fbpx

Relawan HALUAN Jalankan Operasi Membersih Rumah, Masjid

Relawan HALUAN Jalankan Operasi Membersih Rumah, Masjid

Relawan HALUAN Jalankan Operasi Membersih Rumah, Masjid

kuantan-2-01KUANTAN, 6 Dis 2013 — Keadaan cuaca yang cerah serta paras air yang surut telah membolehkan ramai mangsa banjir pulang ke rumah walaupun kediaman mereka masih tidak boleh digunakan.

Banjir di sebahagian kawasan di Kuantan bertambah baik di mana air mulai surut dan kerja-kerja membersih sebahagian daripada rumah kediaman dan bangunan awam mula dijalankan. Walau bagaimanapun, sehingga semalam seramai lebih 27,500 orang masih tinggal di pusat-pusat pemindahan banjir di sekitar daerah ini. Kawasan seperti di Perkampungan Sungai Isap masih belum boleh dimasuki dan rumah-rumah masih dipenuhi air banjir. Pihak berkuasa menasihati penduduk supaya sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk dipindahkan apabila perlu.

Menurut laporan Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (MKB13) HALUAN di Bandar Baru Bangi, Selangor, tiga pasukan relawan telah dihantar ke Kuantan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sana, iaitu dua pasukan dari Selangor dan satu pasukan lagi dari Terengganu.

“Selain daripada menggerakkan relawan tempatan di negeri Pahang yang sudahpun bertugas sejak hari pertama banjir melanda, kita telah menyusun jadual bagi menghantar relawan dari negeri-negeri lain. Mereka akan ke Kuantan dan kawasan sekitar mengikut jadual dan keperluan di lapangan, bergantung kepada keadaan banjir di sana,” jelas Ketua Pusat Operasi MKB13, Zukifli Willi, selepas sesi taklimat kepada relawan malam tadi.

Bilik Gerakan Banjir HALUAN Cawangan Pahang di Kuantan memaklumkan bahawa relawan-relawan HALUAN dijadual menjalankan operasi membersih rumah-rumah mangsa dan sekolah. Mereka juga akan membersihkan beberapa buah masjid sebagai persediaan untuk solat Jumaat tengahari nanti.

Di antara keperluan asas mangsa-mangsa banjir buat masa ini termasuklah air minuman, makanan kering, susu bayi, lampin bayi, berus dan ubat gigi, sabun, tuala wanita, selimut, tikar dan juga telekung.

Orang ramai juga digalakkan membantu dalam bentuk sumbangan kewangan melalui akaun berikut:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (24 jam) di Ibu Pejabat HALUAN melalui talian 019 600 7658 atau 03 8926 8892.


Laporan MediaHALUAN.