fbpx

Rekreasi HaluanSiswa Nasional (REAKSI 09) memberi pengalaman baru kepada peserta

Rekreasi HaluanSiswa Nasional (REAKSI 09) memberi pengalaman baru kepada peserta

Rekreasi HaluanSiswa Nasional (REAKSI 09) memberi pengalaman baru kepada peserta

14 Jun 2009, Batu Maloi – Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HaluanSiswa) telah berjaya mengadakan program Rekreasi HaluanSiswa Nasional (REAKSI 09) dari 12 hingga 14 Jun lalu.


Program yang diadakan di Pusat Pendidikan Biodiversiti, Batu Maloi, Negeri Sembilan ini telah dihadiri oleh 70 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa yang datang dari seluruh pelusuk negara. Tema program pada kali ini ialah “Menyemai Ukhuwah Menuju Mardhatillah”.

Pendaftaran awal program ini telahpun bermula semenjak sebulan sebelum program. Para peserta yang berminat telah mengisi butiran diri secara online untuk diproses oleh urusetia program untuk memudahkan pendaftaran.

Persekitaran tapak program yang mengekalkan keaslian flora dan fauna alam telah memberikan pengalaman yang berharga kepada para peserta REAKSI 09. Keadaan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak urusetia dengan merangka aktiviti dan modul yang bersesuaian dengan tempat tersebut. Bermula sejak hari pertama selepas pendaftaran, para peserta telah melalui aktiviti team building di dalam sungai. Berbagai-bagai modul dirangka untuk menepati tema program ini. Pada sebelah malamnya pula, para peserta diberikan sedikit pengisian rohani oleh sdr Solehuddin Shuib, Ust Abd Rahim dan Ust Adni.

Program diteruskan pada hari kedua dengan aktiviti yang lebih mencabar. Selepas qiamullail, solat subuh, kuliah subuh dan sarapan, para peserta dibawa merentas Gua Batu Maloi yang menjadi mercu tanda tempat ini. Acara merentas gua ini telah menguji kelasakan dan ketahanan fizikal peserta. Para peserta perlu melalui ruang-ruang yang sempit, menyelam untuk melepasi halangan, memanjat batu-batu di dalam keadaan yang gelap dan sebagainya. Selepas melalui gua tersebut selama 3 jam, para peserta hanya diberi rehat sekejap sebelum meneruskan aktiviti berikutnya.

Aktiviti seterusnya dinamakan jejak kelawar. Mereka merentasi sungai dan akar-akar pokok yang besar dengan mata tertutup dan hanya berpandukan tali sahaja. Setelah selesai jejak kelawar, para peserta diajar praktikal sembelihan ayam dan mereka perlu memask sendiri lauk untuk dimakan pada malam itu. Pada sebelah malam, slot pengisian oleh En Zain al-Abidin telah memberikan mereka input dari segi rohani selepas seharian menghadapi cabaran fizikal.

Sebelum sempat para peserta berehat sepuas-puasnya, mereka dikejutkan pada jam 4 pagi untuk aktiviti war game. Mereka perlu merangka strategi dan menghadapi musuh di dalam gelap. Peperangan ini berterusan sehingga matahari terbit. Aktiviti terakhir yang perlu dilalui adalah berkayak dan mengemas tempat. Para peserta bersurai pada jam hampir 2 petang.

Menurut pengarah program, sdr Muhammad Shakir Sabaruddin, program ini walaupun kelihatan santai, tetapi sebenarnya penuh dengan modul-modul yang dirangka untuk memenuhi objektif program. Ia dapat membina rasa ukhuwah yang mendalam di antara peserta. Sepanjang program, mereka perlu tolong-menolong, perpadu fikiran serta tenaga untuk menyempurnakan tugasan yang diberi.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Perhilitan kerana menyediakan tempat program yang amat menarik. Tidak dilupakan juga kepada pihak fasilitator, urusetia, dan HALUAN Malaysia sendiri yang menyokong program ini sejak awal-awal lagi.