fbpx

Ride Pray 4Syria Meriah di Empat IPT

Ride Pray 4Syria Meriah di Empat IPT

Ride Pray 4Syria Meriah di Empat IPT

MERBOK, 9 Sept 2013 – Untuk kesekian kalinya, Kumpulan Northern Versys Owners Group (NVOG) telah bekerjasama dengan HALUAN Malaysia untuk menjayakan usaha kebajikan. Kali ini sasaran mereka merupakan Program Ride Pray For Syria (RP4S) yang bertujuan untuk mengutip derma bgi membantu mangsa peperangan saudara di Syria.

Program ini dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia sambil mengumpul dana untuk rakyat Syria melalui aktiviti bermotor kumpulan peminat motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Versys itu. Empat insititusi pendidikan tinggi di utara Semenanjung Malaysia dilibatkan dalam program murni ini iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Merbok di Kedah, UNiKL Kulim, ADTEC Mahang dan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.

Program jelajah bermotosikal ini bermula dari UiTM Merbok pada 9 November, diikuti dengan UNiKL Kulim pada 7 November, kemudian di AdTech Mahang pada 9 November, seterusnya di UUM Sintok pada 30 November, dan penutupnya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Di UiTM Merbok, lebih 1,500 pelajar dan kakitangannya serta ahli-ahli HALUAN Cawangan Kedah telah berkumpul di Dewan Besar UiTM Merbok bagi menyambut kedatangan lebih 150 peserta bermotosikal itu.

Majlis bermula dengan solat Isyak berjamaah dan diikuti dengan solat hajat beramai-ramai di Dewan Besar UiTM berimamkan Syeikh Ahmad Jakmiri dari Syria, seorang penuntut di Al-Madinah International University, Shah Alam yang didatangkan khas oleh HALUAN Malaysia.

Majlis Perasmian dan Pelancaran Tabung Program RP4S telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Kampus Merbok, Dr Asmadi Mohammed Ghazali. Sebanyak sembilan buah tabung telah diserahkan kepada wakil-wakil IPT yang hadir. Dr Asmadi berharap program seumpama itu akan dapat memberikan kesedaran kepada seluruh masyarakat kampus UiTM Merbok khususnya dan seluruh masyarakat Malaysia amnya untuk sama-sama merasai kesusahan dan kesengsaraan rakyat Syria dengan turut sama memberikan sumbangan bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Di samping itu, tayangan Video “Prihatin Syria” yang dipertontonkan kepada hadirin telah mendapat reaksi yang positif.

Majlis diteruskan dengan sesi Wacana Ilmiah bersama Syeikh Ahmad Jakmiri, dipengerusikan oleh Presiden Mahasiswa UiTM Merbok dan diterjemahkan oleh Ustaz Marwansyah Ismail.

Kutipan sumbangan sebanyak RM6,402 telah diserahkan kepada pihak HALUAN untuk disalurkan ke Tabung Kebajikan & Kemanusiaannya.

Ketrampilan NVOG tidak terhenti di situ sahaja. NVOG terus beraksi pula dengan HALUAN Malaysia dan UUM dengan melancarkan RP4S bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-26 UUM di Padang Kawad universiti tersebut pada 30 November lepas.

Lebih 40 buah motosikal berkuasa tinggi telah memeriahkan majlis tersebut yang dimulakan dengan solat maghrib dan solat hajat secara berjemaah di Masjid Sultan Badlishah UUM. HALUAN telah diwakili oleh Encik Abdul Halim Khudri sementara pihak NVOG diwakili Ustaz Rizal selaku Penasihat NVOG. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kolej Perniagaan (COB) UUM, Dr. Ahmadasri Alaudin.

UUM merupakan IPT yang keempat selepas UiTM Merbok, UNiKL Kulim, dan ADTEC Mahang yang telah dipilih oleh pasukan NVOG dan HALUAN untuk mengutip dana demi membantu rakyat Syria. Pada upacara tersebut, kutipan RM 10,800 telah diserahkan kepada HALUAN Malaysia. Di samping itu, sebuah booth juga dibuka sepanjang Pesta Konvokesyen UUM bermula daripada 28 November sehingga 3 Disember untuk meneruskan kutipan derma.

Majlis penutup bagi Roadshow RP4S ini telah diadakan di Universiti Sains Malaysia. Pihak HALUAN Malaysia mengucapkan tahniah kepada semua rakan NVOG yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini.

Kejayaan projek RP4S ini membuktikan bahawa penderitaan rakyat Syria dan pengorbanan mereka untuk bebas daripada rejim Al-Asad tetap mendapat perhatian berterusan daripada rakyat Malaysia dari segenap lapisan. Semakin ramai tersedar betapa zalim dan hinanya kefahaman Syiah itu yang menjadi pegangan rejim Al-Asad, yang sanggup membunuh dan menyiksa walaupun kanak-kanak dan bayi.

Sepanjang tiga sesi program dijalankan, sebanyak RM 11,107.00 telah berjaya dikumpul dan disalurkan terus kepada Tabung Kemanusiaan dan Kebajikan HALUAN. HALUAN sering menghantar misi dan bantuan kewangan ke kem-kem pelarian di dalam wilayah Syria dan juga di sempadan Turki dan Jordan. Misi terakhir kami adalah pada bulan Zulhijjah baru lalu bersempena program korban Aidiladha di sana. Pihak NVOG dan HALUAN sentiasa membuka ruang untuk institusi-institusi menganjurkan program seumpama ini bersama-sama dengan mereka.

Bagi mereka yang ingin turut menyumbang untu kebajikan umat bolehlah berbuat demikian dengan menderma ke:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad


Laporan Unit Media HALUAN Cawangan Kedah dan Pulau Pinang