fbpx

Relawan HALUAN Sampaikan Bantuan di Mafraq

Relawan HALUAN Sampaikan Bantuan di Mafraq

Relawan HALUAN Sampaikan Bantuan di Mafraq

MAFRAQ, JORDAN, 31 Mac 2012 — Dalam ketegangan dan risiko tembakan rambang snipers, ibu-ibu terpaksa meredah kegelapan malam membawa anak-anak menuju ke sempadan. Ramai yang berjaya menyelinap masuk ke Jordan, bahkan tidak kurang juga yang gagal dan terperangkap di sempadan.

Kawasan sempadan Syria-Jordan yang dipisahkan dengan kawat berduri itu menjadi harapan kepada puluhan ribu rakyat Syria untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan. Namun ketibaan mereka di situ tidak sekali-kali membebaskan mereka daripada penderitaan dan kesusahan hidup, apatah lagi dengan ketiadaan suami yang sudah terkorban atau terpenjara di negara sendiri. Ramai yang sanggup tidur di bawah langit terbuka demi menyelamatkan nyawa keluarga mereka.

HALUAN yang terpanggil untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa membantu keluarga-keluarga malang ini telah mula bergerak ke lapangan untuk menyampaikan bantuan asas. Pasukan peninjau yang diketuai oleh Ustaz Abu Bakr Mohd Sidek dan dibantu oleh Dr Ahmad Fardi Sulaiman telah tiba di kawasan penempatan pelarian di Mafraq, Jordan yang merupakan salah satu daripada penempatan 85,000 pelarian Syria di Jordan.

Mafraq pernah menempa nama dalam sejarah apabila menjadi kawasan kem pelarian ketika peristiwa peperangan enam hari di antara Zionis dan negara-negara Arab pada tahun 1967.

Terdahulu, pasukan HALUAN ini telah berkunjung ke pejabat NGO tempatan untuk mendapatkan fakta sebenar dan panduan operasi di kawasan tersebut. Mereka telah berbincang dengan Mr Yusof Osman, seorang pengurus bagi program-program kemasyarakatan di Islamic Center. Sebelum menuju ke kawasan penempatan pelarian, mereka juga sempat mendapatkan fakta dan pandangan daripada Ir Murad Abaileh, Pengerusi Social Care Islamic Center.

Dalam lawatan awal mereka ke lapangan, pasukan HALUAN ini telah menyampaikan bantuan asas kepada 38 keluarga pelarian. Melalui lawatan dan perbincangan mendalam bersama NGO tempatan, HALUAN akan merangka misi seterusnya bagi membantu keluarga-keluarga malang di sini. Pasukan bantuan HALUAN yang seterusnya dijangka berlepas pada 9hb April.

Bantulah mereka! Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan melalui tabung khusus untuk misi ini, iaitu

Nama akaun: HALUAN
Nombor akaun: 14-023-01-002571-8
Nama bank: Bank Islam Malaysia Berhad.

Semoga Allah merahmati anda yang prihatin terhadap mereka yang ditimpa musibah. Doakanlah agar bencana ini berakhir segera.


Laporan Abu Bakr Mohd Sidek dari Mafraq