fbpx

Relawan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 Selamat Pulang

Relawan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 Selamat Pulang

Relawan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 Selamat Pulang

KLIA SEPANG, 18 Jun 2012 — Setelah berbakti membantu pelarian di sempadan Turki-Syria selama hampir 10 hari, relawan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 (MKBS2) akhirnya selamat tiba di tanahair tengahari tadi.

Pasukan MBKS2 terdiri daripada Ketua Misi, Dr Baharudin Suri, yang merupakan Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Roniyuzam Abd Malek yang juga merupakan Ketua Unit Bantuan Kemanusiaan Kelab Kesihatan HALUAN Malaysia (KKH), dan juga dua sukarelewan siswa medik dari Irbid, Jordan iaitu Ahmad Ikhwan Subberi dan Afiq Fawwaz Mohd Salleh. Misi ini merupakan kesinambungan usaha bantuan yang telah disampaikan oleh pasukan pertama di Mafraq dan Ramsa, iaitu daerah sempadan Jordan dan Syria pada awal bulan April lalu.

Selama berada di daerah sempadan itu, para relawan MBKS2 telah menyampaikan bantuan berbentuk makanan dan kelengkapan perubatan “first aid” untuk kegunaan di kem pelarian dan juga sebahagian daripada keluarga mereka yang masih berada di dalam Syria. Makanan asas yang diberikan mengandungi beras, pelbagai kekacang, minyak masak, minyak zaitun dan gula yang setiap satunya bernilai RM150. HALUAN juga bekerjasama dengan Al-Sarraa Foundation for Humanitarian Relief dan Sahabat Al-Aqsha Indonesia menyediakan sekolah darurat bagi kanak-kanak pelarian meneruskan pendidikan rendah di Antakya.

Menurut Dr Baharudin, hanya badan-badan yang mendapat kebenaran kerajaan Turki dibenarkan memberi bantuan di 11 buah kem pelarian di Antakya. “Kerajaan Turki hanya membenarkan NGO Insani Yardin Vakfi (IHH) dan Red Crescent untuk beroperasi di sini. Jadi, segala bentuk bantuan ke kem pelarian mestilah melalui salah satu daripada NGO tersebut,” kata Dr Baharudin. Alhamdulillah, berkat hubungan baik di antara HALUAN Malaysia dan IHH, para relawan MBKS2 telah dibenarkan memasuki kem pelarian di sempadan bagi tujuan mengagihkan bantuan dan menyantuni pelarian di situ.

Terdapat sekitar 27,000 pelarian di sempadan Turki-Syria, di mana kerajaan Turki telah mengambil langkah memberikan bantuan penginapan, rawatan, makanan dan keperluan sosial lain seperti pendidikan. Walau bagaimanapun, bantuan dari negara-negara lain adalah amat sedikit sekali. “Sebelum kami berpisah dengan relawan-relawan IHH di Antakya, mereka sangat mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat terus membantu dan memberi sokongan kepada pelarian Syria di sini dan juga mereka yang masih lagi bertahan di dalam Syria,” kata Dr Baharudin lagi.

Menurut beliau, HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan akan terus menyampaikan bantuan makanan dan keperluan asas lain serta rawatan perubatan untuk rakyat Syria. Orang ramai yang ingin turut membantu mangsa-mangsa kezaliman rejim Bashar Assad ini boleh menyalurkan bantuan melalui akaun khusus untuk misi kemanusiaan iaitu:

Nama akaun: HALUAN
Nombor akaun: 14-023-01-002571-8
Nama bank: Bank Islam Malaysia Berhad

Semoga setiap doa dan bantuan ikhlas tuan-puan akan menjadi saham yang baik di akhirat kelak.