fbpx

Relawan Misi Kemanusiaan Merapi Selamat Pulang

Relawan Misi Kemanusiaan Merapi Selamat Pulang

Relawan Misi Kemanusiaan Merapi Selamat Pulang

SEPANG, Ahad 21 Nov — Empat orang relawan HALUAN yang menyertai Misi Kemanusiaan Merapi (MKM) telah selamat tiba di LCCT Sepang setelah berbakti kepada mangsa-mangsa bencana letusan Gunung Merapi di Jawa Tengah, Indonesia dari 15hb November hingga 21hb November, 2010.


Ketibaan mereka turut disambut oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman, Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi, dan Setiausaha Agung HALUAN, Hj Mohd Ghani Salleh.

Selama berada di lapangan, kumpulan relawan HALUAN yang diketuai oleh Dr Baharudin Suri ini telah berkerjasama dengan NGO tempatan iaitu Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) dan Lembaga Kemanusiaan Nasional (PKPU.) Mereka berpengkalan di Magelang, Klaten dan Solo yang terletak dalam radius 20-15km dari puncak Gunung Merapi. Terdapat lebih 100,000 orang mangsa berteduh di kem-kem penempatan sementara di kawasan berkenaan.

Sehingga hari ini, Gunung Merapi masih lagi aktif dan keadaan dikategorikan sebagai darurat. Kawasan radius 10km daripada Gunung Merapi masih tidak dibenarkan masuk kecuali oleh pihak tentera, pasukan penyelamat dan relawan yang mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa dan tentera Indonesia. Menurut Ketua Misi, Dr Baharudin Suri, mereka bersama-sama BSMI dan PKPU telah memasuki kawasan pedalaman dalam radius 3-4km daripada puncak Gunung Merapi dengan kebenaran dan bantuan tentera Indonesia bagi menyampaikan bantuan makanan dan memberi rawatan perubatan. Lebih 50 orang pesakit telah dirawat di kawasan Dusun Stabelan dan Kacamatan Selo, iaitu antara tempat paling teruk ditimpa kesan awan dan debu panas.

Mereka juga telah memasuki kawasan berbukit tinggi di Telogo Lele, di mana penduduk-penduduk di sini masih belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak. Di sini, relawan HALUAN juga menemui beberapa mangsa korban akibat awan panas dan melihat sendiri kemusnahan perkampungan dan tanaman yang diselaputi debu Merapi.

Menurut Dr Baharudin Suri lagi, mangsa-mangsa sangat memerlukan bantuan dalam bentuk makanan asas seperti beras, minyak, gula, teh dan susu, begitu juga dengan pakaian dalam dan lampin bayi. Hampir semua sumber ekonomi mereka yang rata-rata bergantung kepada pertanian musnah dalam tragedi ini. Keperluan ini dijangka berterusan sehingga 6 bulan akan datang.

Menurut Ketua Biro Misi Bantuan Kemanusiaan HALUAN yang turut hadir menyambut ketibaan relawan di LCCT, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan, HALUAN akan terus menghantar bantuan dalam bentuk perubatan dan khidmat motivasi dan trauma healing. Ramai di antara mangsa-mangsa menghadapi tekanan hidup, di mana lebih 110 orang dewasa telah dihantar ke rumah sakit jiwa dan ada mangsa telah membunuh diri akibat bencana ini.

Orang ramai dan badan-badan korporat juga boleh membantu dengan menaja pakej bekalan keperluan asas yang dipanggil SEMBAKO (Sembilan Barang Pokok) yang mengadungi beras, minyak masak, garam, susu, gula, teh, lampin bayi, gandum dan tuala wanita.

Mengulas tentang keperluan dana bagi membantu mangsa-mangsa bencana ini, Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman menyeru supaya wujud kerjasama dan sinergi antara NGO dan golongan penderma dari kalangan masyarakat dan badan korporat. Sinergi ini akan melicinkan usaha relawan-relawan yang sentiasa bersedia menyumbang tenaga dan kepakaran membantu mereka yang memerlukan.

HALUAN merayu semua pihak di Malaysia, terutama sekali badan-badan korporat, untuk memberi sumbangan kepada misi yang mulia ini. Sebarang sumbangan kewangan boleh disalurkan melalui akaun:


HALUAN
14-023-01-002571-8
(Bank Islam Malaysia Berhad.)