fbpx

Relawan HALUAN Selamat Tiba Di Jordan

Relawan HALUAN Selamat Tiba Di Jordan

Relawan HALUAN Selamat Tiba Di Jordan

AMMAN, JORDAN, 29 Mac 2012 – Pasukan peninjau HALUAN bagi misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Pelarian Syria telah selamat tiba di Amman jam 6 pagi waktu tempatan. Mereka dijangka bergabung usaha dengan para relawan dari NGO tempatan dan antarabangsa yang lain di tiga lokasi utama iaitu Amman, Mafraq dan Ramsa.

Pasukan ini disertai oleh ketuanya oleh Ustaz Abu Bakr bin Mohd Sidek dan wakil Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Terengganu, Dr Ahmad Fardi Sulaiman. Sepanjang tempoh lebih seminggu di Jordan, mereka akan turut dibantu oleh ahli-ahli HALUAN yang berada di negara tersebut.

Menurut Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN Dr Baharuddin Suri ketika menghantar mereka berlepas di KLIA Sepang malam tadi, pasukan ini bertanggungjawab untuk menyelaras pengkalan operasi dan juga mendapatkan maklumat lapangan yang lengkap bagi membantu HALUAN merancang pemergian pasukan seterusnya dan juga bentuk bantuan yang paling diperlukan oleh mangsa-mangsa. “Antara maklumat yang kita perolehi dari rakan-rakan NGO di lapangan, mangsa-mangsa sangat memerlukan kepada rawatan perubatan, makanan dan pakaian asas dan juga tempat berteduh. Pasukan peninjau HALUAN ini akan berbincang dengan rakan-rakan NGO di sana tentang strategi yang paling baik untuk membantu pelarian ini secara kerjasama,” terang Dr Baharuddin.

Jordan menanggung jumlah pelarian Syria yang terbesar, iaitu sekitar 85,000 orang. Manakala sebahagian besar yang lain berhijrah mencari perlindungan dan kehidupan di sempadan Turki dan Lubnan.

Pasukan kedua dijangka berlepas ke Amman, atau lokasi-lokasi lain di Lubnan atau Turki, pada 9hb April akan datang. Untuk menjayakan misi yang mendesak ini, HALUAN sangat memerlukan bantuan, sokongan dan kerjasama dari masyarakat prihatin.

Rebutlah peluang amal soleh ini. Hulurkanlah sumbangan ikhlas anda ketika mereka memerlukan dan janganlah menunggu sehingga sengsara mereka berakhir, di mana bantuan di waktu itu nanti tidak lagi memberi makna untuk mereka.

Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan melalui tabung khusus untuk misi ini, iaitu

Nama akaun: HALUAN
Nombor akaun: 14-023-01-002571-8
Nama bank: Bank Islam Malaysia Berhad.

Sama-samalah berdoa agar bencana dan kezaliman yang menimpa mereka segera berakhir.