fbpx

Relawan HALUANITA Turut Berbakti Kepada Mangsa Banjir

Relawan HALUANITA Turut Berbakti Kepada Mangsa Banjir

Relawan HALUANITA Turut Berbakti Kepada Mangsa Banjir

TIM3C-01KUANTAN, 8 Dis 2013 — Rentetan daripada bencana banjir yang berlaku di pantai timur Semenanjung, pasukan HALUANITA tidak melepaskan peluang untuk turun berbakti di lapangan bersama ratusan relawan yang lain.

Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (MKB13) membuka medan sebenar kepada relawan untuk mengaplikasikan aspirasi HALUAN iaitu berakhlak, mendidik dan berbakti dengan menyantuni masyarakat yang ditimpa musibah, dengan harapan dapat meringankan bebanan dan kesusahan yang dialami oleh mereka.

Relawan HALUANITA dalam pasukan ketiga MKB13 (Tim 3C) yang diketuai oleh Aisyah Dollah @ Abdullah telah ditugaskan untuk menghulur bantuan di dua lokasi iaitu di Sekolah Rendah Ibnu Abbas (SeRIA), Permatang Badak dan Perumahan Sungai Isap Damai.

Di antara tugas yang perlu dilaksanakan adalah menyediakan makanan untuk para relawan HALUAN yang bertugas. Mereka juga membantu pasukan JKKK dan individu persendirian dalam menyediakan 500 bungkus nasi untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir yang agak jauh dan sukar mendapatkan bekalan makanan.

Relawan HALUANITA juga terlibat dengan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Rendah Ibnu Abbas (SeRIA) yang terletak di Permatang Badak yang mengalami kerosakan hampir 80%.

“Selama tiga hari dua malam berkampung di sana, terlalu banyak pengalaman yang dapat dirasai oleh relawan. Rata-rata mereka sangat bersemangat untuk menjayakan misi pada kali ini,” lapor Aisyah kepada mediaHALUAN.

Seorang pensyarah kokurikulum Kolej Matrikulasi Selangor, Hayati Baizurah Ibrahim, 42 tahun, pernah merasai keperitan menjadi mangsa banjir di Hulu Langat beberapa tahun lalu. Dalam kejadian tersebut, beliau tidak sempat menyelamatkan sebahagian daripada harta benda dan hanya mampu menyaksikan kenderaan Viva miliknya ditenggelamkan air secara perlahan-lahan di depan mata. Bagaimanapun, katanya, pengalaman yang menginsafkan tersebut menjadi pendorong beliau untuk turut menyantuni mangsa banjir bersama-sama HALUANITA kali ini.

”Pengalaman menjadi mangsa banjir menginsafkan saya, namun apalah sangat dibandingkan dengan mangsa banjir lain yang kehilangan hampir keseluruhan harta benda mereka. Ini cukup mendorong saya menyertai misi ini,” katanya.

Beliau menaruh harapan tinggi agar dapat kembali untuk berbakti lagi dalam misi seterusnya. “Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dan gembira kerana ditempatkan bersama dengan pasukan relawan HALUANITA ini. Saya berharap terpilih lagi untuk misi-misi seterusnya dengan ahli kumpulan yang sama,” luah Hayati Baizurah kepada rakan-rakannya dalam Tim 3C.

Salah seorang ahli Tim 3C, Nor Shalsilah Adis, 23 tahun, dari Bahau, Negeri Sembilan yang baru menamatkan pengajian diploma sempat meninggalkan nasihat kepada para relawan yang menyertai misi kali ini. “Relawan yang berminat untuk menyertai Misi Kemanusiaan Banjir ini mestilah membetulkan niat kerana Allah SWT kerana di sinilah medan keikhlasan kita teruji. Tugas ini menuntut fizikal yang sihat dan kuat, sedangkan masa dan tenaga yang ada adalah terbatas. Tidak dinafikan persediaan mental dan hati juga perlu agar kita bukan sekadar mendapat penat daripada hasil kerja-kerja ini tetapi yang lebih utama adalah mendapat redha Allah SWT.”

Misi kemanusiaan banjir ini akan diteruskan untuk beberapa minggu lagi. HALUANITA menyeru kepada semua relawan yang berminat menyumbang tenaga untuk menyahut seruan kemanusiaan ini dengan menghubungi pusat operasi banjir pada maklumat tertera.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan keperluan asas seperti air minuman, makanan kering, susu bayi, lampin bayi, berus dan ubat gigi, sabun, tuala wanita, selimut, tikar dan juga telekung. Sumbangan kewangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (24 jam) di Ibu Pejabat HALUAN melalui talian 019 600 7658 atau 03 8926 8892.


Laporan oleh Aisyah Dollah @ Abdullah, Ketua Tim 3C Misi Kemanusiaan Banjir 2013 di Pahang.