fbpx

Rekreasi Menguji Daya Ketahanan Pemuda HALUAN

Rekreasi Menguji Daya Ketahanan Pemuda HALUAN

Rekreasi Menguji Daya Ketahanan Pemuda HALUAN

WANG MU, PERLIS, 24 Feb 2014 – Generasi muda adalah aset kepimpinan masa hadapan bagi sesebuah organisasi berskala kecil mahupun besar. Bertitik tolak dari gagasan inilah, Biro Dakwah dan Outreach dan Biro Pemuda memanfaatkan semangat sinergi dengan mengadakan sebuah program khusus untuk kepimpinan muda HALUAN. Bertemakan “Menyubur Iman dan Ukhuwah, Memperteguh Organisasi Dakwah” satu program berorentasikan rekreasi dan perkhemahan ini telah diadakan di Tasik Meranti , Perlis Indera Kayangan selama 3 hari 2 malam yang dihadiri oleh seramai 52 orang kepimpinan muda dari seluruh Malaysia.

Berlatarkan bukit bukau, panas terik yang membahang dan laluan bukit yang mencabar, program ini disifatkan sebagai medium latihan yang praktikal bagi para peserta dalam merealisasikan objektif rekreasi ini iaitu memperkasa jati diri para pemuda serta meningkatkan ukhuwah mereka. Suasana yang diwarnai dengan kesusahan, kepayahan dan keperitan ini mampu melatih para peserta untuk sentiasa menjelmakan semangat persaudaraan, bahu-membahu dan mengutamakan orang lain.

Program ini dimulakan dengan sesi istimewa iaitu menziarahi tokoh veteren dakwah HALUAN iaitu Cikgu Mohamad Adi dan Encik Nasir Salleh di Perkampungan Tunjung, Beseri dan Kampung Alor Panjang, Kangar. Selain menyuburkan keberkatan ziarah sesi ini dilihat mampu menjalinkan hubungan interaksi generasi muda dan “lama” terutamanya dalam perkongsian dua hala dalam pengalaman dan ilmu menggerakan dakwah di Malaysia.

Kemudian, para peserta berehat di Surau Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) dan tepat jam 4.30 pagi keesokannya, mereka bertolak ke Pusat Rekreasi Wang Mu. Setelah selesai, sesi qiamullail, solat Subuh dan pembacaan Al-Mathurat, para peserta mendengar ucapan penyampaian kuliah yang disampaikan sendiri oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman. Antara intipati penekanan beliau adalah generasi pemuda harus bangkit mengatasi kelemahan keimanan serta akhlak yang telah membawa barah yang kronik terhadap masyarakat pada hari ini. Usaha ini tidak dapat tidak perlu dilakukan secara bersama, kolektif dan berterusan melalui organisasi yang tersusun.

Setelah itu, bermulalah sesi berjalan kaki sejauh 7 km melalui denai hutan getah menuju kaki bukit dengan beberapa “check-point” dengan pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh pihak urusetia. Salah satu check point ialah persinggahan sejenak di Masjid Jabal A’laan, Bukit Tinggi. Di sini, para peserta berpeluang mendengar perkongsian dan berinteraksi secara langsung bersama tiga tokoh dakwah HALUAN iaitu Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, Al Fadhil Ustaz Abdul Hadi Osman dan juga Cikgu Mohd Abdoh Zainal Abidin berkisar tajuk Gerak Kerja Dakwah Secara Kolektif. Bagi sesi ini, penjelasan tentang permulaan hala tuju dakwah dibawa secara jelas, nyata dan mendasar.

“Tujuan dakwah ini tidak lain tidak bukan adalah untuk mengajak seluruh umat manusia bersyahadah bahawa Allah SWT itu Rabb,” jelas Ustaz Abdul Hadi Osman dengan selingan pelbagai sirah yang menarik.

Implikasi daripada syahadah yang benar ialah perhambaan, ketundukan dan peribadatan yang sepenuhnya kepada Allah SWT. Di samping itu, para panel menekan bahawa generasi muda adalah agen perubah dan penerus usaha-usaha generasi terdahulu. Harapan mereka, agar generasi muda mampu mempersiapkan diri untuk bersama-sama dalam organisasi dengan niat yang benar bagi melaksanakan tuntutan ubudiyah ini dengan lebih berkesan dalam meraih keredhaan Allah SWT.

Salah seorang peserta program ini, Abu Ubaidah Musa, 30 tahun seorang tenaga pengajar dari Terengganu, berkata “Program begini telah lama dinanti para pemuda yang disibukkan dengan urusan kerja harian. Selain keluar dari rutin kerja, program ini menyediakan ruang yang baik untuk bermuhasabah tentang kehidupan dan menyemak kembali komitmen terhadap pembangunan diri dan Islam.”

Penghujung program telah dirumuskan oleh Ustaz Nur Muhammad Mohd Jamil selaku pengarah program dengan mengucapkan syabas kepada semua peserta kerana berjaya melalui perjalanan ke Tasik Merantin dengan jayanya. Beliau kagum dengan beberapa peserta yang berumur 40-50 tahun yang turut bersama pemuda yang lain mengharungi segala susah payah mendaki bukit sampai ke tempat perkhemahan. Semangat orang lama sebegini sangat diperlukan bagi menjadi contoh untuk para pemuda berdakwah.

Suasana-suasana ukhuwah dan penuh kesusahan inilah yang akan mendidik hati-hati orang beriman untuk sentiasa berlapang dada dan berbaik sangka dalam mengaplikasikan tuntutan kebersamaan di lapangan amal yang sebenarnya. Moga usaha-usaha sebegini diteruskan di masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai golongan muda yang sanggup bersusah payah demi meninggikan syariat Islam.


Laporan oleh Muhd Ridha Abd Ghani, Setiausaha Kerja Biro Pemuda