asas Islam secara percuma untuk mualaf dan mereka yang belum Islam di pusatnya yang terletak di Jalan Maharaja, Parit Buntar berhadapan pasar besar.

RISE di bawah pentadbiran Kelab HALUAN Fitrah (KHF) ini adalah yang pertama ditubuhkan untuk menyantuni masyarakat awam yang ingin mengenali Islam secara lebih dekat. Tidak terhad kepada mualaf saja, RISE membuka pintunya kepada sesiapa saja termasuk kelompok bukan Islam untuk datang bertanya berkenaan Islam.

“Kami di RISE Utara telah memulakan kelas pengajian asas al-Quran dan ilmu tauhid bagi saudara baru sejak sebulan yang lepas mulai 15 Ogos. Alhamdulillah, sambutan semakin meningkat dan kami berusaha memberi yang terbaik. Kelas ini pada mulanya berlangsung pada setiap hari Jumaat sahaja dan hanya tertumpu kepada pengajian asas bacaan al-Quran. Kemudian kami tambahkan lagi dengan pengajian asas ilmu tauhid setiap hari Isnin dan Jumaat,” berkata pengurus dan guru RISE utara, Encik Ubaidillah Mohd Khair.

Kelas di pusat berkenaan berlangsung antara pukul 8.30 sehingga 10.00 malam. Buat masa ini, seramai 10 orang saudara baru mengikuti kelas tersebut terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur. RISE merangka silibusnya sendiri yang berlandaskan kandungan ilmu am aliran ahlul sunnah wal-jamaah seperti yang disarankan oleh Majlis Agama Islam Perak, merangkumi subjek fikah, tauhid, akhlak, sirah dan asas-asas al-Quran.

“Kami mengendalikan kelas-kelas percuma ini dengan sendiri menggunakan tenaga relawan terdiri daripada para ustaz dan guru. Kelas ini dibina atas ihsan ahli-ahli HALUAN dan para dermawan dan direka untuk keselesaan semua yang hadir. Kami menjemput para ustaz dan ustazah di sekitar sini untuk sama-sama membantu kami mendidik para mualaf ini. Dan guru-gurunya pun tidak berbayar melainkan mengharap ganjaran daripada Allah SWT,” tambah beliau.

Menurut Pengerusi KHF, Dr Jamaludin James Laeng Abdullah, RISE Utara menjadi pemangkin dalam usaha mempersembahkan Islam kepada kelompok non-Muslim di zon utara terutamanya di Perak dan Pulau Pinang. Dengan terujudnya pusat ini, segala aktiviti penerangan mengenai Islam dapat dipusatkan serta para mualaf dan prospek Muslim mudah mendapat sebuah pusat rujukan untuk mereka mendalami ilmu tentang Islam.

“InsyaAllah, dalam masa terdekat kami akan melancarkan RISE kedua iaitu untuk zon Tengah terletak di negeri Selangor. Kami akan menyesuaikan silibus setiap zon dengan kehendak pihak berkuasa agama di negeri berkenaan. Yang penting, pelajar kami mendapat akses kepada ilmu yang benar dan diredhai Allah,” tegas beliau kepada mediaHALUAN. Dr Jamaludin adalah seorang mualaf bekas penganut Katolik suatu masa dahulu.

RISE Utara terletak di atas Kedai Buku Marwans di alamat No. 31 Jln Maharaja, Pusat Bandar, 34200 Parit Buntar. Mereka mengalu-alukan sebarang sumbangan kewangan mahupun bahan bacaan seperti buku Iqra’, buku panduan dan rujukan agama serta terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris, Cina, Tamil, Kemboja dan sebagainya. Sebarang pertanyaan dan derma bolehlah disalurkan kepada pengurusnya merangkap Setiausaha Kerja KHF, Encik Ubaidillah Mohd Khair di talian 013- 528 8806.

Laporan Unit Media
Kelab HALUAN Fitrah