fbpx

RISE Utara Anjur Khitan Mualaf

RISE Utara Anjur Khitan Mualaf

RISE Utara Anjur Khitan Mualaf

PARIT BUNTAR, PERAK, 13 Dis 2014 – Satu program ceramah kesihatan dan sunnah berkhitan untuk golongan mualaf serta anak yatim telah dianjurkan oleh Kelab HALUAN Fitrah (KHF) melalui pusat bimbingan saudara baru dan informasi Islam ‘Reverts & Islam Information Center (RISE)’ di sini.

Program ini yang julung kali diadakan seusia setahun jagung RISE adalah dengan kerjasama Masjid Ar-Ridzuan dan Kedai Buku Marwans. Seramai 13 peserta telah selamat dikhitankan dengan mendapat sokongan khidmat doktor-doktor dan paramedik daripada Kelab Kesihatan HALUAN zon utara.

Program bermula dengan ceramah kesihatan tentang tips pemakanan sihat oleh Dr. Kursiah Mohd. Razali daripada KKH yang juga seorang Pakar Opthalmologi, Hospital Ipoh, diikuti dengan ceramah tentang amalan berkhitan oleh penceramah jemputan, Ustaz Abu Bakar Abu Othman, seorang guru agama di SMKA Rajalob Tanjung Piandang.

Seterusnya, program berkhitan dijalankan dengan penyertaan daripadakalangan saudara baru dan anak yatim. Proses berkhitan dilaksanakan oleh Dr. Ismail bin Ibrahim dari Klinik Dr. Ismail, Parit, Perak dengan dibantu oleh pasukannya.

Peserta diberikan kain pelikat setiap seorang dan mereka rata-ratanya teruja tidak sabar menanti giliran untuk dikhitankan. Peserta kali ini berumur semuda 4 tahun sehingga 30 tahun. Kehadiran dua beradik yatim piatu, Aiman dan Aimi Hafifi, yang baru kehilangan ibu mereka tiga bulan lepas setelah kehilangan ayah mereka lima tahun lepas, meruntun hati para petugas dan hadirin dengan gelagat ceria mereka yang penuh teruja setelah dipakaikan kain pelikat.

RISE tersentuh dengan nasib adik-beradik ini yang kini dalam jagaan nenek mereka yang sudah lanjut usia. Adik-beradik ini juga mendapat perhatian PERKIM Parit Buntar yang juga bekerjasama menghantar mereka ke program ini.

RISE sebagai penganjur sempat juga menyampaikan cenderahati dan buah tangan kepada AJK Masjid Ar-Ridzuan sebagai tanda persahabatan dan terima kasih di atas jalinan kerjasama yang diberikan. Program ini adalah kali kedua RISE bekerjasama dengan masjid berkenaan setelah sesi ceramah Perbandingan Agama pada bulan Oktober lalu.

Kesemua 13 peserta selesai dikhatankan pada kira-kira jam 4.30 petang. Ibu bapa dan ahli keluarga yang hadir menyatakan terima kasih dan gembira kerana semuanya berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah. Peserta khitan juga diberikan ‘goodies bag’ khas daripada RISE.

Hadirin turut diraikan dengan jamuan makan sejurus selesai sesi ceramah dengan menu istimewa nasi arab kambing. Para petugas dan hadirin sempat beramah mesra ketika sesi makan ini. Pihak penganjur teruja dengan kehadiran pihak media Utusan Malaysia lengkap dengan peralatan kamera yang berminat untuk membuat liputan. Komen Encik Malik Asri, wakil media Utusan Malaysia yang hadir, “program seperti ini jarang sekali diadakan, program berkhitan untuk mualaf seperti ini adalah sesuatu yang istimewa dan wajar diadakan setiap tahun”.

Laporan Dr Jamaludin James Laeng Abdullah, RISE zon utara