fbpx

Risau Anak Anda Tidak Bergaji Besar?

Risau Anak Anda Tidak Bergaji Besar?

Risau Anak Anda Tidak Bergaji Besar?

SHAH ALAM, 6 Sept 2015 – Ramai ibu bapa sekarang cukup risau tentang apa yang anak-anak mereka akan jadi apabila besar nanti – adakah doktor, jurutera, pensyarah, ataupun peguam – semua jawatan itu yang bergaji besar-besar belaka.

Tetapi ibu bapa sering lupa dengan satu persoalan lebih penting iaitu apakah anak-anak kita akan menjadi hamba Allah SWT yang taat dan patuh kepada perintahNya kerana itu yang lebih utama sebenarnya sebagai matlamat hidup. Bukan jawatan dan gaji semata-mata. Menurut Encik Rosdi Baharom, seorang pakar kekeluargaan Islam dan mantan Pengurus Hal Ehwal Pelajar (HEP) Kolej Teknologi Darulnaim, ramai di antara kita tahu tentang cara didikan Rasulullah SAW tapi amat jarang sekali kita sebagai ibubapa mempraktikkannya. Beliau berceramah sempena Program Jom Didik Anak Ikut Rasulullah bertempat di Dewan Terbuka, Sekolah Menengah Ibn Khaldun di sini.

Penerangan beliau berjaya menyentuh hati lebih 170 para hadirin yang terdiri daripada ibu bapa dan pekerja Taska Ibn Khaldun, Tadika Tarbawi, Tadika Anak Anak Bestari, Sekolah Ibn Khadun dan Ahli tunas Hospital Al Baraqah. Mereka pulang membawa bekalan yang penuh bermakna selama tiga jam program tersebut berlangsung. Banyak perkara yang boleh diambil iktibar dan dijadikan amalan harian. Mereka juga berpeluang untuk bertanya soalan kepada penceramah jemputan tersebut.

Program tersebut turut disertai pemuda dan pemudi sekitar daerah di Negeri Selangor. Ia dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Ammar Haron, salah seorang tenaga pengajar di Sekolah Ibn Khaldun. Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci Al Quran oleh adik Syed Muhammad Ahmad Syed Abdul Haleem.

Program ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi PIBG Sekolah Ibn Khaldun, Dr. Ahmad Zabidin Zakaria. Beliau mengucapkan syabas kepada penganjur kerana melaksanakan program yang cukup bermanfaat itu, memberi pendedahan mendidik anak-anak mengikut cara Rasulullah SAW yang selama ini kita jarang sekali dapat mendengarnya.

Di penghujung program, majlis diserikan lagi dengan persembahan oleh murid-murid daripada Tadika Tarbawi. Rata-rata peserta yang hadir melahirkan rasa puas hati dengan input-input yang diberikan oleh penceramah. Ramai yang berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi secara berkala di masa hadapan. Sekaligus, program ini membuktikan betapa ramai ibu bapa serta pendidik di luar sana yang sentiasa tercari-cari method serta model terbaik untuk mendidik anak-anak generasi pewaris di masa hadapan.


Laporan oleh Zaneerah Arifin