fbpx

Relawan: Kesan Banjir Ibarat Pasca Tsunami

Relawan: Kesan Banjir Ibarat Pasca Tsunami

Relawan: Kesan Banjir Ibarat Pasca Tsunami

tsunami-01PULAU PINANG, 5 Jan 2015 — Kemusnahan yang menimpa beberapa kawasan terlibat banjir di Kelantan diumpamakan seperti pasca tsunami di Acheh yang berlaku pada 26 Disember, 2004.

“Kami terkejut ketika mula-mula melihat kesan banjir. Seperti dilanda tsunami.”

Demikian menurut beberapa orang Relawan HALUAN Pulau Pinang yang baru pulang daripada Kelantan dalam Misi Kemanusiaan Banjir (MKB) 2014 hari ini.

Ketua Pasukan 1 MKB HALUAN Pulau Pinang, Encik Saiful Azmi Omar, menceritakan suasana yang dilihat berlaku di Kemubu, Dabong tidak ubah seperti apa yang pernah dilihat beliau ketika menyertai Misi Kemanusiaan Acheh (MKA) 2004.
“Orang-orang kampung yang terputus berkalan air bersih sejak banjir berlaku, berpusu-pusu menggunakan air yang turun dari lereng bukit untuk mandi dan membersih diri secara terbuka dan bercampur tanpa sekarang sekatan atau dinding,” tambah beliau lagi.

“Keadaan ini sama seperti apa yang dilihat di Acheh selepas tsunami melanda wilayah tersebut,” sambung Saiful Azmi yang menyertai MKA dan juga Misi Kemanusiaan Padang (MKP) 2009 yang dilanda gempa bumi.

Kenyataan beliau turut disahkan oleh Encik Ahmad Shukri Nordin, 53 tahun, yang juga merupakan Relawan MKA dan MKP.
“Kesan kerosakan dan kemusnahan banjir di Kemubu seolah-olah baru dilanda tsunami. Rumah dan segala yang berada dalam arus air itu telah ranap atau hanyut. Padang jarak padang tekukur,” jelas Ahmad Shukri sedih.

Kemubu adalah antara kawasan yang terjejas teruk dilanda banjir sama seperti di Manek Urai, Kuala Krai, namun tidak mendapat liputan berita yang meluas.

YDP HALUAN Pulau Pinang, Encik Che Ani Hashim, juga turut ikut serta dalam MKB sebagai Relawan yang menyantuni mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan di Kelantan.

Beliau turut mengiyakan pemerhatian relawan-relawan yang lain berdasarkan pengalaman beliau sendiri ketika di Acheh.
Selain mereka bertiga, empat lagi ahli Pasukan 1 MKB HALUAN Pulau Pinang juga merupakan bekas Relawan MKA yang menguatkan lagi pandangan Relawan yang lain.

Pasukan 1 Relawan HALUAN Pulau Pinang yang terdiri daripada 12 orang relawan menamatkan khidmat selama lima hari di Kelantan hari ini.

Khidmat mereka akan disambung untuk lima hari berikutnya oleh Pasukan 2 yang bertolak ke Kelantan pada sebelah petang setelah penyerahan tugas dibuat.