fbpx

RISE Bersiaga Untuk Latihan JDK

RISE Bersiaga Untuk Latihan JDK

RISE Bersiaga Untuk Latihan JDK

khf-01SUBANG, 10 Dis 2014 – HALUAN Reverts and Islam Information Centre (RISE) cawangan zon Wilayah Tengah telah melancarkan latihan penceramah (Training of Trainers – ToT) daripada kalangan ahli-ahli Kelab HALUAN Fitrah (KHF) seluruh negara bagi menjayakan slot KHF di kesemua empat lokasi kursus Jatidiri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2014.

Diketuai oleh pengerusi KHF, Dr Jamaludin James Laeng Abdullah, latihan dihadiri hampir 20 orang bakal penceramah KHF yang akan membantu menerangkan kefahaman agama-agama besar di Malaysia dan bagaimana menceritakan Islam kepada rakan sekampus mereka yang belum Islam. Hampir 400 peserta lepasan SPM 2014 kini sedang mengikuti kursus intensif tiga minggu JDK di pusat-pusat di Perlis, Kelantan, Selangor dan Johor.

“Ramai lagi bakal penceramah kami yang tidak dapat sertai ToT ini kerana kekangan kerja dan tugasan HALUAN di tempat mereka masing-masing. Namun pada hari tugasan slot KHF nanti, mereka akan turun beramai-ramai membantu menjayakan slot kami yang memakan masa selama satu hari setengah itu. Dan inilah kali keenam kami bersama HALUAN memberi input dalam mendidik bakal-bakal mahasiswa ini menelusuri dakwah kepada bakal Muslim di kampus,” jelas beliau kepada wartawan HALUAN di lokasi.

Menurut ketua KHF untuk JDK, Encik Mohd Nazri Ngadinin, KHF akan beraksi di empat lokasi tersebut pada 19-20 Disember di Johor; 20-21 Disember di Perlis; 21-22 Disember di Kelantan; dan 24-25 Disember di Selangor.

Naib pengerusi KHF Pusat, Encik Wan Mohd Rafi Wan Husin, menambah bahawa seperti lazimnya sejak JDK diperkenalkan lima tahun lalu, KHF sentiasa melaksanakan persiapan latihannya dengan menggunakan modul ciptaannya sendiri yang sering diperbaiki untuk memastikan keberkesanan mesej dakwah dalam kampus sampai kepada anak-anak muda berkenaan.

“Cabaran kami tahun 2014 ini adalah menyediakan penceramah serta fasilitator yang mencukupi. Untuk modul kami, fasilitator kalangan KHF juga perlu menguasai ilmu asas muqaranah al-adyan sebelum boleh membantu program kami ini. Alhamdulillah buat masa ini, semakin ramai relawan HALUAN sudah dapat kami latihkan dalam bidang perbandingan agama dengan lebih memahami teknik dan selok-belok mendekati non-Muslims di kampus agar mesej apa itu Islam sampai ke sasaran,” katanya lagi.

Dr Jamaludin menambah bahawa antara cabaran terbaru adalah untuk mempelajari cara menambat hati para peserta di setiap pusat yang kini sudah mencecah purata 100 orang setiap satu. “Bila bilangannya ramai, agak sukar untuk kami kawali dan mendapatkan fokus mereka. Namun saya yakin bahan sediaan kami akan cukup memukau mereka dalam bidang yang belum pernah mereka dengari sebelum ini. Cabaran tambahan adalah bagaimana menjawab isu-isu semasa yang timbul dalam masyarakat dalam dan luar negara yang melibatkan sensitiviti budaya, kaum dan agama. Sebab itu kami di KHF ujudkan think-tank kami sendiri di bawah Biro Dakwah dan Outreach di bawah kepimpinan Ustaz Wan Mohd Nahar Othman,” katanya lagi.

RISE induk di Subang Perdana merupakan pusat kedua seumpamanya yang ditubuhkan oleh HALUAN selepas yang pertama tertubuh di Parit Buntar, Perak lewat tahun lepas. Dengan tertubuhnya induk di bandar itu, KHF berhasrat menubuhkan pusat-pusat didikan mualaf dan non-Muslim tersebut di seluruh negara menjelang hujung tahun hadapan, termasuk di Kelantan, Perlis dan Negeri Sembilan.

Menurut Dr Jamaludin, RISE adalah pusat setempat untuk menyantuni pertanyaan berkenaan Islam daripada non-Muslims dan para mualaf serta tempat untuk mereka mendapat pendidikan sebenar asas-asas Islam secara terancang. RISE di Parit Buntar adalah inisiatif segelintir sukarelawan HALUAN di Pulau Pinang dan Perak yang merasa terpanggil untuk berkongsi Islam dengan masyarakat di situ setelah mendapat tahu bahawa ramai para mualaf di sana tidak mendapat bimbingan dan kaunseling agama.

Pusat itu kini giat melaksanakan beberapa program dakwah berupa kelas mingguan untuk melatih mualaf dan bakal Muslim, program berkhitan untuk mualaf dan anak yatim, program forum perbandingan agama dengan masjid dan IPT tempatan, program Street Dakwah di Pulau Pinang, dan pelbagai lagi aktiviti dengan sokongan ahli-ahli jamaah masjid dan surau berdekatan.


Laporan wartawan
Biro Penerangan HALUAN