fbpx

Relawan HALUAN dan JPNJ ke Dadaab – Tunaikan amanah korban rakyat Malaysia

Relawan HALUAN dan JPNJ ke Dadaab – Tunaikan amanah korban rakyat Malaysia

Relawan HALUAN dan JPNJ ke Dadaab – Tunaikan amanah korban rakyat Malaysia

Dadaab, Kenya, 5 Nov 2011 — Pasukan sukarelawan HALUAN dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) telah selamat tiba di pekan Dadaab di sempadan Kenya-Somalia untuk melaksanakan amanat korban menjelang Aidil Adha esok.


Mereka akan mewakili lebih 1,800 orang muslimin dan muslimat Malaysia bagi melaksanakan ibadah korban di situ, di mana terdapat lebih 700,000 orang pelarian Somalia yang terpaksa berhijrah bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan antarabangsa apabila bencana kemarau dan perang saudara melanda tanahair mereka.

Terdahulu, pasukan sukarelawan ini telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi. Dalam kunjungan penuh mesra tersebut Setiausaha Kedua kepada Pesuruhjaya Tinggi, En Zahari Ghazali, telah sudi menyaksikan penyerahan wang bagi pembelian haiwan kurban kepada wakil rakan NGO tempatan, Northern Kenya Empowerment Institute (NKEI). Tatacara perlaksanaan penyembelihan dan pengagihan daging turut dibincang bersama di sini.

Menurut ketua pasukan misi ketiga ini, Dr Baharudin Suri, masyarakat Malaysia telah memberikan mandat kepada pasukannya untuk menyembelih korban sejumlah 1,538 ekor kambing dan 45 ekor unta, termasuk 170 ekor kambing bagi penyertaan melalui JPNJ. Untuk melicinkan kerja penyembelihan dan pengagihan daging, ibadah korban ini akan dilaksanakan di dua daerah utama iaitu di kem pelarian Dadaab dan juga di sekitar daerah pekan Garissa.

Untuk tujuan penyembelihan dan pengagihan di sekitar Dadaab, HALUAN bekerjasama dengan NGO Turki iaitu Insani Yardem Vakfi (IHH) dan juga sebuah lagi NGO Muslim Kenya. Manakala korban di daerah Garissa akan dilaksanakan dengan kerjasama NKEI.

Bagi Dr Baharudin, kehadiran pasukan beliau ke kem pelarian Dadaab kali ini membawa tanggungjawab yang lebih besar berbanding dengan penyertaan beliau dalam pasukan bantuan pertama September lalu.

“Kehadiran saya bersama-sama rakan sukarelawan HALUAN, Hj Ibrahim Abd Rahman, dan juga sukarelawan JPNJ, Hj Md Kassim Md Noah, Hj Ahmad Othman dan Ustaz Yusma Yusuf, membawa bersama tanggungjawab yang sangat besar. Selain daripada meneruskan misi bantuan kepada pelarian Somalia di sini mendapatkan makanan, perubatan dan pembinaan semula pendidikan, kami juga memikul amanah semua peserta korban dari Malaysia bagi mewakili mereka melaksanakan ibadah korban di sini,” sebut Dr Baharudin. “InsyaAllah melalui kerjasama yang rapi dengan rakan-rakan NGO lain, urusan ini akan dapat kami laksanakan dengan teliti dan baik,” ujar beliau lagi.

Mereka akan berada di Dadaab sehingga ke hari Tasyriq kedua bagi menyempurnakan semua amanah ibadah qurban itu. Semoga setiap peserta korban kali ini mendapat rahmat dan ganjaran yang terbaik daripada Allah SWT.

InsyaAllah sumbangan anda yang budiman ini akan membawa senyuman dan harapan baru kepada pelarian Somalia yang selama ini menunggu-nunggu bantuan daripada saudara seakidah mereka.

Teruskan menghulur derma terbaik tuan-puan untuk pelarian Somalia ini melalui akaun HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 14-023-01-002571-8.

—————

Dr Baharudin Suri menulis dari kem Dadaab, Timur Kenya.