fbpx

Relawan HALUAN alami gegaran susulan di Van dan Ecris

Relawan HALUAN alami gegaran susulan di Van dan Ecris

Relawan HALUAN alami gegaran susulan di Van dan Ecris

Van, Turki, 3 Nov 2011 – Wilayah Van dan Ecris di timur Turki masih lagi digegari  gempa susulan yang sehingga kini direkodkan sebanyak lebih 1,600 kali. Sejak menjejakkan kaki di Van, kami dapat merasakan gegaran hampir setiap hari.


Keadaan cuaca yang sejuk dan hujan menjadi cabaran kepada kami dalam usaha-usaha bantuan. Namun semangat kami tetap tinggi apabila melihat wajah-wajah mereka yang ditimpa musibah ini, yang sangat memerlukan bukan sahaja bantuan makanan panas dan khemah untuk berteduh, bahkan sokongan moral. Kedatangan kami dari ribuan batu ini sangat dihargai. Saya ditemani Ustaz Mohd Fazlon Abd Rahim dalam misi ini.

Pagi tadi kami bersama-sama relawan Insani Yardem Vakfi (IHH) menyediakan makanan kepada sebahagian penduduk di Ercis, satu jam perjalanan dari Van. Setiap hari IHH menyediakan makanan dan minuman panas kepada 6,000 orang di situ. Cuaca di Ercis sangat sejuk, mencecah sehingga dua darjah Celcius. Sepanjang perjalanan tadi kami dapat melihat puncak-puncak bukit yang indah diliputi salji. Cuaca akan lebih sejuk lagi pada waktu malam, lebih-lebih lagi dengan keadaan hujan yang turun berterusan.

Selepas selesai menyediakan makanan, kami terus beredar ke kawasan bangunan roboh dan rosak sekitar bandar kecil Ercis itu. Susana di sini sangat memilukan dan menyayat hati. Jelas sekali perasaan sedih akibat musibah yang meragut 601 nyawa ini menyelubungi seluruh masyarakat di sini. Mereka kehilangan ahli keluarga tersayang, tempat tinggal, pekerjaan dan juga tradisi bersosial dan bergaul bersama jiran.

Kami sempat menziarahi rakan kepada salah seorang sukarelawan IHH yang juga telah kehilangan anak perempuan berumur 12 tahun. Sungguhpun kami datang untuk menyapa dan mengucap takziah, bapa yang sedang bersedih itu tetap melayani kami dengan ramah sekali, bahkan menyediakan makanan ringkas untuk kami. Ya Allah! Muliakanlah saudaraku yang berpegang kepada sunnah RasulMu dengan memuliakan tetamu ini, sungguhpun beliau sendiri sedang dalam kesusahan. Ketika kami berada di dalam khemah keluarga ini, satu gegaran gempa sangat jelas terasa.
    
Jam 6.50 petang, kami tiba di khemah penginapan. Berlaku lagi gegaran yang agak kuat, mungkin pada magnitud 4 atau 5. Air di dalam botol mineral berkocak, dan tanah rasai bergegar.

Doakan kami untuk terus komited dan bersemangat tinggi membantu saudara-saudara kita di sini. Bantulah mereka dengan apa jua yang kita mampu, kerana mereka sangat memerlukan sokongan dan perhatian saudara-saudara seakidah mereka. Semoga Allah menjadikan infaq terbaik anda sebagai amal yang soleh, insyaAllah.

Silalah membantu melalui tabung HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 14-023-01-002571-8.

————————–

Dr Syed Muhamad Haleem menulis dari Van, Turki, 3 Nov, 7.50 malam waktu tempatan.