fbpx

Relawan HALUAN Tingkatkan Kemahiran Bantuan Kemanusiaan

Relawan HALUAN Tingkatkan Kemahiran Bantuan Kemanusiaan

Relawan HALUAN Tingkatkan Kemahiran Bantuan Kemanusiaan

Biro Bantuan Misi Kemanusian HALUAN telah menganjurkan Latihan Misi Kemanusiaan Dan Paramedik dari 20hb hingga 21hb Mac baru lalu.


Latihan yang diadakan di Kompleks HALUAN Penyayang, Bukit Naga, Shah Alam itu telah disertai oleh 20 orang relawan yang mewakili cawangan-cawangan HALUAN dari seluruh negara.

Sebagai sebuah NGO yang berpegang kepada slogan berakhlak, mendidik dan berbakti, latihan ini merupakan satu usaha yang sangat penting bagi meningkatkan lagi persiapan diri dan kemahiran teknikal relawan HALUAN untuk terus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Menurut Ketua Biro Bantuan Kemanusiaan HALUAN, Dr Syed Muhammad Haleem, adalah sangat penting untuk semua relawan HALUAN bersiap sedia pada setiap masa dengan kekuatan diri dan juga kemahiran teknikal dan pengurusan bencana yang secukupnya.

Melalui latihan selama dua hari ini, peserta telah dapat mengikuti beberapa sesi menarik, termasuklah tatacara pengendalian misi bantuan kemanusiaan, dan juga perkongsian pengalaman dalam kerja-kerja misi kemanusiaan di dalam dan di luar negara. Beberapa kertas kerja turut dibentangkan, antaranya termasuklah Persediaan Relawan dan Paramedik, dan Da’i Dalam Misi Kemanusiaan. Melalui pembentangan kertas kerja ini, peserta latihan telah didedahkan dengan beberapa kaedah dan ciri-ciri yang seharusnya ada pada setiap relawan yang berada bersama mangsa dan rakan sekerja di lapangan.

Peserta juga telah didedahkan dengan permasalahan psikologi yang akan mereka hadapi dalam mengendalikan misi bantuan kenanusiaan. Dalam ceramahnya, Setiausaha Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Dr Ahmad Zabidin Zakaria yang juga merupakan seorang Pakar Psikiatrik dari Hospital Klang, telah mengingatkan relawan tentang situasi trauma dan kecelaruan yang ada pada mangsa bilamana mereka ditimpa bencana. Sebagai menjawab soalan daripada seorang peserta, Dr Ahmad Zabidin menyebut, ”mangsa perlu dibantu dengan ilmu dan keihlasan. Kita datang kepada mereka sebagai teman, sebagai da’i membantu memulihkan hubungan dengan Allah, bukan menghukum dan melabel mereka.”

Peserta turut mengikuti latihan praktikal mengendalikan ‘Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR),’ pemeriksaan penting seperti pemeriksaan nadi dan tekanan darah, dan beberapa pengetahuan tentang ubatan dan farmasi.

Di akhir latihan tersebut, para peserta telah ditugaskan untuk melaksanakan dan menyelaraskan misi-misi kemanusian di negeri masing-masing, supaya bantuan dapat diberikan dengan baik dan efisyen mengikut realiti tempatan.

Dalam komentarnya, Dr Syed Muhammad Haleem menyebut, “Biro Bantuan Kemanusiaan HALUAN melihat latihan ini sebagai satu yang kritikal kerana bencana boleh berlaku pada bila-bila masa, dan kami harus bersedia untuk dikerahkan membantu bilamana sahaja bencana berlaku. Bantuan berbentuk kecemasan itu mestilah diberikan dengan teknik yang betul dan pengurusan yang cekap, di samping relawan sendiri perlu memastikan jiwa dan fizikal mereka sentiasa bersiap sedia.”