fbpx

Relawan Misi Kemanusiaan Merapi Berlepas ke Indonesia

Relawan Misi Kemanusiaan Merapi Berlepas ke Indonesia

Relawan Misi Kemanusiaan Merapi Berlepas ke Indonesia

LCCT Sepang, 15 Nov – Kumpulan pertama relawan-relawan Misi Kemanusiaan Merapi (MKM) anjuran HALUAN telah berlepas ke Indonesia pada jam 5:50 petang tadi.


Misi ini adalah merupakan antara usaha HALUAN bagi membantu secara terus mangsa-mangsa bencana letusan gunung Merapi di Jawa Tengah, Indonesia. Gunung Merapi yang mula meletus pada 26 Oktober lalu sehingga kini telah mengorbankan lebih 150 nyawa.

Menurut laporan Pusat Volcanologi Indonesia, letusan masih lagi berlaku dengan intensiti yang tinggi. Keadaan ini membawa ancaman awan panas sehingga ke jarak 10km daripada pusat gunung tersebut. Memandangkan gunung berapi ini masih aktif, pihak berwajib Indonesia kini meluaskan kawasan pemindahan penduduk sehingga ke perimiter 20km. Lebih 278,500 orang telah dipindahkan ke kem-kem penginapan sementara di sekitar Jawa Tengah dan Daerah Istimewa Yogjakarta.

Misi Kemanusiaan Merapi bagi kumpulan pertama ini melibatkan 4 orang relawan HALUAN, termasuk ketua misi iaitu Dr Baharudin Suri daripada Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Johor. Ketua Biro Misi Bantuan Kecemasan dan Kemanusiaan HALUAN, Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hasan, turut bersama-sama hadir di LCCT Sepang bagi menyampaikan taklimat misi dan seterusnya melepaskan relawan-relawan ke Jakarta. Menurut Dr Syed Muhammad Haleem, relawan-relawan HALUAN akan berbakti di kem-kem penempatan sementara yang terletak di sekitar Yogjakarta. “Mereka akan bekerjasama dengan beberapa NGO tempatan, terutamanya Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) untuk memberikan khidmat rawatan perubatan di samping usaha memulihkan semangat mangsa-mangsa yang terlibat, iaitu melalui khidmat pemulihan trauma,” jelas Dr Syed Muhammad Haleem.

Di samping ubat-ubatan, kumpulan ini juga membawa bersama mereka bantuan sejumlah lebih sepuluh ribu ringgit. “Mangsa-mangsa sangat memerlukan bantuan, terutama dalam bentuk makanan dan juga pakaian untuk ibu dan anak-anak. Majoriti daripada mereka terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang. Jadi kita sangat berharap agar masyarakat Malaysia yang prihatin dapat tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah ini. InsyaAllah HALUAN akan menghantar kumpulan bantuan seterusnya apabila mendapat maklumat dan analisa terperinci daripada kumpulan pertama ini nanti,” sambung Dr Syed Muhammad Haleem. Kumpulan ini dijangka pulang pada hari Ahad depan.

Gunung Merapi yang terletak di tengah-tengah kawasan padat penduduk ini meletus setiap empat atau lima tahun. Hampir 70 letusan berlaku sejak pertengahan abad ke-16. Seramai 1,400 orang terbunuh dalam kejadian pada tahun 1930, manakala 60 orang telah terkorban dalam letusan pada tahun 1994.

HALUAN sangat-sangat berharap kepada orang ramai untuk turut membantu misi bantuan kemanusiaan ini. Sebarang bantuan kewangan boleh disalurkan melalui

Nama akaun: HALUAN
No akaun: 14-023-01-002571-8
Bank Islam Malaysia Berhad.