fbpx

Remaja di MTP Berani Berniaga

Remaja di MTP Berani Berniaga

Remaja di MTP Berani Berniaga

JITRA, KEDAH, 30 Apr 2017 – “Kepimpinan tidak perlu ditunggu dengan lahirnya insan-insan yang mempunyai bakat memimpin secara semulajadi. Ia perlu dibina dan dibentuk secara terfokus dari masa ke masa agar matlamat dan segala apa yang dirancang dapat dicapai.”

Pernyataan daripada petikan ucapan dasar Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman bersempena Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN ke-28 di sini, akan terus menjadi pendorong dan penguat semangat buat generasi muda dalam menyahut cabaran menjadi pemimpin yang bermanfaat demi ummah.

“Generasi muda merupakan penyambung dakwah ini. Oleh itu, didikan awal bagi pembinaan sahsiah diri dan kemahiran-kemahiran tambahan, hendaklah dilakukan secara istiqomah dan berstrategi,” ujar beliau.

Mencerminkan hasrat tersebut, Muhammad Nafis Suran, 18, merupakan salah seorang peniaga muda yang turut tidak melepaskan peluang untuk menjual makanan sempena MTP kali ini. Beliau dan sahabat-sahabatnya yang merupakan pelajar lepasan MASDAR generasi pertama, telah mula menjinakkan diri dengan perniagaan makanan. Antara jualan digerai mereka adalah, fish & chips, roti baghdad, cendawan goreng, sata ikan, kentang goreng, peknga, roti telur, keropok lekor, air koko panas, air teh pudina dan onion ring.

Dengan penawaran harga yang murah, layanan yang terbaik, rasa yang enak dan kerjasama yang mantap daripada anak-anak muda ini, memungkinkan ianya adalah antara asbab jualan mereka menjadi tarikan pembeli, terutamanya jualan bagi fish & chips dan roti baghdad.

Muhammad Nafis Suran, 18
Penglibatan yang pertama kalinya di MTP, telah mengujakan anak-anak muda lepasan SPM 2016 ini agar mengorak langkah untuk terus berani ke depan dalam membina urusniaga di kalangan skop pembeli yang lebih besar dari yang pernah mereka hadapi kini.

Antara tujuan penglibatan mereka adalah untuk mengumpul duit tabungan ILMAS (Ikatan Alumni MASDAR) dan melatih diri berdikari untuk mencari pendapatan sendiri melalui perniagaan. Sebelum ini juga, mereka pernah melibatkan diri untuk jualan di Jubli Perak MATRI dan di ekspo Sekolah Menengah Agama Kampung Laut (SMAKL), Terengganu.

Beliau turut menekankan, biarpun keuntungannya tidak seberapa, mereka tetap merasa puas kerana banyak ilmu, pengalaman dan kekuatan ukhuwah dalam kerja berpasukan telah diperoleh. Bermula dari urusan membina pasukan, merancang menu, membuat perbincangan dan pembahagian tugas untuk perlaksanaan jualan, pengurusan kos-kos yang terlibat, pengendalian bahan mentah, muamalah dengan manusia, pengurusan keuntungan, hinggalah kepada penggunaan semula wang keuntungan sebagai modal semula akan datang. Yang menariknya, mereka juga telah berjihad dalam membuat kerja-kerja ini secara rela tanpa mengambil sebarang upah darinya.

Akhirnya, Muhammad Nafis juga merakamkan rasa syukur dengan adanya bantuan daripada murobbi dan murobbiyah MASDAR yang telah banyak membantu dan mengajar kemahiran tambahan yang mereka perlukan sebelum mereka keluar berkhidmat kepada masyarakat melalui perniagaan tersebut.

Laporan Nurulhusna Hamid
Wartawan mediaHALUAN